EkonomiSejarah

Fo-Lo-An: Pelabuhan Penting Alam Melayu Abad ke-10 M

Kegemilangan kerajaan-kerajaan Alam Melayu pada suatu ketika dahulu tidak boleh disangkal apabila pelbagai rekod dari dalam dan luar negara mencatatkan tentangnya. Kerajaan Fo-Lo-An merupakan salah satu kerajaan purba di Alam Melayu yang berkembang maju ketika era kegemilangannya. 

Terdapat sebuah buku dari Dinasti Sung, China bertajuk ‘Chu-fan Cih/Zhu Fan Zhi’ oleh Chau Ju Kua bertarikh 1226 yang ada menyebut tentang kerajaan Nusantara purba yang menjadi pelabuhan entreport yang maju pada waktu itu. Chau Ju Kua merupakan seorang penyelia perdagangan maritim di Quanzhao dalam wilayah Fujian. Terdapat pelbagai teori tentang lokasi tepat di manakah Kerajaan Fo-Lo-An ini terletak. Ada yang berpendapat terletak di Thailand, Kedah Tua dan persisiran pantai Timur kerana di dalam catatannya menyatakan jarak Langkasuka dengan Fo-Lo-An boleh sampai dengan masa lebih kurang 4 hari (mungkin melalui kapal layar) dan Fo-Lo-An juga boleh dihubungi melalui jalan darat. 

Namun menurut sejarawan seperti Gerini dan Paul Wheatley berpendapat Fo-Lo-An ini terletak di Kuala Berang, Terengganu. Antara bukti yang dikemukakan adalah Fo-Lo-An dikatakan merupakan salah satu kerajaan bawah naungan Srivijaya. Setiap tahun, Fo-Lo-An membayar ufti kepada Srivijaya. Pemerintah di Fo-Lo-An juga dilantik oleh kerajaan Srivijaya malah Raja Srivajaya juga sering berulang-alik ke Fo-Lo-An kerana ritual keagamaan agama berikutan terdapat patung Buddha bertangan enam di sana. Kerajaan Fo-Lo-An juga berjiran dengan kerajaan-kerajaan lain seperti Peng-Heng (Pahang), Teng-Yanu (Terengganu) dan Chih-La-Tan (Kelantan).

Baca juga>> Dakwah Syeikh Yusuf Al-Makassar Hingga ke Afrika Selatan

Namun, selain daripada kita terteka-teki di manakah lokasi tepat Fo-Lo-An, yang pasti ia sebuah kerajaan Alam Melayu yang mahsyur dek pelabuhannya yang maju. Menurut catatan dari Chau Ju Kau itu, pelabuhan Fo-Lo-An sememangnya sebuah pelabuhan yang sibuk dengan pelbagai pedagang dari serata dunia. Antaranya adalah pedagang-pedagang dari Arab, China dan India serta negara-negara lain di bawah naungan Srivijaya. Kebanyakan pedagang dari Tanah Arab dan China juga menjadikan Fo-Lo-An tempat persinggahan di dalam pelayaran mereka. Faktor-faktor menyebabkan mereka memilih untuk ke Fo-Lo-An kerana lokasinya yang strategik dari segi jalan laut dalam jalan perdagangan mereka. Kedudukan geografi Kuala Berang yang terletak di antara 3 kuala sungai menjadikan ia sebuah kawasan yang strategik untuk aktiviti perdagangan.

Pelbagai barang-barang yang didagangkan oleh Fo-Lo-An kepada pedagang luar antaranya seperti kayu gaharu (‘Su’ dan ‘Can’; jenis-jenis kayu gaharu di dalam catatan dari China), gading gajah dan kayu laka. Para pedagang luar juga berdagang dengan barangan seperti emas, peralatan perak, besi, porselin, arak, beras, gula, gandum dan juga bahan-bahan membuat varnis. Di dalam buku itu juga mencatatkan antara kekuatan pelabuhan Fo-Lo-An adalah ia berupaya mengendalikan berbagai-bagai barang dagangan yang menarik dari seluruh pelusuk dunia. Di pelabuhan ini juga ramai pedagang luar bertukar-tukar barang dagangan mereka antara satu sama lain. 

Pada abad ke-14, kerajaan Fo-Lo-An mula hilang pengaruhnya lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Srivijaya mula hilang kuasa. Namun itu bukan bermakna Fo-Lo-An ini hilang terus dari radar. Berdasarkan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 702 Hijrah/ 1303 Masihi yang dijumpai di Kuala Berang menandakan kerajaan Fo-Lo-An yang dahulunya agama rasminya Hindu-Buddha kini sudah bertukar kepada Islam. Seperti yang diketahui, pelabuhan Fo-Lo-An banyak dikunjungi oleh pedagang dari Tanah Arab. Para pedagang Arab ini kebanyakannya berdagang dan juga menyebarkan agama Islam. 

Seperti berdasarkan beberapa pendapat tentang seorang ulama dari Arab bernama Syariff Muhammad Al-Baghdadi yang berasal dari Baghdad telah mengalahkan kerajaan lama Fo-Lo-An dan kemudian membina Kota Temir sebagai kota pemerintahan Islam di Terengganu. Oleh kerana itu Terengganu dipercayai negeri pertama di Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya. Kemajuan Fo-Lo-An masih lagi diteruskan walaupun sudah bertukar nama dan bertukar pemerintah. Kini walaupun Fo-Lo-An sudah tidak wujud, legasinya masih ada. Para penyelidik terus berusaha untuk mencari petunjuk yang tepat tentang kerajaan ini. Mungkin suatu hari nanti sejarah tentang Fo-Lo-An akan terungkai dan memberikan kita gambaran yang lebih jelas tentang masa lalu yang sudah lama dilupakan.

Menarik: TINDAKAN PENGGUNA MUKMIN: APA YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK BERDEPAN KEZALIMAN ZIONIST

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker