Isu Semasa

Wakil Rakyat Thailand Tampil Berbusana Melayu di Parlimen Thailand

Tujuh Ahli Parlimen Thailand berketurunan Melayu membuat kejutan apabila mengenakan busana baju Melayu ketika menghadiri sidang Parlimen negara itu pada 4 April lalu. 

Ia sebagai salah satu usaha mereka untuk memartabatkan kebudayaan dan adat resam Melayu di Thailand, serta sebagai manifestasi untuk memberi sokongan bagi melindungi kebudayaan dan adat resam Melayu di negara majoriti Buddha itu.

Kesemua mereka merupakan wakil rakyat dari Parti Prachachart dari tiga wilayah majoriti Melayu di Selatan Thailand.

Pengerusi Inisiatif Madani Serantau, Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan pihaknya berbesar hati dan mengucapkan tahniah kepada tujuh wakil rakyat Thailand yang menampilkan busana baju Melayu di Parlimen Thailand.

Ujarnya, perkara itu adalah suatu pembaharuan imej kepada rakyat Thailand bahawa kebudayaan Melayu adalah sebahagian yang integral dalam masyarakat Thailand yang perlu dihormati. 

“Kami berpendapat adalah wajar kebudayaan Melayu ditonjolkan kerana stigma terhadap masyarakat Melayu di Thailand masih dianggap sebagai kebudayaan asing dan pernyataan pemberontakan terhadap kebudayaan nasional Thailand yang dominan beragama Buddha.”

Beliau yang juga Presiden MAPIM itu menjelaskan, adalah amat penting masyarakat Melayu mengekalkan kebudayaan etnik sendiri sebagai hak budaya yang perlu dihormati dalam sebuah negara yang demokratik.

“Saling menghormati dan memahami antara budaya bagi mewujudkan keharmonian dalam sesebuah negara pelbagai etnik adalah penting,”katanya.

Baca juga>> Israel Negara Penjenayah Dan Pengganas!

Tambah beliau, mengiktiraf keragaman budaya dan tidak bersangka negatif terhadap budaya pribumi sesebuah etnik harus diterima baik oleh pemerintah Thailand.

Penghakisan budaya dan penjajahan budaya adalah antara isu penting yang perlu dibahaskan dalam proses damai antara komuniti di Thailand. 

“Kami menganjurkan agar dialog kebudayaan diadakan di Thailand dalam rangka membangunkan peradaban Melayu yang kaya dengan nilai dan watak murni di Thailand.”

Konsep saling menghormati dan saling percaya inilah yang sedang diusahakan dalam agenda Malaysia Madani.

Perkongsian program Madani yang dirangka di Malaysia boleh dikongsikan dengan pihak Thailand dalam rangka membangun rantau yang aman, stabil , makmur dan maju. 

Sudah sampai masanya hidup damai dalam kepelbagaian budaya diiktiraf di Thailand dijadikan dasar dalam pembangunan negara. 

Berprasangka negatif dan mencurigai kebudayaan Melayu di Thailand harus diatasi dengan dialog dan memberi ruang yang sihat kepada masyarakat Melayu mengamalkan budaya mereka secara aman dan selesa.

“Kami percaya rantau ini boleh menjadi contoh kepada kehidupan beragam budaya yang unik dan harmoni demi membangun komuniti Asean yang makmur,”ujarnya.

Menarik:

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker