Israel telah melanggar semua undang-undang antarabangsa sejak kewujudannya. Israel adalah negara haram jika dilihat dari sudut penubuhannya kerana tidak boleh dinafikan, ia telah merampas tanah Palestin.
Tiada sifat yang layak dirujuk terhadap Israel kecuali sebagai sebuah negara penjenayah dan negara teroris. Jika ada ciri yang lengkap melabelkan sebuah negara sebagai negara teroris maka Israel memenuhi ciri tersebut.
Terbaru, Kita dapat lihat, serangan barbarik Israel membunuh 7 petugas bantuan kemanusiaan dalam konvoi kenderaan World Central Kitchen. Bukankah perkara itu adalah jenayah perang yang sangat nyata.
Sebaliknya, pengakuan Israel bahawa ia bersalah melakukan pembunuhan itu dibuat berikutan kemarahan dunia. Jika tidak, pasti Israel tidak akan peduli.
Netanyahu sanggup memberi reaksi spontan serangan itu kononnya tidak disengajakan. Padahal, terbukti ia adalah operasi yang sengaja dilancarkan dan bertujuan membunuh petugas-petugas bantuan kemanusiaan untuk memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk membantu Gaza adalah dianggap membantu Hamas.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid sebenarnya, membunuh cara begitu bukan pertama kali dilakukan Israel.
Jelasnya, Tentera zionis Israel telah melakukan jenayah seperti itu sejak 1948 lagi. Israel menyasar semua, tidak ada yang terkecuali.
“Setiap kali operasi pembunuhan, hatta kanak-kanak sekali pun, alasannya sama sahaja, iaitu “ada Hamas bersembunyi di sebalik orang awam,”ujarnya.
Lebih berat, warga Palestin yang berebut untuk mendapatkan bantuan dari trak kemanusiaan dan dari udara juga ditembak. Gaza seolah-olah dijadikan medan latihan menembak para soldadu Israel.
“Kami mengutuk keras jenayah perang oleh Israel. Tiada sebab untuk membiarkan Israel terlepas daripada hukuman undang-undang antarabangsa. Para pegawai tertinggi Israel, dari Perdana Menteri Netanyahu hingga ke peringkat menteri dan pegawai tentera, mesti dipertanggungjawabkan terhadap semua jenayah yang dilakukan!”tegas beliau.
Baca juga>> Perang Tiga Segi: Johor – Acheh – Portugis
Sejak 1948, Palestin terus-menerus dijadikan mangsa oleh Israel. Rejim apartheid itu melakukan jenayah ke atas Palestin di Gaza dan di Tebing Barat.
Serangan terburuk di Gaza kali ini merentas semua tragedi orang awam. Dari petugas media, pekerja kesihatan hingga ke pengawal keselamatan, semua menjadi sasaran.
Kegagalan PBB bertindak menghukum Israel jelas menunjukkan agensi terbesar dunia itu dilumpuhkan oleh hegemoni kuasa barat.
Peranan PBB semakin dipersoalkan. Ia dianggap hanya beretorik dengan kenyataan- kenyataan oleh Setiausaha Agongnya Antonio Guterres, manakala isu Palestin masih ditentukan oleh Israel dan AS dan sekutunya.
Malah, kenyataan Netanyahu bahawa sempadan Mesir dan Gaza adalah di bawah ketentuan Israel jelas menunjukkan PBB tidak bermaya untuk berbuat apa-apa.
Bukankah PBB sepatutnya bertindak mengguna segala kuasa yang ada padanya untuk memastikan kepungan ke atas Gaza oleh Israel ditamatkan?
Paling mengecewakan, saat ini walaupun cuma berbaki beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri namun suara rintihan, jerit perih warga Gaza masih dipandang sepi oleh seluruh Dunia termasuk orang Islam sendiri.
Apakah kita masih sibuk di bazar makanan dan pakaian baru untuk sambutan Hari Raya Kali ini?
Sedarkah, Saudara kita sedang terseksa dengan bedilan peluru tetapi kita terseksa hanya kerana banyak makan ketika berbuka?
Bersyukurlah…