Di Tanah Melayu ini, suatu ketika dahulu dikatakan pernah ada kumpulan kuda-kuda liar yang bertebaran di pelbagai kawasan.
Tidak diketahui bila, kumpulan kuda-kuda liar yang bertebaran berkenaan tiba-tiba hilang daripada pandangan mata dan pengetahuan masyarakat.
Tidak pasti sama ada memang pupus secara semula jadi, sengaja dibunuh atau ditangkap lalu dijadikan sebagai haiwan ternakan.
Perlu difahami bahawa Tanah Melayu yang disebut ini bukanlah apabila bermulanya penyatuan negara-negara Melayu yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.
Tetapi ia merujuk kepada era lebih awal iaitu zaman kesultanan Melayu Melaka dan ke atas lagi kerana Tanah Melayu ini berada dalam lingkungan benua pentas Sunda.
Maka apabila banjir besar berlaku, barulah kawasan tinggi kelihatan dataran yang terpisah dan terapung dikelilingi air laut dan hari ini terpisah sebagai negara mengikut geografi dan persempadanan politik.
Salah satu bukti kuda-kuda liar pernah mendiami dan bertebaran di Tanah Melayu boleh dilihat pada tunggangan tradisi suku Bajau Samah.
Mereka mempopularkan jati diri dan budaya mereka sebagai seorang pahlawan di Sabah yang menunggang kuda dan hebat merentas pesisir pantai.