Budaya

P.Ramlee: Wali Seni Legasi Bangsa Melayu?

Setiap Karya Ada Rasa Yang Dirasakan

Umum sedia maklum, sebelum berpindah ke Singapura, P. Ramlee sempat belajar ilmu Tauhid dan kesufian daripada Allahyarham Syeikh Haji Abdullah Fahim (Pulau Pinang) yang merupakan antara sahabat baik Tok Kenali al Kelantani yang juga ulama sufi yang warak di zamannya.

P.Ramlee menuntut ilmu kesufian demi melengkapkan dirinya menjadi seorang penyair dan penulis lirik lagu, kerana menurut P.Ramlee setiap syair dan lagu yang diresapkan dengan ilmu kesufian boleh mempesonakan manusia dan dapat memberikan suatu katarsis dengan “rasa yang dirasakan”.

“Lagu Azizah misalnya, bukan saja kerana nama wanita yang menjadi pujaannya tapi bererti mulia, cantik, terhormat dan disayangi. Pada pandangan P.Ramlee, Azizah menjadi simbol kemuliaan makhluk Allah SWT.

Tan Sri P. Ramlee juga berkesempatan belajar ilmu Tauhid daripada Allahyarham Syeikh Tahir Jalaluddin dan Allahyarham Fadzullah Suhaimi di Singapura. Di sana dia banyak mempelajari dan mendalami ilmu Sufi dan hakikat dari ulama-ulama tersebut.

Sebagai seorang murid Sufi, dia banyak mengamalkan wirid nama-nama ALLAH terutama nama yang disebut ‘Asma Ul Husna’ dan ‘Bismillah’ 40 kali.

Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim pernah berkata, bahawa Ramli Putih (P.Ramlee) sangat dalam ilmu agamanya, terutama perihal ilmu Tauhid dan ilmu Sufi.

“Sebelum dia berpindah ke Singapura, dia ada beritahu saya, dia nak jadi bintang filem, jadi orang wayang. Saya tak larang, tapi saya pesan jangan lupa ilmu dalam dada.” Kata Syeikh Abdullah Fahim.

Walaupun, hidup dalam dunia glamer ketika itu tetapi P.Ramlee tak lupa ilmu agama yang dipelajari daripada guru mursyidnya (Syeikh Abdullah Fahim).

Maka, tidak hairanlah pengaruh lagu-lagu yang dihasilkan P.Ramlee yang diserapkan dengan roh sufi yang kini masih bergema di mana-mana menjadikan P.Ramlee bukan sahaja seorang lagenda malah karyanya terus dikenang sepanjang zaman.

Mungkin antara kita tidak terfikir kenapa lagu-lagu ciptaan dan nyanyian P.Ramlee popular serta digemari ramai hingga ke hari ini.

Antara rahsianya ialah selain sedap didengar lagu-lagu P.Ramlee mempunyai unsur sebutan ‘tajwid’ seperti mana tajwid dan taranum bacaan al-Quran. Sebutan huruf-hurufnya cukup dengan ciri-ciri tebal, nipis, panjang, pendek serta dengongnya sekali.

Cara penyampaian nyanyian seperti ini mampu menjadi kesukaan ramai khusus kalangan orang Melayu yang akrab di jalan ketuhanan kerana ia mempunyai unsur-unsur yang dapat menjadi terapi jiwa dan raga.

Setiap lagu sama ada yang dicipta dan dinyanyikan sendiri seniman agung berkenaan mempunyai kaedah serta peraturan tertentu bagi membolehkan ia jadi popular dan kekal lama diminati ramai. Ibarat mempunyai roh dalam melodinya. Unsur spiritual yang sangat menebal sehingga dapat membangkitkan rasa dari segenap lubuk jiwa.

Ramai Orang telah membuat kajian kenapa lagu nyanyian mahupun ciptaan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sedap didengar dan menjadi kesukaan ramai.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan lagi apabila hasil kajian mendapati lagu-lagu berkenaan mempunyai unsur dari lagu tarannum al-Quran yang disampaikan secara bertajwid. Ini kerana pengalaman dan pendidikan yang diterima seniman itu sejak awal dari beberapa ulama terkenal pada zamannya menjadikan beliau agak cenderung ke arah unsur keagamaan dan kesufian.

Boleh dikatakan hampir semua lagu seniman agung yang serba boleh ini disampaikan secara bertajwid dan bertarannum, biarpun dinyanyikan secara bersahaja dan santai. Tidak ada terpekik terlolong. Asyik dan mendamaikan.

Ustaz Badli Shah Akui Kehebatan Lagu Ciptaan P.Ramlee

Penceramah terkenal, Ustaz Badli Shah pernah menjelaskan bahawa yang lebih istimewanya lagu-lagu P.Ramlee ini ialah kerana irama lagu-lagunya diambil dari lagu al-Quran, Qasidah, Nasyid dan Syair Selawat Nabi yang berasal dari Timur Tengah termasuk Morocco (Maghribi), Mesir dan Syria.

Dalam konteks ini, beliau turut memberikan contoh antaranya seperti lagu ‘Kalaulah Kaca Menjadi Intan’ nyanyian bersama Hashimah Yon dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ di mana sebutan perkataan pada bait-bait rangkap tertentu lagu berkenaan sekalipun seolah-olah seperti mengada-ngada bunyinya, tetapi sebenarnya mengikut kaedah sebutan tajwid sekali dengan makhraj, dengung, panjang, pendek, tebal dan nipis tonasinya tepat dan betul.

Antara lagu selawat qasidah yang menjadi inspirasi untuk dijadikan lagu beliau ialah ‘Tholama Asyku Ghoromi’ yang wujud sejak 446 tahun lalu waktu pemerintahan empayar Othmaniah di Turki pada era Sultan Murad ke-3 pada tahun 1574.

Lagu dihasilkan oleh Allahyarham bertajuk ‘ Alangkah Indah Di Waktu Pagi’ dalam filem ‘ Ali Baba Bujang Lapok ‘ terbitan 1961 pada segmen lakonan Sarimah terlalu gembira semasa mengambil air di sungai kerana baharu dapat kerja di rumah Kassim Baba (nyanyian asal Normadiah).

Juga Qasidah Burdah Al Busiri dipopularkan oleh seorang ulama Morocco bertajuk ‘Yarabibil Mustafa Baliq Maqasidana’ diubah suai dijadikan lagu ‘ Selamat Hari Raya’ nyanyian Allahyarham Ahmad Jais. Lagu ciptaan P.Ramlee sendiri dan lirik oleh S. Sudarmaji itu popular dan tetap segar setiap kali tiba musim hari raya.

Begitu juga dengan lagu ” Aci Aci Buka Pintu’ dalam filem ‘Nasib labu Labi’ nyanyian bersama biduanita Saloma keluaran 1963 diambil daripada Selawat Maulid Dibaei bertajuk ‘ Ya Rasulullah Salamunalaik Ya Rapa Asad’.

Beliau memberitahu, Allahyarham sentiasa diingati di Singapura sampai sekarang di mana Masjid Sultan akan membacakan Surah Al Fatihah dan mendoakan beliau setiap minggu sebelum solat Jumaat.

Malahan, katanya ada sebuah masjid di negara itu yang mengadakan ceramah mingguan dengan slot bertemakan filem-filem P.Ramlee tujuannya untuk mendapat pengajaran dan teladan daripada segmen dalam filem berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan Malaysia pada 2018 telah mengisytiharkan sejumlah 149 buah lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham P. Ramlee sebagai antara 255 butiran Warisan Kebangsaan.

Antara lagu-lagu tersebut Aci Aci Buka Pintu, Engkau Laksana Bulan, Di Mana Suara Burung Kenari, Barang Yang Lepas Jangan Dikenang, Dalam Air Terbayang Wajah, Yang Mana Satu Idaman Kalbu, Tidurlah Permaisuri, Berkorban Apa Saja, Hancur Badan Dikandung Tanah, Nujum Pak Belalang dan banyak lagi.

Allahyarham seniman agung serba boleh yang sukar dicari ganti ini merupakan sebutir permata seni yang tetap terus berkilau sekalipun kewujudan fizikalnya di dunia sudah lama tiada.

Ia juga dianggap sebagai wali seni yang mengangkat agama Islam dalam setiap karya yang menjadi masterpiece dan menjadi legasi bangsa Melayu.

Pada akhir hayatnya, Allahyarham P. Ramlee menjadi seorang insan yang tidak mahukan harta dan kekayaan dan meskipun dia menjadi seorang manusia yang miskin tetapi kaya dengan karya seninya.

Banyak lagu-lagu karya beliau mempunyai rasa yang dapat dirasakan dengan tulus dan telus untuk renungan dan pedoman yang hadir melalui ilmu dan pengalaman beliau dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang anak seni berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Dapatkan Kandungan Demi Malaiu Sekarang!
Terima Notifikasi Setiap Kali Kami Siarakan Kandungan Baru