Budaya

Penggiat Industri Seni Jangan Terlalu Fikir Nilai Komersial

Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin berkata, beliau masih melihat bahawa penggiat dan industri seni tanah air masih berada pada tahap sederhana kerana masih terlalu kuat memikirkan nilai komersial sahaja.

Menurutnya, dalam minda mereka sangat memikirkan soal untung rugi dan apa yang mereka bakal dapat. Sepatutnya, mereka mesti fikirkan nilai, erti dan falsafah yang wujud di dalamnya yang mesti dipasarkan ke seluruh dunia. Jika ini boleh dilakukan maka industri seni kita akan dianggap hebat.

“Kita harus tonjolkan mengikut cara kita dan wajah kita bukannya meniru dari luar. Industri seni kita mesti seiring dengan nilai madaninya untuk kemajuan negara dan bangsa Malaysia. Jangan lupakan soal petuah, petunjuk, nasihat, amanah, pengajaran dan contoh teladan yang bermanfaat bagi kehidupan manusia dalam erti yang luas yang ada dalam seni negara kita. Hal ini yang harus kita jual kepada negara luar,”katanya.

Persoalan diajukan tentang kemana hilangnya adat dan adab sopan santun yang lemah lembut, bahasa yang indah dan tarian gerak badan yang penuh tertib?

Beliau berkata, Adat ini bermaksud peraturan dan undang-undang kehidupan yang harus dipatuhi untuk melahirkan masyarakat madani yang terbaik dan bernilai tinggi. Adab pula ialah nilai baik yang ada dalam diri manusia dan ia boleh dikeluarkan melalui bantuan perilaku adat itu sendiri.

Jelasnya, jika dalam adab ada perasaan kasih dan sayang kepada orang susah maka kita bantu mereka dan kaedah bantuan itu dibuat melalui perilaku atau adat tadi. Jadi adat dan adab ini selalu berkaitan. Adat kita ini terdiri dari adat yang sebenar benar adat (undang-undang sebenar-benar undang-undang), adat yang diadatkan (undang-undang yang diundang-undangkan), adat yang teradat (undang- undang yang terundang-undang), adat istiadat ( tatacara perundangannya) dan adat resam (undang-undang kebiasaan yang diamalkan).

Beliau yang juga merupakan penerima ANUGERAH BITARA UKM 2022 Anugerah Bitara Seni Dan Kreativiti (Seni Persembahan) Penilaian 2021 itu menegaskan, semuanya itu terangkum dalam adat bersendi syarak dan syarak bersendi kitabullah.

Jadi, seni yang terjadi pada hari ini banyak yang lari dari nilai seni yang sebenar iaitu sepatutnya seni itu adalah untuk mendidik dan membawa seseorang pada kebaikan dan bukannya melalaikan serta bersifat riak serta menunjuk-nunjuk akan kehebatan masing-masing sahaja.

Adab Dan Sopan Santun Itulah Menjadikan Seni Kita Terbaik

Tambah beliau, Adab dan sopan santun itulah yang menjadikan seni kita terbaik dan akan dihormati oleh masyarakat dunia. Seni kita ini sepatutnya ada nilai adab, budi dan sopan yang memancar serta tersembunyi nilai ilmu di dalamnya yang boleh membawa masyarakat pada kebaikan yang hakiki.

Dalam seni, sepatutnya kita saban hari belajar dan terus belajar untuk membentuk diri yang baik supaya kita boleh menjadi ikon kepada masyarakat dan bukannya kita menjadi perosak kepada masyarakat secara halus.

Bila kita berseni, duduknya haruslah berguru, tegaknya wajib bertanya dan perginya haruslah mencari ilmu. Orang seni juga harus sentiasa melihat kepada diri sendiri bahawa sebelum mengajar, banyak belajar, sebelum memberi contoh, bersifat lah senonoh, sebelum memberi teladan, betulkan badan, sebelum menasihati orang, nasihati diri sendiri.

Beliau berpandangan, orang seni yang terbaik akan tahu akan siapakah dirinya dan tanggungjawabnya yang sebenar. Orang seni ini adalah yang didahulukan selangkah, ditinggikan seranting, dilebihkan sekuku, dipanjangkan serambut dan diberi beban berat, petuah dan amanah.

Jika kita lihat dalam hal ini, bahawa orang seni ini tanggungjawabnya sangat berat yang mesti ditunaikan dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Dalam erti yang lebih dalam lagi, orang seni mesti tahu kesedaran diri peribadi terhadap hakikat hidup, tujuan hidup, akhir hidup serta berbagai hak dan kewajiban yang harus dipenuhinya baik sebagai masyarakat mahupun sebagai hamba Allah.

Orang seni seharusnya, memiliki kesedaran yang tinggi dalam hidupnya. Dengan tahu diri ia akan tahu menempatkan diri dalam pergaulan bermasyarakat. Orang seni yang tahu diri akan berkelakuan terpuji kerana ia telah memahami kekurangan dan kelebihan dirinya dan orang lain. Orang seni yang tahu diri sedar akan tanggungjawabnya, baik bertanggungjawab pada diri, keluarga, masyarakat, mahupun bangsa dan negaranya. Tanda orang seni yang tahu berbudi akan memelihara budi pekerti, hidupnya akan berputih hati, tahu kepada kebodohan diri.

Orang Seni Punya Peranan Yang Berat

Dalam hal ini, saya lihat orang seni ini punya peranan yang berat dan jika apa yang dibuatnya itu berniat kebaikan maka baiklah nanti akan hasilnya dan jika hasil kerjanya punya niat yang berbagai dan bercabang maka macam-macamlah hasil dan kesannya.

Oleh sebab itu, orang seni dituntut supaya sangat bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat mahupun bangsa dan negara. Kesan apa yang dibuatnya dalam seni punya pengaruh yang sangat besar dan mereka harus fikir kemadaniannya.

“Kita harus juga tanamkan sifat malu dalam diri ini iaitu malu berbuat jahat, malu kepada perbuatan yang tercela, malu berkata kasar, malu menyombong, malu menipu, malu berkhianat, malu mendurhaka, malu menjilat, malu merampas hak orang lain dan malu menyingkap keburukan orang lain.”

Semuanya ini, kerana orang seni ini adalah contoh yang terbaik dan mereka haruslah tonjolkan yang baik-baik sahaja dan yang buruk haruslah ditanam dalam-dalam.

Pada saya budaya Melayu itu harus dipertahankan dan digali nilai tersiratnya dan kebaikannya haruslah disebarkan kepada semua umat manusia. Yang jadi masalah adalah pemahaman masyarakat terhadap budaya Melayu dan mereka cuma melihat budaya Melayu pada kulitnya sahaja dan tidak melihat pada isinya.

“Mereka tiada sifat mengalami dan menghayati dan bila mereka sudah ada sifat mengalami dan menghayati dan mereka akan dapat rasa akan hebatnya dan betapa tingginya akan nilai budaya Melayu itu sendiri.”

Menurutnya, orang yang tidak faham budaya Melayu yang sebenar biasanya adalah orang yang lupa diri dan orang yang lupa diri akan banyaklah bala yang menghampiri. Orang yang lupa pakaian banyaklah kerja yang bersalahan. Kalau sudah lupa pakaian di situlah tempat masuknya syaitan dan bila sudah lupa diri maka binasalah diri dan lupa pakaian akan binasalah iman.

Harus difikirkan, apa yang dimaksudkan moden itu dan pada saya seni budaya Melayu itu adalah sesuai sepanjang zaman dan semuanya adalah terpulang kepada olahan dan pendekatan pengkarya orang seni itu sahaja.

“Seni budaya Melayu ini sangat bernilai tinggi dan sentiasa bersua ulama minta petuah, jumpa guru minta ilmu, menghadap raja minta daulat, bersua hulubalang minta kuat, berjumpa orang tua minta nasihat. Seni budaya Melayu ini tunjuk ajarnya haruslah dibesarkan, petuah amanahnya dimuliakan, nasihat amanah diingat-ingat, tunjuk ajar mesti berpanjangan dan setiap amanah ambillah berkat.”

Penggiat industri berbangsa Melayu mesti lakukan yang terbaik untuk terapkan jati diri bangsa dalam karyanya dan perbanyakkan dan dalam tangan merekalah semua nilai baik bangsa boleh dijual dan ditonjolkan. Jangan hampakan akan harapan ini.

Orang seni berbangsa Melayu sepatutnya menjadi juara dalam karya masing-masing untuk tonjolkan nilai hebat budaya Melayu dalam karyanya. Bangsa Melayu terdahulu memang terkenal dengan bangsa yang beradab, bersopan, bersantun dan tinggi budi pekertinya dan benci kepada perkara jahat.

Amalkan Konsep Tungku Tiga Sejerangan

Kita harus bangga dengan seni budaya bangsa sendiri kerana banyak nilai baik didalamnya dan seni budaya dari luar itu cuma boleh kita jadikan bahan perbandingan sahaja. Cuma kita jangan menyalahkan orang seni kita sahaja dan kita sepatutnya membekalkan bahan yang terbaik kepada pengkarya seni budaya Melayu.

“Bawa balik semua manuskrip Melayu yang ada di luar negara dan terjemahkan untuk kegunaan pengkarya kita.”

Jangan biarkan, hasil budaya Melayu terperap dalam perpustakaan sahaja dan ia hendaklah dibawa keluar dan dikembangkan dalam berbagai bentuk untuk tatapan masyarakat dunia ini.

“Kita mesti amalkan konsep tungku tiga sejerangan iaitu pemimpin, orang seni dan bijak pandai haruslah bergabung untuk hasilkan seni budaya bangsa yang terbaik dan kekal sepanjang zaman.”

Beliau berpesan, Kita harus ingat bahawa adat hidup di dunia ini berubahlah mengikut yang bermanfaat, benar dan tidak bersifat menyalah serta jauhkanlah fitnah juga jangan cepat melatah.

“Jangan juga kita buang amanah yang patut kita junjung. Apa yang paling mustahak sekali janganlah khianati bangsa yang boleh membawa binasa,”tegasnya.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker