Hiburan pada zaman yang serba moden ini dilihat sebagi satu perkara yang telah dianggap sebagai kebiasaan. Malah telah menjadi satu bentuk jalan keluar bagi mereka yang mempunyai masalah. Namun sebenarnya Islam merupakan satu agama yang sangat indah kerana sederhana dalam setiap perkara.
Islam merupakan agama yang sangat menekankan pembangunan modal insan. Namun pada masa yang sama turut memberikan ruang kepada manusia untuk meraikan fitrah diri. Islam tidak menghalang hiburan sepenuhnya akan tetapi telah menyediakan satu panduan yang lengkap untuk diikuti supaya membina kepautan hati kepada Allah dan rasul. Bukan sekadar mengikuti dengan nafsu haiwani. Pada dunia yang serba moden ini adakah kita mampu menjaga diri dan mengikuti panduan yang Islam tetapkan?
Nu’man bin Basyir رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ meriwayatkan bahawa Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda:
إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ
Maksudnya: Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.
Sahih Muslim (1599)
Adakah salah Kita Mencari Hiburan?
Pada zaman Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, sahabat baginda yang bernama Hassan bin Thabit telah menggunakan kemahirannya dalam bersyair untuk memuji Nabi dan juga mempertahankan syiar Islam. Syair-syair yang dikeluarkan olehnya juga diibaratkan seperti anak panah panah kebenaran yang menikam kaum musyrikin Quraisy ketika itu. Malah syair Hassan bin Thabit juga disukai oleh Saidina Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Ini adalah kisah bagaimana sahabat yang menggunakan kemahiran dalam bidang seni untuk berdakwah. Jadi bagaimana pula dengan hiburan yang kita cari sekarang?
Kita dapat lihat kemeriahan Anugerah Juara Lagu Ke 38, di mana lagu Hasrat oleh Amir Jahari telah berjaya menjadi juara. Ramai anak muda yang sanggup bersengkang mata untuk menyaksikan hingga waktu kemuncak. Dewasa yang sudah bekerja pun tidak kalah fokus di depan television menyaksikan acara sehingga habis.
Namun, adakah kita sanggup membuat perkara yang sama apabila melibatkan hal-hal kepautan hati kepada Allah dan rasul?
Sedar atau tidak sedar sebenarnya kita telah lalai dan terlalu selesa bergelumang dengan hiburan yang memuaskan nafsu. Kita sanggup menghabiskan masa untuk menyokong penyanyi dan pelakon yang kita minat untuk memenangi sesuatu anugerah. Kita juga sanggup bersesak-sesak di konsert lalu bercampur lelaki dan perempuan semata untuk berhibur. Adakah ini cara merawat hati yang betul?
Sebenarnya ketenangan apa yang dicari akan semakin jauh dengan cara berhibur. Banyak lagi alternatif untuk kita melepaskan diri daripada masalah-masalah yang terbelenggu. Namun berhibur dengan maksiat, bukan satu daripadanya. Terdapat banyak dalil yang memberikan hukum yang keras terhadap hiburan.
Baca juga>> Wakil Rakyat Thailand Tampil Berbusana Melayu di Parlimen Thailand
Para ulama yang mengharamkan muzik melalaikan dan mempunyai pelanggaran syarak yang jelas. Hujah ini berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith, antaranya firman Allah سُبْحَانَهُۥ وَتَعَالَىٰ:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِين
Maksudnya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.
Surah Luqman (6)
Kata Ibn ‘Abbas sewaktu mentafsirkan ayat ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Mujahid berpandangan ia merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Al-Hasan al-Basri pula menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. (Rujuk Tafsir al-Tobari, 21/40 dan Tafsir Ibn Kathir, 3/451)
Selain itu, sabda Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لا تَبِيعُوا الْقَيْنَاتِ وَلاَ تَشْتَرُوهُنَّ وَلاَ تُعَلِّمُوهُنَّ وَلاَ خَيْرَ فِي تِجَارَةٍ فِيهِنَّ وَثَمَنُهُنَّ حَرَامٌ . فِي مِثْلِ ذَلِكَ أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ هَذِهِ الآيَةُ : (ومِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ) إِلَى آخِرِ الآيَةِ .
Maksudnya: Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah”
Sunan Tirmizi (3195)
Hakikat Hiburan yang Menenangkan Hati
Hati ini sebenarnya adalah tempat yang Allah سُبْحَانَهُۥ وَتَعَالَىٰ ciptakan hanya untuk mengingati-Nya sahaja. Hati manusia ini hakikatnya mampu untuk mengingati Allah سُبْحَانَهُۥ وَتَعَالَىٰ dalam setiap perkara dalam kehidupan sama ada dalam pekerjaan harian lagi-lagi ketika beribadah. Manusia selalu menyangka dengan banyak berhibur maka mereka akan mencapai ketenangan. Padahal hakikatnya nafsu itu akan tidak pernah puas.
Seperti jasad dan akal, Hati juga memerlukan makanan. Jika satu jasad setiap hari diberikan racun ia akan memberi mudarat dan menyebabkan hati akan sakit dan mati. Bila rohani hanya diisi oleh kelalaian maka ia akan ia akan merasa senang dengan tidak mengingati Allah. Ini adalah perkara yang salah. Hakikat ini dapat dilihat dalam hidup mereka yang bekerja sebagai pelakon dan penyanyi. Sehingga akhir haya masih terus bergelumang dengan arak, dadah, dan juga perlakuan yang di luar tabi’e. Ramai artis terkemuka di dunia yang tidak dapat merasai bahagia hakiki sehingga mereka sujud dan kembali berpaut hati kepada Allah dan rasul dalam kehidupan.
Perasaan ini makamnya terletak di hati. Hati hakikat sebagai tempat tunggal untuk mengingati Allah. Jika sentiasa menyibukkan diri dengan melakukan perkara yang dilarang agama, maka kebarangkalian untuk kita senang melakukan maksiat adalah sangat kuat.
Kita akan sering kali mencuba pelbagai cara untuk mencari ketenangan hati untuk merasa tenang. Acap kali dengan berhibur sepuasnya dengan perkara yang memuaskan nafsu seperti arak, zina, dadah, nyanyian, dan pelbagai lagi perkara lain.
Budaya hiburan perlu dikaji dan memerlukan perubahan. Ini penting untuk melahirkan generasi yang baik untuk meneruskan generasi masa depan yang soleh dan solehah. Sampai bila-bila bahagia itu tidak mampu dipuaskan melalui nafsu. Jadi mari kita renungkan kembali, adakah kita ini selalu berhibur sehingga melampaui batas? Moga akan sentiasa dalam hati kita perasaan sangat cintakan kebaikan untuk meraih redha Allah.