Permohonan Maaf Kini Dilihat Sebagai Satu “TREND” Tiket Pesalah Redakan Keadaan
Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA Malaysia), mengesa agar mereka yang bersalah ini disiasat, diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.
Presidennya, Dato’ Hj Mohd Foad Bin Hj Mat Isa menegaskan agenda jahat yang membawa kepada barah perkauman dan anti Islam yang menular di Malaysia ini harus dihentikan segera demi keharmonian dan kesejahteraan negara.
Beliau berkata, PEKIDA Malaysia mengikuti kes jualan stokin kaki yang tertera Kalimah Allah di Pasaraya KK MART sebagai satu tragedi yang amat mengguris perasaan umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya.
Tambah beliau lagi, permohonan maaf kini dilihat sebagai satu “TREND” kepada mereka yang melakukan kesalahan dan jenayah bagi mencuci kesalahan tersebut selain dijadikan sebagai tiket meredakan keadaan. Namun kejadian seperti ini seringkali berulang seolah-olah seperti tiada noktahnya.
Baca juga>> Parti Komunis Malaya (PKM) pejuang kemerdekaan Tanah Melayu?
“Kita tidak mahu lagi perkara-perkara seperti ini terus berulang sehingga menyebabkan kemarahan umat Islam tidak dapat dibendung dan akhirnya berkemungkinan mereka bertindak balas dan melakukan perkara-perkara tidak diingini,”ujarnya yang dipetik di siaran Facebook Rasmi Ibu Pejabat Pekida Malaysia.
Menerusi hantaran itu, beliau menegaskan bahawa perkara ini jangan sampai umat Islam hilang sabar dan hilang pertimbangan lantaran provokasi dan tindakan biadab sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Terdahulu, sebanyak 42 laporan polis telah dibuat termasuk oleh PEKIDA Malaysia berhubung kes yang semakin hangat diperkatakan dan semakin menambah kemarahan umat Islam negara ini walaupun selepas permohonan maaf yang dikeluarkan oleh KK Mart dalam satu sidang media minggu lalu yang disifatkan hanya sebagai mengulangi amalan biasa setelah mereka menghina agama Islam di Malaysia.
Mohd Foad berkata, sebagai sebuah NGO Melayu Islam yang sentiasa mempertahankan kesucian Agama Islam, memperteguhkan kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan, PEKIDA Malaysia dengan tegas ingin mendesak pihak berkuasa agar melaksanakan proses undang-undang dan pendakwaan dengan telus tanpa prejudis agar mereka yang menghina Islam dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera tanpa kompromi.
‘AMAR MAKRUF, NAHI MUNGKAR’