EkonomiSejarah

Pokok Gaharu: Warisan Berharga Tanah Melayu

Pokok Gaharu atau nama saintifiknya, Aquilaria malaccensis merupakan sejenis pokok yang hidup di hutan Tropika. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok karas iaitu pokok yang ditanam sebelum ia diproses menjadi gaharu. Kebanyakan habitatnya boleh dijumpai di benua Asia seperti Bangladesh, Bhutan, India dan juga di Asia Tenggara seperti di Myanmar, Singapura, Indonesia, Filipina dan tentunya di Malaysia. Pokok karas ini tergolong di dalam spesies yang terancam di bawah Convention on International Trade in Endangered Species (CITES), Appendix II.

Proses gaharu terjadi akibat tindak balas pokok karas terhadap jangkitan penyakit atau serangan fungus dan bakteria. Pokok yang terkena jangkitan itu akan merembeskan resin untuk melindungi bahagian yang tercedera seperti pada dahan, akar dan batang pokok lalu lama-kelamaan resin itu akan menjadi keras seperti kayu. Kayu inilah yang dinamakan gaharu atau juga dikenali sebagai Agarwood, Aloeswood atau Eaglewood.

Gaharu merupakan bahan penting di dalam pembuatan minyak wangi yang menyebabkan ia merupakan sebuah komoditi penting buat negara selain dari kegunaannya untuk manfaat yang lain. Harga gaharu liar boleh mencecah sehingga RM10,000-RM100,000 sekilogram. Untuk kayu gaharu ladang gred AA dan AAA pula dijual pada harga RM3,000-RM4,000 sekilogram manakala kayu gaharu gred A pula dijual pada sekitar RM2,000-RM3,000 dan gred B dan C pada harga RM1,000-RM2,000. Tidak hairanlah ramai yang menggelarkan pokok gaharu sebagai pokok duit atau pokok emas. 

Di Malaysia, terdapat ramai pengusaha yang bekerja sama dengan kerajaan dalam menghasilkan gaharu. Permit diperlukan untuk menanam pokok ini kerana diwarta sebagai spesies terancam. Pengusaha menanam sendiri pokok karas lalu akan disuntik inokolum iaitu sejenis cecair formula untuk menghasilkan gaharu. Cecair ini hanya boleh disuntik selepas pokok karas matang iaitu sekitar 6-7 tahun. Inokolum perlu disuntik oleh pakar oleh itu penting untuk para pengusaha memilih pakar yang baik untuk mendapatkan hasil gaharu yang berkualiti.

Pokok ini juga mempunyai pelbagai kegunaan dari daunnya hingga rantingnya. Setelah pokok karas matang dan menghasilkan gaharu dalam masa lebih kurang 10 tahun, pokoknya akan dipotong dan akan ditinggalkan 1 kaki untuk pokok itu tumbuh semula. Pokok tersebut akan dipotong mengikut saiz yang diinginkan untuk mengasingkan gaharu dengan kayu putih. Baki kayu dan rantingnya juga boleh digunakan untuk membuat arca seperti tanduk rusa. Manakala daun pokok karas pula boleh dibuat teh.

Pelbagai kegunaan dan manfaat yang boleh didapati dengan gaharu. Dari perubatan, kosmetik, hiasan rumah dan wangian. Khasiat gaharu sememangnya tiada bandingan. Dari segi perubatan, dahan pokok gaharu amat sesuai digunakan. Gaharu dipercayai boleh menjadi penawar buat penyakit seperti darah tinggi, sakit buah pinggang, kanser usus dan pelbagai lagi. 

Baca juga>> Jenis-jenis Keris Semenanjung

Selain itu, daunnya juga boleh buat teh dan sesuai diminum jika anda sakit perut. Dari segi lain pula, gaharu juga boleh digunakan untuk menghindarkan dari gangguan makhluk halus kerana dikatakan ‘mereka’ ini tidak suka dengan bau gaharu. Ia juga digunakan untuk perubatan penyembuhan penyakit akibat gangguan makhluk halus serta sihir.

Gaharu juga boleh digunakan untuk menenangkan minda serta menguatkan akal fikiran. Anda boleh membakar kayu gaharu untuk mendapatkan manfaat tersebut. Dengan mencium bau gaharu, minda akan bertambah tajam dan lebih cekap. 

Seperti yang ramai tahu, gaharu juga antara bahan penting digunakan dalam pembuatan minyak wangi. Ia boleh meningkatkan kekuatan bau minyak wangi dan membuatkan bau tersebut tahan lama. Kayu gaharu juga banyak dibuat hiasan dan juga boleh dibuat tasbih.

Selain dari minyak wangi, di kalangan orang Arab, Bukhoor sangat popular. Kayu gaharu dibakar dan digunakan untuk mewangikan kediaman rumah. Bukhoor juga digunakan untuk mewangikan Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah. Kini, ia juga sudah mula menarik minat umat Islam di negara lain termasuk Malaysia. Rasulullah SAW juga amat suka dengan wangi-wangian jadi tidak salah kalau kita mengamalkannya. 

Gaharu bukan saja suatu warisan berharga di Tanah Melayu malah ia juga satu aset penting untuk ekonomi negara. Kita cukup bertuah kerana pokok ini tumbuh subur di tanah air kita. Kerjasama pengusaha dan kerajaan diperlukan untuk memastikan kelestarian pokok gaharu serta khasiatnya dimanfaatkan sepenuhnya. Gaharu boleh dikomersialkan secara meluas dalam dan luar negara supaya dapat menjana ekonomi rakyat tempatan serta negara.

Menarik: HENTIKAN FITNAH! BERSANDING BUKAN DARI HINDU

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button
Sertai Komuniti Demi Malaiu
Kongsi cerita anda dengan kami dan dapatkan kemaskini semua kandungan dari semua platform media sosial Demi Malaiu