Di antara kita, berapa ramai yang tahu tentang kewujudan Kalendar Melayu Purba? Kalendar ini bukan merujuk pada Tahun Hijrah dalam Islam namun kalendar yang dicipta sendiri oleh orang Melayu dulu-dulu.
Piama atau Piantan adalah satu cara pengiraan masa menggunakan hari dengan bulan yang digunakan oleh masyarakat Melayu Kedah. Piama bermaksud musim yang baik untuk menanam padi.
Seperti yang kita tahu, kebanyakan orang Melayu terdiri daripada petani dan nelayan, termasuk negeri Kedah, negeri yang terkenal dengan jelapang padi. Takwim ini adalah untuk menentukan waktu yang sesuai untuk bercucuk tanam atau turun ke laut menangkap ikan.
Orang Melayu Kedah dahulu memerhatikan perubahan dan peredaran cuaca melalui pergerakan angin serta hujan termasuk melihat keadaan tanah apa ia sesuai untuk penanaman padi atau tidak.
Seperti kebanyakan kalendar lain, Piama mempunyai 12 bulan. Ia bermula pada sekitar bulan November hingga awal April iaitu ketika musim kemarau mula melanda Kedah. Pada bulan April pula, musim hujan bermula menandakan waktu yang sesuai (musim piama) untuk menanam benih padi.
Bulan-bulan di dalam piama dibahagikan dalam dua musim iaitu di antara November hingga Januari (musim timur kering) dan Jun hingga Julai (musim barat muda), Ogos hingga Oktober (musim barat tua).
Dulunya, nama bulan-bulan ini berikan terus nama ikut turutan. Namun nama-nama bulan ditukar ke bahasa Arab selepas pelarasan mengikut ilmu falak Arab berdasarkan rasi langit dengan buruj utama. Setiap bulan piama ditetapkan mengikut petanda alam yang diperhatikan bersesuaian dengan aktiviti yang berpatutan berpandukan waktu tersebut.
Bulan pertama, Kaus (maksud: busur panah dalam bahasa Arab / Sagitarius) atau Sa (nama lama) ditetapkan pada 23 November – 23 Disember. Petanda alam yang diperhatikan adalah pokok gelenggang besar berbunga. Rasi yang nampak di langit adalah pemanah.
Bulan dua, Jadyi (Kambing Duyung / Capricorn) bermula pada 23 Disember – 21 Januari. Banjir semakin surut dan ikan serta tuntung mula kembali ke sawah adalah petanda alam yang diamati.
Bulan ketiga, Delu (maksud: tiga) bermula pada 22 Januari – 20 Februari. Ketika ini pokok macang mula berbunga serta angin timur mula bertiup. Padi juga sudah boleh diketam pada bulan Delu. Rasi langitnya ialah timba.
Baca juga>> Jalan Raya Medan Keganasan
Bulan keempat, Hut (Ikan / Pieces) berlangsung pada 21 Februari – 21 Mac. Bunga durian berkembang, angin timur bertiup kencang dan pokok janggus mula berbuah.
Bulan kelima, Hamal (bebiri / Aries) bermula 22 Mac – 21 April. Petanda alamnya apabila tiada bayang terlihat ketika serembang matahari.
Bulan keenam, Saur/Thaur (kerbau jantan / Taurus) bermula 22 April – 22 Mei. Ketika ini kelopak bunga keranji sudah berguguran seperti hujan.
Bulan ketujuh, Jauza (kembar / Gemini) bermula 23 Mei – 22 Jun. Persediaan untuk menyemai padi bermula dengan menyiapkan tapak serta benih padi ringan mula ditaburkan.
Bulan kelapan, Saratan (ketam / Cancer) bermula 23 Jun – 23 Julai. Waktu ini, bintang-bintang boleh dilihat di langit pada waktu Subuh. Padi berat juga sesuai ditabur pada waktu ini.
Bulan kesembilan, Asad (singa / Leo) bermula 22 Julai – 23 Ogos. Pada bulan ini juga, padi pertengahan atau padi berat boleh mula ditanam.
Bulan kesepuluh, Sunbulah (perawan (Virgo) bermula 24 Ogos – 23 September. Ketika ini, sekali lagi bayang-bayang tidak terlihat pada waktu serembang matahari.
Bulan kesebelas, Mizan (neraca / Libra) bermula 24 September – 23 Oktober. Burung balai akan mula berbunyi petanda masih dalam musim piama barat.
Bulan kedua belas, Akrab (kala jengking (Scorpio) bermula 24 Oktober – 22 November. Kedengaran bunyi burung ruak-ruak merupakan petanda alam pada bulan ini. Bunyi burung ini menandakan sudah tamat piama bendang.
Dikatakan setiap tahun mengikut kalendar piama tidak sama dengan tahun-tahun lain. Ciri-cirinya akan timbul setiap 12 tahun sekali. Di dalam satu kitaran atau 12 tahun, akan ada 3 tahun kemarau kuat, 3 tahun banjir besar serta 6 tahun sederhana di mana hujan dan panas yang berpatutan.
Nama-nama haiwan yang dijadikan nama tahun adalah dari perkataan purba seperti:
Cut (Tikus), Celu (lembu), Kan (harimau), Thok (pelanduk), Merong (naga), Mesing (ular kecil), Memih (kuda), Memia (kambing), Wok (kera), Reka (Ayam), Cor (anjing) dan Kum (kura-kura).
Dipercayai bahasa ini adalah berasal dari tamadun purba yang pernah bertapak di utara Semenanjung Malaysia dan Thailand. Walaupun zaman sudah moden namun masih ada lagi sebahagian petani di Kedah masih menggunakan takwim Piama ini dalam penanaman padi kerana ketepatannya mengikut cuaca dan musim tempatan.
Menarik: DAH AKHIR ZAMAN BILA NAK BANGKIT WAHAI MELAYU (PROF.DR.MOHD RIDHUAN TEE BIN ABDULLAH)