BudayaSejarah

Kehebatan Tamadun Melayu Suatu Ketika Dahulu

Peradaban Alam Melayu lama sebenarnya mempunyai pelbagai pencapaian penting dalam seni bina, seni kraf, perdagangan, pusat ilmu dan pelbagai lagi. Tamadun Melayu mencapai era kegemilangannya dan pencapaian yang tinggi pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. 

Tamadun Melayu boleh dikesan bermula dari Zaman Paleolitik, Zaman Mesolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam. Contoh seperti di Sungai Batu di mana penemuan tapak ekskavasi membuktikan kewujudan peradaban di tanah Melayu seawal 788 sebelum Masihi, malah lebih lama lagi dari tamadun Rom Kuno. Penemuan pusat peleburan bijih besi ini menjadikan tamadun Sungai Batu yang tertua di Asia Tenggara.

Ptelomy, ahli geografi terkenal Yunani ada menyebut di dalam rekodnya, ‘Geographike Hyphegesis’ tentang sistem perdagangan di antara dunia Barat dan Timur yang menggunakan laluan Semenanjung Emas (Golden Chersonese) iaitu Semenanjung Tanah Melayu pada abad pertama. Berdasarkan tulisan Ptelomy ini, penyelidikan dibuat lalu berhasil dengan penemuan tamadun Sungai Batu.

Penemuan relau-relau besi dan tuyere membuktikan Sungai Batu menjadi tempat tumpuan perdagangan besi dari tamadun-tamadun lain serata dunia. Besi-besi yang ditempa kemudian dieksport melalui jalan air kuno menggunakan kapal dagang. Kualiti besi di Sungai Batu diiktiraf kualitinya apabila pedang Qala’i disebut sebagai pedang yang terbaik oleh Al-Kindi, Al-Idrisi dan Al-Biruni. Qala’i atau Qala diambil nama sempena tempat pedang itu dibuat iaitu Kalah atau Kedah Tua. Rasulullah SAW juga dikatakan mempunyai pedang Qala’i.

Seperti yang kita belajar di sekolah, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu dan tulisan jawi dijadikan ‘lingua franca’ buat pedagang-pedagang luar di rantau Asia Tenggara ketika itu. Pelabuhan-pelabuhan yang ada di Alam Melayu berkembang maju contoh seperti Melaka, Pasai, Acheh, Johor, Terengganu dan Demak. Kesan dari rancaknya aktiviti perdagangan di pelabuhan-pelabuhan ini, pemerintah telah menghasilkan mata wang untuk diguna pakai dalam urusan perdagangan. Contoh mata wang yang wujud pada waktu itu adalah wang Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Acheh Darussalam. 

Bukan itu saja, orang Melayu juga menguasai dalam bidang teknologi, sains dan juga kejuruteraan. Lihatlah bagaimana seni bina Melayu masih lagi kekal sampai sekarang walaupun tidak ramai lagi daripada kita yang mahir dengannya. Kemahiran orang Melayu dahulu bukan saja dalam membina rumah yang bukan saja praktikal malah ia juga cantik dan berseni. Ini boleh dilihat pada binaan bumbung limas, tiang seri, tingkap, dan juga kepelbagaian ruang di dalam rumah.

Baca juga>> Tentera Melayu Bantu Sultan Muhammad Al-Fateh?

Dari segi pembuatan barangan, masyarakat Melayu Perak mahir dengan pembuatan Labu Sayong, bekas simpanan air yang boleh mendinginkan air tanpa ais. Orang Melayu juga mampu berinovasi dan menghasilkan peralatan yang boleh membantu kepada kehidupan seharian mereka seperti cangkul, sabit dan tajak. 

Di dalam konteks perundangan pula, terdapat beberapa undang-undang Melayu dan Islam (syarak) tercatat dalam sejarah. Prasasti Terengganu yang ditemui pada 1899 mencatatkan tentang beberapa hukum Islam yang perlu dilaksanakan. Begitu juga dengan Undang-undang Pahang yang disusun ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhaiyuddin Shah (1592-1614). Selain dari itu, terdapat juga undang-undang di Tanah Melayu seperti Undang-undang Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka yang diimplementasikan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pada keseluruhan, kehebatan tamadun Melayu lama tidak hanya tercermin dalam pencapaian material, tetapi juga dalam kepelbagaian budaya, ilmu pengetahuan, dan kesenian mereka. Peninggalan nenek moyang bangsa Melayu tetap menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan bagi masyarakat Melayu moden dan serantau Asia Tenggara.

Menarik: Melayu Akan Hilang? Mustahil! – Dato Paduka Prof Madya Dr. Mohd Rosli

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker