Isu Semasa

Bangkit Wahai Melayu, Bangsa Kita Hebat!

Ramai yang beranggapan bahawa Bangsa Melayu ini merupakan bangsa yang pemalas, miskin, dan tidak mempunyai sifat untuk memajukan diri. Kritikan seperti ini kerap kali dengar sejak daripada dulu lagi. Tuduhan ini sangat berat kerana bersifat tidak adil kerana terdapat perbezaan spektrum pandangan diantara penjajah dan bangsa Melayu. Situasi ini berlaku kerana British hanya memandang bangsa Melayu ini pemalas kerana tidak mengikut telunjuk mereka.

Pokoknya, adakah benar bangsa ini adalah pemalas?

Pokoknya, siapakah yang sanggup keluar menoreh getah pada waktu subuh lagi. Siapakah yang pernah ke laut bermula jam dua pagi. Siapa pula yang sedia menajak dan menenggala sawah di tengah panas terik semua ini dilakukan oleh penduduk Melayu di desa-desa”

Prof Diraja Ungku Aziz, 5 Disember 1987

Pernyataan ini dengan keras membantah bahawa orang Melayu bukan sebenarnya bangsa yang pemalas seperti dikatakan. Perkara ini juga disokong oleh Syeikh Hussin Al-Attas dalam bukunya Mitos Pribumi Pemalas menyatakan bahawa bangsa ini diberi naratif pemalas kerana tidak mahu untuk tunduk bekerja kepada penjajah. Jadinya penjajah British terpaksa membawa masuk buruh daripada China dan India untuk bekerja mengisi tempat kekosongan kaum Melayu. Orang Melayu lebih senang untuk bekerja sendiri daripada bekerjasama dengan penjajah. Mereka lebih senang untuk mengusahakan ekonomi sara diri secara kecil-kecilan seperti bercucuk tanam, menternak, dan juga mengusahakan sawah sendiri.

Mereka sanggup untuk hidup susah daripada membiarkan negara ini tergadai!

Apabila alam dan kepulauan Melayu dijajah, ia telah merubah segalanya dan kesannya dapat dilihat sehingga ke hari ini. Ia telah mencorakkan identiti, pemikiran, pengalamanruang geografi, tanggapan sejarah, warisan, dan juga gaya hidup. Orang melayu sudah serba lengkap isi tamadunnya sejak dulu.

Kehebatan bangsa Melayu ini dapat dilihat apabila penemuan keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung yang dijumpai di Okinawa. Menurut Pusat Arkeologi Okinawa menyatakan bahawa keris seperti ini lazimnya dijadikan sebagai hadiah untuk kerajaan Ryukyu untuk membina hubungan baik dengan kerajaan Melaka.

Ketua Penerbit UPM, Kamariah Mohd Saidin, berkata dokumen terbabit ialah rekod rasmi, ‘Rekidai Hoan’, kerajaan Ryukyu, yang kini dikenali sebagai Okinawa dan catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque pada 1774, yang ditemui di Universiti Ryukyu. “Rekidai Hoan mengandungi 19 surat kerajaan Ryukyu kepada Melaka serta 11 surat daripada kerajaan Melaka, yang tertera nama Hang Tuah. “keris yang dikenal pasti penyelidik UPM di Pusat Arkeologi Okinawa pula asalnya ditemui di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji, sekali gus membuktikan hubungan kukuh terjalin antara Melaka dengan Ryukyu,”

Ini membuktikan bahawa orang Melayu dulu telah belayar sehingga ke asia timur untuk membina hubungan baik.

Orang Melayu sendiri mempunyai falsafah yang berkait dengan kehidupan sekeliling. Daripada sekecil sehingga ke sebesar-besar perkara. Daripada bangun daripada tidur sehingga melelapkan mata kembali pada malam hari.

Falsafah Orang Melayu Dalam Kehidupan

Apabila berbicara soal pakaian pastinya orang Melayu mempunyai mempunyai pelbagai busana dan pakaian yang begitu indah. Semuanya mempunyai falsafah yang tersendiri. Baju Melayu mempunyai dua bahagian iaitu baju dan seluar serta dilengkapi dengan sampin dan songkok. Terdapat dua versi iaitu satu adalah baju Melayu Cekak Musang dan juga Teluk Belangga.

Terdapat falsafah pada pemakaian baju Melayu salah satu daripadanya adalah lima butang pada baju Melayu Rukun Islam dan satu butang pada Teluk Belangga dikaitkan dengan akidah mempercayai tuhan yang satu iaitu Allah SWT. Tiga saku yang berada di baju melambangkan tiga rukun agama iaitu Islam, Iman, dan Ihsan. Setiap bentuk dan terletaknya pakaian juga menandakan sesuatu simbol. Sekiranya pemakaian samping di atas lutut menandakan bahawa lelaki itu telah berkahwin manakala terletaknya samping di atas lutut menandakan lelaki itu masih bujang. Begitu indahnya keindahan falsafah Orang Melayu. Ini hanya pada pakaian sahaja belum lagi merangkumi perkara lain.

Baca juga>> Hiburan Daripada Konteks Islam

Antara falsafah lain yang dapat dilihat adalah pada kesenian Melayu. Ini merangkumi daripada seni bina dan seni halus Melayu. Apabila dilihat daripada seni bina Melayu pasti dapat dikatkan dengan seni bina Islam. Biasa perkara ini dappat dilihat daripada masjid, surau, dan rumah tradisional Melayu. Bumbung akan direka dalam bentuk limasan yang mana cerminnya akan berbentuk lebar lima atau tiga, tirus bahagian dan lebar pada bahagian bawah. Antara contoh terbaik Masjid Agung Damak di Jawa dan Masjid Kampung Laut di Kelantan.

Falsafah binaan ini adalah melambangkan perjalanan kaum sufi yang merentasi tiga tujuan iaitu tarekat, hakikat, dan juga makrifat. Bahagian yang lebar melambangkan lautan manusia yang berlindung dengan rahmat Allah dan pada bahagian yang tirus melambangkan matlamat akhir menuju kepada keredhaan Allah. Ini adalah pengabdian seni untuk mencapai hakikat bahagia yang sebenar.

Bangsa Melayu penuh falsafah dalam kehidupan merentasi binaan, pakaian, makanan, seni bela diri, dan pelbagai lagi. Orang Melayu penuh dengan hikmah dan rahsia dalam kehidupan. Ini dapat dilihat juga dalam berkaitan dengan songket. Orang Melayu mempunyai kecintaan yang tinggi pada seni halus yang memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Inspirasi pada pemilihan dan motif songket juga didasarkan dengan pemilihan berdasarkan pengalaman dengan sifat fizikal alam tersebut.

Berdasarkan keadaan itu, seseorang penenun songket perlu mempunyai nilai-nilai itu untuk menghasilkan seni tenunan yang tinggi mutunya.  

Dalam konteks ini Tenas Effendy mengungkapkan pendapat: “Tenunan songket adalah diibaratkan seperti suatu ciptaan dunia yang luas lalu diperkecilkan menjadi olahan yang tertib lagi menawan. Lazimnya si penenun mula mengolah rekaan pada bahagian kepala, badan dan kaki kain. Secara tradisinya, corak-corak dasar itu dikembangkan dengan berbagai-bagai variasi dan nama sehingga membentuk suatu keserasian yang sebati.  Selain terhampar sebagai kain tenunan yang cantik, songket juga perlu dipakai dengan penuh tatacara dan kesantunan lalu terbentuklah suatu rupa budaya, sistem nilai dan normanya” (Tenas Effendy, temu bual peribadi, 12  Januari, 2007)

Tatatusila dan adab sopan santun yang tinggi juga diterjemahkan orang Melayu dalam bentuk pakaian busana Melayu. Songket bukan sahaja sebagai satu alat yang menjunjung adat malah sebagai pakaian harian. Ia juga disesuaikan mengikut majlis, tempat, dan kesesuaian keadaan. Jelasnya, seni tenunan songket adalah salah satu daripada kebudayaan seni tenunan tangan orang Melayu yang sangat unik kerana ia bukan sahaja kelihatan cantik dari segi luaran tetapi juga kaya dengan lambang-lambang yang mengandungi falsafah dan nilai yang amat berharga bagi kehidupan dan kemanusiaan dari sudut dalamannya.

Hakikatnya, bangsa Melayu ini penuh dengan falsafah dan hikmah di sebalik sesuatu perkara. Banyak lagi rahsia yang tidak diketahui dan perlukan ilmu, ruang, dan masa untuk menggalinya dengan lebih dalam. Falsafah bangsa Melayu telah banyak hilang kerana kita mengikut telunjuk penjajah dengan mengejar arus kemodenan semasa. 

Menarik: BANGSA MELAYU BANGSA BERTAUHID (DATO’ PADUKA PROF.DR. SUPYAN HUSSIN)

Lihat lagi

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker