Keris merupakan sebuah alat mempertahankan diri yang cukup sebati buat orang serta adat budaya Melayu. Ia bukan sahaja sekadar senjata namun keris adalah simbol sebuah kebanggaan dan jati diri bangsa, malah ia juga menjadi satu simbolik buat kekuatan spiritual atau rohaniah buat pendekar Melayu.
Keris ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung. Untuk menempa sebilah keris, sekurang-kurangnya dua jenis besi berlainan diperlukan. Bagi mendapatkan keris yang bagus, tujuh jenis besi berlainan ditempa mendapat hasil yang baik. Keris milik Hang Tuah juga dipercayai ditempa dengan 20 jenis besi yang diambil dari berlainan tempat.
Antara bahan-bahan besi yang digunakan untuk menempa keris adalah Pulasani, Mengangkang Jaler, Mengangkang Estri, Kamboja, Walulin, Katub, Ambal, Tumpang dan pelbagai jenis lagi. Lebih kurang 50 jenis keluli dikenalpasti menjadi bahan pilihan untuk menempa bilah keris.
Secara umumnya, keris dinamakan mengikut tempat di mana ia ditempa. Di Alam Melayu, keris boleh dikategorikan kepada lebih kurang 7 jenis iaitu:
- Keris Semenanjung atau jenis Utara
- Keris Pekakak
- Keris Jawa
- Keris Sumatera
- Keris Bali dan Madura
- Keris Bugis
- Keris jenis Sundang dan jenis Sulok
Keris Semenanjung atau Utara merujuk pada jenis keris yang banyak digunakan di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu termasuk Pattani, Singapura dan Selatan Kepulauan Riau-Lingga. Ada juga yang menggelarkan keris ini Keris Melaka. Ciri-ciri khusus pada keris ini mula berubah pada abad ke-17 apabila Kelatan Pattani atau orang dari Barat Semenanjung menjadi pusat penyebaran Islam yang terkenal dan menjadi pusat intelektual Islam dengan kewujudan sistem pendidikan sekolah pondok atau pesantren.
Keris Semenanjung ini merupakan asas bagi semua reka bentuk keris yang berasal dari Tanah Melayu. Rupanya mudah dikenali dan rekaannya ringkas. Hulunya berbentuk Jawa Demam dan sarungnya bersaiz lebar, besar, berbentuk bujur sangkar atau segi empat. Hulu Keris Semenanjung menyerupai lembaga yang sedang tunduk dan memeluk tubuh (Hulu Jawa Demam). Ada juga hulu yang diukir dengan rekaan bunga. Batang kerisnya pula lebar, tak begitu tirus dan mempunyai ‘kasut’ atau ‘buntut’ jalur bujur sangkar. Jikalau sarung atau sampir keris disalut perak, maka kasutnya akan berbentuk ‘bulat tempurung’.
Baca juga>> USUL PERKATAAN ‘AL HIND’ MERAJUT ERTI KEMELAYUAN
Di dalam Keris Semenanjung pula, terdapat lagi pelbagai jenis keris yang boleh dikategorikan. Antara jenis-jenis Keris Semenanjung adalah seperti berikut:
- Keris Sempana
- Keris Alang
- Keris Bugis
- Keris Cenok
- Keris Melela
- Keris Pandai Saras (Pandai Sarah)
- Keris Unduk-unduk
- Keris Tajung
- Keris Tok Chu
- Keris Kapit
- Keris Sotong
- Keris Ganja Seiras
- Keris Siar Terbang
- Keris Bahari
- Keris Beko
- Keris Lepeng
- Keris Picit
- Keris Cerita
Di antara keris-keris tersebut, ia boleh dibahagikan dengan tempat asal ia dicipta atau meluas digunakan seperti:
- Pattani, Cenok: Tajung, Bugis, Saras, Choteng
- Kelantan : Tok Chu, Debek, Beko, Alang
- Terengganu : Melela, Bugis
- Pahang : Bugis
- Melaka : Semenanjung
- Kedah : Bugis, Alang
- Perak : Bugis
- Johor-Riau : Bugis
Sebagai contoh, Keris Tajung berasal dari Pattani. Keunikan keris ini kerana sarungnya atau sampirnya berbentuk sampan atau perahu Tajung dan namanya diambil sempena itu.
Keris Pandai Saras/Sarah dikatakan dinamakan sempena nama empu Saras/Sarah. Beliau dikatakan berasal dari Jawa dan kemudian berhijrah ke Pattani. Di sana, keris beliau menjadi terkenal. Ciri-ciri khas yang ada pada keris Pandai Saras adalah mempunyai tulang di tengah-tengah mata bilah.
Keris Tok Chu diambil sempena nama empu, Tok Chu dari Kelantan. Beliau seorang yang hebat dan hebat dalam serba-serbi dari segi agama dan bidang perkerisan atau juga dipanggil bidang besi. Tok Chu adalah orang istana dan hidup rapat dengan Raja-raja negeri Kelantan. Keris buatan beliau dikatakan sangat tajam dan kuat sehingga boleh menembusi tempayan tanpa memecahkan ia. Ciri-ciri yang ada kerisnya mempunyai bentuk tersendiri, lain dari yang lain, mempunyai tulang, berlurah depan dan beralur.
Keris Bugis adalah Keris Semenanjung yang banyak dipengaruhi dengan Keris Bugis Indonesia. Keunikan Keris Bugis pula terletak di pendokoknya. Pendokok atau mendak (cincin di hulu keris) Keris Bugis pula lebih tebal dari mendak Jawa. Terserlah keunikan ukiran pada pendokok Keris Bugis.
Keris Melela pula terkenal kerana keteguhannya sebagai keris tarung. Keris ini diperbuat dari besi sebatang ini dan sebab itu bilahnya gelap. Namun ada juga yang mencampurkan besi lain untuk mendapatkan hasil pamor. Keris ini mempunyai mata yang beralur, berlurah, berlembah dan mempunyai tulang yang besar di tengah. Hasilnya dengan rekaan itu, luka tikaman lebih mudah masuk udara dan menyebabkan pendarahan yang banyak.
Pada orang Melayu, keris bukanlah sekadar senjata, tetapi juga sebuah warisan yang mempunyai makna mendalam dalam adat dan budaya kita. Ia juga menjadi sebuah simbol kebanggaan serta simbol spiritual yang penting bagi masyarakat Melayu khususnya.