Kerajaan Funan merupakan salah satu dari beberapa kerajaan awal di kawasan Asia Tenggara yang telah meninggalkan warisan budaya dan sejarah yang kaya. Kerajaan ini bermula pada abad pertama Masihi di Sungai Mekong. Namun ada juga penemuan arkeologi bahawa kerajaan ini mungkin sudah wujud 4 tahun sebelum Masihi lagi. Tidak ramai yang tahu sebenarnya kerajaan Funan dipercayai adalah kerajaan Melayu kuno. Kerajaan Funan dahulu meliputi sebahagian besar negara-negara Indochina serta sebahagian negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu. Funan merupakan sebuah kerajaan yang bersikap terbuka dan mempunyai rakyat dari pelbagai etnik termasuk dari golongan Austronesia seperti Khmer.
Sejarah Kerajaan Funan telah direkodkan di dalam Rekod Dinasti Liang (Liang-shu) yang mengatakan kerajaan ini bermula dari negara Melayu yang gemilang kemudian berkembang menjadi empayar dengan wilayah takluk yang besar. Ini bermakna mereka bermula dari negeri yang kecil dan berperang untuk menjadikan kerajaan mereka berkembang. Funan menakluki sejauh 2000 km ke arah barat namun mereka tidak pernah cuba menakluki Kerajaan Champa yang terletak bersebelahan dengan Funan. Seperti yang kita tahu Champa juga merupakan kerajaan Melayu oleh itu mungkin terdapat persaudaraan atau perhubungan terjalin di antara kedua kerajaan ini menyebabkan mereka tidak berseteru. Ini mengukuhkan lagi bukti yang Kerajaan Funan adalah kerajaan Melayu.
Dikatakan juga nama ‘Funan’ itu adalah nama panggilan diberikan China di dalam rekod-rekod mereka. Nama sebenar kerajaan ini adalah ‘Bnam’ atau ‘Phnom’ yang bermaksud gunung dari Bahasa Melayu Kuno dan Khmer Kuno. Terdapat pengkaji berpendapat bahasa yang digunakan mereka adalah bahasa Melayu-Polinesia sama seperti Kerajaan Champa, jiran kepada Funan. Disebabkan kepelbagaian etnik masyarakat Funan, terdapat dua bahasa yang digunakan adalah Bahasa Melayu Kuno serta Bahasa Mon-Khmer. Nama-nama Melayu kuno ini masih diguna pakai sebagai contoh nama Phnom Penh di Kemboja dan Kampong Cam yang terletak di Sungai Mekong.
Al-kisah Funan ini bermula dari seorang pemimpin wanita bernama Soma. Dipercayai Soma atau Liu-Yeh dalam bahasa Cina adalah puteri kepada Raja Naga (Ular). Ada juga yang mempercayai nama lain bagi Soma adalah Mayang Mengurai disebabkan Liu bermaksud nyiur. Di dalam rekod dari China, masyarakat Funan ini tidak berbaju (mungkin bercawat sahaja), orangnya gelap dan berambut keriting. Kemudian datang seorang Brahmin bernama Kaundinya ke tanah Funan lalu mengahwini Ratu Soma. Ada pendapat mengatakan Kaundinya datang dari India namun ada juga yang berpendapat dia datang dari tanah Jawa.
Baca juga>> Kenapa Melayu Masih Mengemis, Ditindas Dalam Negara Sendiri?
Di dalam Buku Liang, mencatatkan legenda Kaundinya I atau Huntian datang dari negeri selatan yang tak dapat dikenal pasti, Jiao (berkemungkinan besar dari Tanah Melayu atau Indonesia) yang bermimpi jin khadam miliknya memberi busur dan anak panah sakti dan disuruh berlayar dengan kapal dagang. Esoknya, dia menjumpa busur dan anak panah tersebut pada bawah pokok jin. Lalu dia pun mengembara dengan kapal sehingga singgah di Funan. Ratu Soma atau Liu-Yeh menyerang kapal Kaundiya namun Kaundinya membalas semula dengan menyerang menggunakan panah. Panah itu dapat menembusi kapal Liu-Yeh yang kuat lalu wanita itu menyerah diri. Kaundinya kemudian memperisterikan Soma. Apabila melihat dia tidak berpakaian, Kaundinya membuat lubang pada kain lalu menyuruh rakyat jelata Funan untuk memakai pakaian. Jika dilihatkan terdapat persamaan pakaian Champa dan Funan lalu ini menguatkan lagi teori Funan adalah kerajaan Melayu.
Antara bukti lain yang mengait rapat Kerajaan Funan dan budaya Melayu adalah penggunaan aksara Pallava yang dipahat pada prasasti-prasasti yang dijumpai di Funan. Seperti yang diketahui, tulisan Pallava berasal dari India Selatan dan dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika mereka datang ke Nusantara. Seperti yang diketahui, Bahasa Melayu kuno banyak dipengaruhi oleh Bahasa Sanskrit dan Tamil Pallava.
Selepas kerajaan Funan jatuh dan diserap menjadi kerajaan Chenla, Bhavavarman II meninggalkan prasasti Han Chey di Kampung Cham, Kemboja pada abad ke-6 Masihi. Pelbagai pakar sejarah moden cuba menterjemah ayat itu sehinggalah mendapat konklusi ayat itu berbunyi, “Mala Malayu Iva Malayam Raja”. Ayat ini bermaksud ‘Raja Mala dari Malayu’.
Dari bukti-bukti sejarah yang ada, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Funan memang memiliki kaitan erat dengan budaya Melayu sekaligus menjadikan ia adalah sebuah kerajaan purba Melayu.