Naratif sejarah yang kita faham dan tahu berkenaan peristiwa Perang Perak yang berlaku selepas J.W.W. Birch terbunuh ialah semua pembesar Melayu Perak bersepakat untuk menentang British.
Sedangkan kisah sejarahnya tidak begitu.
Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah (ketika Perang Perak baginda merupakan Raja Muda Perak) antara waris negeri yang tidak menentang British.
Baginda juga antara waris negeri yang mengutus surat kepada Gabenor Sir William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat berkenaan baginda tidak terlibat dengan pakatan untuk membunuh Residen British dan baginda juga menyatakan kesudian untuk membantu menangkap pembunuh J.W.W. Birch.
Ini penting bagi menunjukkan pada pihak mana Raja Muda Yusuf berpihak.
Kerana dalam masa yang sama Gabenor Jervois mengutus surat kepada Sultan Ismail dan dalam surat tersebut beliau menyatakan rasa terkejut kerana Sultan Ismail masih tidak mengutus surat kepadanya dan beliau dengan nada tegas meminta Sultan Ismail menjelaskan hubungan baginda dengan British sama ada sebagai kawan atau musuh.
Bumi hangus, metodologi British merampas tanah Orang Melayu
Sewaktu Perang Perak berlansung sehingga ke kemuncaknya ketika pasukan tentera British tiba di negeri Perak dari Hong Kong dan India, mereka telah menjalankan konsep bumi hangus terhadap tempat atau kampung yang menentang tentera British.
Disebabkan itu hampir kebanyakkan rumah dan masjid dari Pasir Salak, Kampung Gajah sehingga ke Enggor dibakar selepas penduduk dikawasan berkenaan secara terbuka bertempur dengan tentera British.
Keadaan tersebut lebih buruk lagi terdapat tentera British yang terbunuh di kawasan berkenaan.
Namun di Kampung Kandang, tentera British telah membakar hampir kesemua rumah orang Melayu di situ kecuali rumah mereka yang berpihak kepada Raja Muda Yusuf.
Adat Gajah Terdorong
Raja Muda Yusuf juga telah menghantar seorang pengikut baginda untuk menjadi penunjuk arah kepada pasukan tentera British yang dipimpin oleh W.E. Maxwell bagi memandu arah ke kawasan pertahanan orang Melayu yang setia kepada Dato Maharaja Lela dan Sultan Ismail.
Tidak cukup sekadar itu, Raja Muda Yusuf dan pasukannya turut bersedia untuk menyerang pasukan yang dipimpin oleh Tok Seri Lela dan meminta Brigedier Jeneral Ross bagi menghantar pasukan bantuan tentera British bagi membantu baginda melancarkan serangan.
Brigedier Jeneral Ross segera mengarahkan 50 orang tentera Gurkha untuk membantu pasukan pimpinan Raja Muda Yusuf, namun sewaktu tentera Gurkha berkenaan tiba di kampung tempat pasukan Raja Muda Yusuf berkumpul, didapati Raja Muda Yusuf telah melancarkan serangan mengejut ke atas pasukan Tok Seri Lela.
Terdapat satu peristiwa dalam Perang Perak ini yang melibatkan pasukan tentera British dengan pasukan tentera yang dipimpin oleh Raja Muda Yusuf.
Selepas serangan keatas Tok Seri Lela, pasukan British telah bergerak dengan bantuan penunjuk arah yang dihantar oleh Raja Muda Yusuf bagi mengesan kedudukan orang Melayu yang menentang British.
Pasukan ini juga telah dimaklumkan bahawa pasukan Raja Muda Yusuf juga bergerak ke arah yang sama melalui tebing kanan Sungai Perak.
Tidak lama selepas itu ketika melalui kawasan sawah padi, tentera British telah bertembung dengan sekumpulan orang Melayu dan kemudian segera melepaskan tembakan.
Akibatnya dua orang Melayu cedera dan dua lagi terkorban. Rupanya pasukan British tersebut telah tertembak pasukan Raja Muda Yusuf.
BACA JUGA: “Takpelah Vesawit Ni Cina Punya Pun, Pemilik Sijil Halal Jakim Kan,” – Melayu Moden
Raja Muda Yusuf yang tiba kemudian menyatakan peristiwa itu berlaku kerana kesilapan pasukan baginda itu sendiri yang tidak menghantar pasukan peninjau untuk memaklumkan kedudukan semasa pasukan kepada tentera British dan mereka juga tidak mengibarkan bendera Union Jack yang telah diberikan sebelum ini sehingga menyebabkan berlakunya kekeliruan.
Demikianlah serba sedikit kisah sejarah sepertimana yang direkodkan dalam buku Pasir Salak karya Prof Abdullah Zakaria. Kita orang Melayu agak sensitif dengan naratif sejarah yang dilihat tidak memihak kepada kita.
Tambahan pula kisah penentangan terhadap British yang juga menunjukkan ada pembesar yang bersepakat dengan British. Namun itulah sejarah, ia hitam dan putih.
Bukan tempat kita untuk menghukum apa yang pernah berlaku, sekadar mengambil iktibar daripadanya. Sejarah penting bagi membantu kita memahami masa lalu bagi meramalkan masa depan dan membantu kita melaluinya dengan lebih baik.
Iskandar Zulqarnain