Sejarah

Seni Mukun: Kesenian Tradisional Orang Melayu yang Dilupakan

Tak ramai yang tahu orang Melayu di Sabah Sarawak juga mempunyai adat budaya mereka tersendiri di mana salah satunya adalah seni bermukun. Ia unik kerana dikatakan hanya terdapat di negeri-negeri kepulauan Borneo seperti Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei. Ia tidak terdapat pada negara-negara Asia Tenggara yang lain. Seni bermukun juga dikenali dengan nama lain seperti bergendang atau nopeng.

Jadi apa itu dia seni bermukun ini? Secara umumnya, ia adalah sebuah persembahan tradisional yang mempunyai tarian serta pantun berlagu sambil diiringi alat muzik seperti gendang dan biola. Bermukun juga sering dipersembahkan ketika majlis-majlis perkahwinan khususnya di kalangan orang Melayu Sarawak. Selain itu, bermukun juga dimainkan ketika apa-apa keramaian seperti membuka kawasan baru dan perayaan musim menuai suatu ketika dahulu. 

Bermukun ini dipercayai bermula sebagai suatu aktiviti ritual perubatan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu di Sarawak mengamalkan bermukun ketika ritual merawat pesakit dan hanya diiringi gendang sebagai alat muzik. Sejak awal kewujudan seni bermukun sehingga lewat 1700-an ia dimainkan menggunakan gendang. Ketika awal 1800-an pula, alat muzik seperti gambus diperkenalkan, memasukkan elemen baru setelah kedatangan Islam.

Oleh kerana kedatangan Islam juga, seni mukun yang bermula sebagai ritual perubatan telah berubah menjadi persembahan seni untuk keramaian dan menjadi satu bentuk hiburan buat masyarakat tempatan. Alat muzik lain juga diterapkan seperti biola, rebana, gong serta akordion. Malah pada zaman sekarang, ada juga yang menggunakan ‘keyboard’ untuk menggantikan bunyian alat muzik lain. 

Di dalam bermukun, terdapat tiga elemen yang penting iaitu Dendangan (Seh Gendang), Menopeng dan Bertandak. Tempat pemukun dipanggil ‘teratak’ dan ada kain tabir direntangkan menjadi sempadan buat pengendang atau dipanggil Seh Gendang/Mak Gendang dengan si penari. Tempat penari itu pula dipanggil ‘gelanggang’. Selalunya Seh Pengendang terdiri daripada kaum wanita manakala si penari yang juga dikenali sebagai Penandak terdiri daripada kaum lelaki yang sekurang-kurangnya dua orang lelaki berpasangan. Jumlah ini boleh jadi lebih banyak lagi seperti enam orang.

Baca juga>> Bangkit Wahai Melayu, Bangsa Kita Hebat! Benarkah?

Untuk acara bermukun di Sarawak, apabila Seh Pengendang sudah mendapat isyarat penandak sudah bersedia untuk berbalas pantun, maka para Seh Gendang memulakan upacara bermukun dengan menepuk gendang (dumbak) lalu menjual pantun yang berbunyi:

Bukan mukun sebarang mukun,

Mukun kamek berisi beras;

Bukan pantun sebarang pantun,

Pantun kamek minta dibalas.

Apabila pantun sudah dijual, maka menandakan kaum lelaki iaitu Penandak telah dicabar untuk membeli pantun. Maka siapa yang bersuara merdu dan bijaksana diberi peluang menunjukkan kehebatan mereka. Berbunyilah pantun balas dari si Penandak pula sambil diiringi muzik dari gendang:

Api apa di Tanjung Jambu,

Api Pak Jenal di hujung perahu,

Anak siapa berdua itu,

Saja kenal nama tak tahu.

Oleh kerana acara ini ditunggu-tunggu masyarakat tempatan, suasana mungkin menjadi sesak dan padat. Sikap bertolak ansur diperlukan supaya tidak melanggar bahu atau memotong barisan. Ada Penandak tidak suka apabila ada yang cuba memotong giliran atau mengambil alih tempatnya. Sesiapa yang cuba memotong giliran sebelum penandak habis berbalas pantun boleh dianggap melanggar adat lalu pertelingkahan boleh berlaku. Ini kerana acara bermukun bukan saja dihadiri penduduk kampung itu malah turut disertai oleh orang-orang kampung sekitarnya. Pantun-pantun yang dilontarkan juga bertemakan pelbagai seperti cinta, nasihat dan usik-mengusik.

Namun acara semakin lapuk ditelan zaman. Tambahan lagi orang muda sekarang lebih suka dengan karaoke atau kugiran ketika majlis perkahwinan. Seharusnya bermukun diteruskan kerana ia adalah satu adat budaya unik buat kaum Melayu di Kepulauan Borneo. Terdapat pelbagai inisiatif telah dibuat oleh masyarakat tempatan untuk menghidupkan semula acara bermukun di Sabah, Sarawak dan juga Brunei. Ramai anak muda menubuhkan kumpulan dan kelab Mukun mereka sendiri supaya dapat meneruskan tradisi nenek moyang mereka. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri tempatan juga harus mengambil inisiatif menghidupkan semula seni bermukun supaya masyarakat luar mengenalinya sekaligus dapat menyambung semula tradisi masyarakat Melayu tempatan turun-temurun.

Menarik: Darah Melayu Paling Unik – 6 Jenis DNA Beserta Sifatnya Pada Pemilik

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button