Syariff Muhammad Al-Baghdadi atau nama sebenarnya Muhammad bin Abdullah adalah ulama yang penting dalam penyebaran agama Islam di Alam Melayu. Beliau juga dipercayai merupakan pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Syariff Muhammad Al-Baghdadi mempunyai nasab Rasulullah SAW. Beliau bernasabkan Sayyidina Hassan di sebelah bapanya manakala bernasab Sayyidina Hussin di sebelah ibunya. Beliau berasal dari Baghdad dan dipercayai meninggalkan takhtanya di sana untuk beruzlah di Mekah.
Setelah lama menetap di Mekah, beliau ke Hadramaut, Yaman dan kemudian ke Nusantara iaitu ke Hulu Terengganu. Kedatangan beliau mengukuhkan lagi yang sebenarnya ulama-ulama terawal yang datang ke Alam Melayu menyebarkan Islam adalah dari tanah Arab dan bukanlah hanya pedagang-pedagang dari India. Oleh sebab itu kita bermazhab Syafie’ dan bukannya bermazhab Hanafi seperti kebanyakan daripada muslimin di India.
Ketika beliau di Hulu Terengganu, Syariff Muhammad Al-Baghdadi yang juga dikenali dengan gelaran Tok Ayah Terengganu banyak menjalankan aktiviti berdakwah kepada masyarakat tempatan. Dikatakan juga beliau merupakan tokoh yang penting dalam menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit. Setelah kerajaan yang mengamalkan agama Hindu-Buddha itu, Syariff Muhammad Al-Baghdadi membina sebuah kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Dinasti Al-Kamil dan juga membina sebuah kota pemerintahan yang seluas 300 ekar bernama ‘Kota Temir’. Pembesar-pembesar yang dahulunya beragama Hindu-Buddha kini memeluk agama Islam dan menjadi pengikut setianya. Kerajaan Dinasti Al-Kamil ini juga dikatakan menaungi kerajaan Islam yang lain seperti kerajaan Mataram, Pagar Ruyung, Banten dan Cirebon. Kisah ini semua berlaku kira-kira 700 tahun dahulu. Kawasan bersejarah itu kini sekarang dikenali sebagai Kampung Temir, Hulu Kuala Berang.
Baca juga>> Palestin-Tanah Melayu: Hubungan Terjalin Sejak Tahun Sebelum Masihi
Seperti yang diketahui, antara peninggalan penting oleh Tok Ayah Terengganu adalah batu bersurat yang dinamakan ‘Batu Bersurat Terengganu’. Batu bersurat merupakan ukiran tertua dan menjadi bukti tulisan Jawi yang pertama ditemui di negara ini. Berikut adalah antara tulisan yang dipahat pada penampang hadapan batu tersebut:
“RasululLah dengan yang arwah santabi mereka
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
Di Benuaku ini penentu agama RasululLah SallalLahi Wassalama raja.
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
Bumi penentuan itu fardhu pada sekalian Raja Manda.
Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.
Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus dua.”
Ramai cendekiawan dan penyelidik moden cuba menebak tarikh sebenar batu tersebut diukir melalui frasa “adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua” yang dipahat di batu bersurat ini namun kebanyakan mereka tidak berjaya. Sehinggalah seorang ahli falsafah Islam yang terkenal negara iaitu Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Al Naquib Al-Attas merungkainya. Menurut kajian beliau, maksud frasa batu bersurat itu bermaksud, “Jumaat pertama dalam bulan Rejab tahun 702 Hijrah serentak dengan timbulnya buruj Saratan, tatkala perintah agama (sasanakala) yang mengisytiharkan pemahatan hukum Islam di atas Batu Bersurat itu oleh pemerintah Terengganu pada waktu itu.”. Berdasarkan itu, tarikh sebenarnya adalah pada hari Jumaat 4 Rejab 702 H atau bersamaan dengan 22 Februari 1303 M.
Batu bersurat yang mempunyai empat muka ini mencatatkan tentang undang-undang seorang raja. Tercatat bahawa Islam adalah agama rasmi serta mengandungi hukum-hakam Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran seperti hukum berzina untuk orang yang sudah bernikah dan yang bujang. Selain itu, unsur falak juga disebut dengan merujuk frasa Saratan yang merujuk kepada buruj Saratan. Ketepatan ilmu astronomi atau ilmu falak Syariff Muhammad Al-Baghdadi dikagumi dan juga membuktikan beliau bukan seorang pendakwah biasa namun mempunyai pelbagai ilmu yang penuh di jiwa termasuklah ilmu falak.
Legasi Syariff Muhammad Al-Baghdadi diteruskan pula oleh keturunannya yang tak kurang hebatnya. Antaranya adalah anak beliau, Syariff Abdul Qahar bin Syariff Muhammad (Tok Paloh) dan cucunya Syariff Abdullah bin Syariff Qahar (Tok Pauh) serta cicit beliau Syariff Abdul Malik yang juga dikenali dengan nama Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemua keturunan beliau diberikan ‘karamah’ menjadi pendakwah dan wali-wali Allah. Kini, makam Syariff Muhammad Al-Baghdadi terletak di Kampung Jenagor, Kuala Berang, Ulu Terengganu.