Keadaan Pekerja Di Semua Sektor Di Gaza Amat Kritikal
Menjelang Hari Pekerja setiap 1 Mei pada tahun 2024, seluruh Kesatuan Sekerja Malaysia wajar menzahirkan dokongan dan bersolidariti dengan pekerja Palestin.
Keadaan pekerja di semua sektor di Gaza kini amat kritikal. Ketika Hari Pekerja disambut tahun ini diharap agar pernyataan solidariti bersama Palestin dizahirkan dalam perhimpunan Hari Pekerja 2024 nanti.
Nasib pekerja dalam sektor awam dan swasta di Gaza sangat getir. Pada awal perang pekerja Palestin di Israel dihalau keluar, malah mereka dihina oleh majikan Yahudi di Tebing Barat. Nasib pekerja Palestin yang mencari pekerjaan di Israel tidak mendapat hak pekerja seperti yang diperakui oleh Pertubuhan Pekerja Antarabangsa.
Eksploitasi dan penindasan dideritai oleh pekerja Palestin kerana majikan Yahudi di Tebing Barat mengambil kesempatan menindas mereka akibat ekonomi Palestin disekat di Gaza.
Gaza dikepung secara haram oleh Israel selama lebih 17 tahun sejak 2006
Akibatnya warga Gaza terpaksa mencari pekerjaan di Israel. Pihak Israel mengenakan sistem broker yang tidak mengambil endah hak pekerja Palestin yang seharusnya tertakluk juga di bawah ketetapan Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO).
Pekerja Palestin sudah lama ditindas oleh majikan di Israel sehingga mereka dilayan dengan buruk menyebabkan mereka hidup dengan pendapatan yang tidak bermaruah.
Israel telah melakukan jenayah perang yang paling ganas bermula 7 Oktober 2023. Akibat daripada serangan Israel yang melanggar semua undang-undang antarabangsa warga Gaza berdepan dengan hukuman kolektif oleh Israel.
Selama hampir 7 bulan Gaza dibom dengan lebih 75,000 tan bom and peluru berpandu seberat lebih 66,000 ton letupan, menghancurkan lebih 369,000 bangunan kediaman, 1,000 masjid, 500 sekolah, dan hampir semua infrastruktur awam.
Baca juga>> Wasiat Buat Bangsaku Melayu!!!
Lebih 4,000 pekerja Gaza ditahan dalam tahanan massa yang amat teruk dan tidak berperikemanusiaan, 339 pekerja perubatan terbunuh, 380 tercedera dan 99 lagi ditahan. Ditambah lagi 30 hospital, 122 ambulan dan 53 pusat kesihatan dibom.
Manakala di sektor Pendidikan pula, dilaporkan lebih 5,000 pelajar syahid, 395 sekolah dan 5 universiti dibom. Sebanyak 100 sekolah hancur sama-sekali. Manakala 133 sekolah menjadi tempat perlindungan. Seramai 227 kakitangan pendidikan dan 94 pensyarah universiti terbunuh.
Tidak terkecuali di dalam sektor media, 122 jurnalis maut, 80 tercedera, 10 jurnalis ditahan, 170 pusat media dimusnahkan, termasuk 25 radio stesyen lokal turut dijadikan sasaran.
Kini 250,000 pekerja di sektor awam dan swasta di Gaza terjejas teruk. Mereka kehilangan pendapatan dan menjadi penganggur. Manakala seluruh pekerja tidak lagi mempunyai keupayaan untuk sara diri dan keluarga.
MAPIM Gesa Semua Pihak Bersolidariti Bersama Palestin
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan pihaknya ingin menyeru, Kesatuan sekerja dan profesional di Malaysia dan sedunia agar menunjukkan solidariti dengan pekerja Palestin dan penolakan pencerobohan rejim zionis Israel di Gaza dan seluruh Palestin. Mendesak ILO bertindak ke atas Israel yang telah melanggar undang-undang antarabangsa dan menindas pekerja Palestin.
Mohd Azmi berkata, Kesatuan profesional dalam semua sektor di Gaza menyeru dilancarkan mobilisasi seluruh ahli profesional global bersolidariti dan mempertahankan Gaza dengan menghentikan serangan Israel dan menamatkan kepungan ke atas Gaza.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Khidmat Sosial Kesatuan Sekerja Malaysia – Palestin turut menggesa kesatuan Sekerja di Malaysia menyalurkan bantuan dan perlindungan untuk membantu warga Gaza tanpa menunggu perang tamat.
Jelasnya, sebuah pelan bertindak dengan kerjasama kesatuan Sekerja di Gaza seharusnya diwujudkan bagi menguruskan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Tambah beliau, pihaknya turut menggesa badan dunia supaya mengambil inisiatif mendesak pintu sempadan Rafah dibuka untuk penyaluran bantuan kemanusiaan serta mengeluarkan mereka yang cedera untuk mendapat rawatan di luar Gaza.
“Kami juga menyeru badan Sekerja membantu menguruskan lebih 75,000 mangsa yang cedera untuk mendapat rehabilitasi perubatan dan rawatan di pusat kesihatan dan hospital di dalam dan di luar Gaza.”
“Usaha menghantar misi perubatan ke Gaza di kalangan pekerja kesihatan hendaklah diatur segera untuk membantu sistem kesihatan di Gaza yang telah lumpuh,” ujarnya.