Tersebutlah al-kisah di dalam Sulalatus Salatin karya Tun Sri Lanang tentang Raja Suran, seorang raja yang hebat dan masyhur. Cerita bermula dari Raja Iskandar Zulkarnain anak kepada Raja Darab dari Makaduniah yang ingin meluaskan empayarnya ke India telah berperang dengan Raja Kida Hindi. Dikatakan separuh tanah India merupakan tanah jajahan Raja Kida Hindi. Berlaku peperangan yang dahsyat antara kedua panglima perang ini dan akhirnya dimenangi Raja Iskandar Zulkarnain.
Apabila Raja Kida Hindi ditangkap, baginda telah diseru untuk memeluk Islam lalu Raja Kida Hindi bersetuju. Setelah itu, Raja Kida Hindi menjadi perdana menteri dan juga mencadangkan supaya Raja Iskandar Zulkarnain berkahwin dengan puterinya, Puteri Syahrul Bariyah. Pada waktu itu, Puteri Syahrul Bariyah merupakan wanita tercantik di India. Daripada perkahwinan mereka berdua, lahirlah Putera Aristun Syah. Dengan dari susur galur inilah lahirnya Raja Suran.
Tersi Berderas, cucu cicit Putera Aristun Syah telah berkahwin dengan anak Raja Sulan dari Amdan Negara. Dikatakan perkahwinan ini perkahwinan antara saudara jauh kerana Raja Sulan juga berketurunan sama. Perkahwinan antara Raja Tersi Berderas dan anak Raja Sulan, lahirlah 3 orang anak iaitu Raja Suran, Raja Hiran dan Raja Fandin.
Raja Suran telah dijaga oleh datuknya, Raja Sulan dan setelah baginda mangkat, takhtanya telah diambil alih oleh cucunya, Raja Suran untuk memerintah Amdan Negara. Seperti datuknya juga Raja Suran seorang yang berani dan bercita-cita tinggi. Baginda ingin menakluk China. Baginda tidak gentar walaupun melawan negara yang lebih besar dan kuat. Dalam perjalanan untuk berperang dengan China, baginda melalui tanah Nusantara. Baginda juga sempat berlawan dengan negara-negara sekitar termasuk Gangga Negara di mana Raja Suran berperang dengan Gangga Syah Johan. Dikatakan Gangga Negara merupakan kerajaan kuno di benua Hindia yang juga merangkumi tiga negara lain iaitu Beruas, Dinding dan Manjung yang terletak di Perak.
Baca juga>> Benarkah Kerajaan Funan itu Kerajaan Melayu?
Raja Suran kemudian berkahwin dengan Puteri Dara Segangga, puteri raja Gangga Syah Johan. Selepas itu baginda meneruskan lagi perjalanan untuk menakluk China sehingga sampai ke Langgiu atau Linggiu. Maka berperanglah baginda bersama angkatan tenteranya dengan Raja Chulan, Raja Langgiu. Selepas beroleh kemenangan, Raja Suran berkahwin dengan Puteri Onang Kiu, puteri Raja Chulan.
Baginda meneruskan misinya sehingga tiba di Temasek. Setibanya di sana, baginda bertanya sejauh mana lagi negara China? Pedagang-pedagang China yang takut dengan kekuatan tentera serta kehebatan Raja Suran telah membuat helah. Mereka berkata perjalanannya jauh dan makan masa yang banyak sehinggakan yang tua jadi tiada gigi, pokok berbuah dan jarum pun berkarat. Apabila mendengarnya, Raja Suran membatalkan niatnya untuk ke China lalu berdiam di Temasek.
Baginda kemudian memerintah untuk membina sebuah kotak kaca supaya baginda dapat melihat ke dasar laut. Raja Suran kemudian menjumpai kerajaan bawah laut, Bumi Dika dan menjumpai Raja Aktabu’l-Ard, pemerintahnya. Baginda kemudian dikahwinkan dengan Puteri Mahtabu’l- Bahri, puteri Raja Aktabu’l-Ard. Dengan perkahwinannya ini, baginda dikurniakan 3 orang cahaya mata lelaki iaitu Nila Pahlawan, Krishna Pandita dan Nila Utama. Mereka bertiga dibesarkan oleh datuknya, Raja Aktabu’l-Ard dan disuruh dihantar ke dunia semula oleh Raja Suran bila mereka sudah besar.
Ketiga-tiga orang putera Raja Suran ini nanti akan naik ke darat di Bukit Siguntang bersama dengan lembu putih. Kehadiran disedari oleh 2 orang gadis Wan Malini dan Wan Empuk. Ketiga-tiga putera Raja Suran ini yang akan membina kerajaan-kerajaan hebat di Alam Melayu nanti.
Melalui cerita tentang Raja Suran di dalam Sulalatus Salatin, boleh digambarkan baginda adalah seorang yang bercita-cita tinggi seiring dengan bakatnya dalam memimpin negara dan ketika berperang. Malah beliau juga seorang yang kreatif dan bijak kerana boleh terfikir untuk mencipta kotak kaca untuk melihat dasar laut. Beliau juga dikurniakan kesaktian seperti boleh berhubung dengan makhluk halus seperti jin dan peri. Melalui susur galur Raja Iskandar Zulkarnain hingga ke Raja Suran, kerajaan-kerajaan Alam Melayu diasaskan dan berkembang hingga menjadi sebuah empayar yang hebat.