Sejarah

Bakul Sampahkan Politik Machiavellian, Runut Politik Moral Al-Ghazali!

Bagi sesetengah pandangan, politik moral adalah antitesis kepada kecenderungan amalan politik Machiavellian yang didakwa begitu berleluasa dalam kancah politik negara selain telah menjadi pegangan dan budaya akrab politikus yang juga berperanan sebagai penggubal dasar negara ini.

Sementara di pihak lain pula, politik moral merupakan struktur konkrit kepada terbentuknya sistem pemerintahan yang telus (good governance), bertanggungjawab, mementingkan rakyat awam dan sekaligus sebagai asas untuk menolak politik wang, rasuah, penyelewengan kuasa dan sebarang tindakan negatif ajaran dari fahaman Machiavellian.

Bukankah, bentuk politik moral yang digagaskan Al Ghazali itu secara tegas menyatakan kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara.

Justeru, bukankah wajar mana-mana ahli politik tidak terus berpegang dan mengamalkan lagi politik ala Machiavellianisme di pentas politik Malaysia apatah lagi dalam mentadbir dan menguruskan rakyat dan negara ini.

Bukankah “Machiavellianisme” sendiri bermaksud orang yang suka mengambil kesempatan, bersifat licik dan pandai menipu?

Amat malang apabila pemain politik negara pada masa kini lebih cenderung mengikut aliran pemikiran dan doktrin seorang tokoh politik barat Niccolo Machiavelli yang mana segala kejahatan dihalalkan untuk mencapai sebarang matlamat politik.

Menurut Penganalisis politik dan ekonomi bebas Dato Dr Ramalan Yunus, antara ajaran fahaman Machiavelli yang popular ialah seseorang pemimpin perlu memungkiri janjinya jika berpotensi memberikan keburukan kepada dirinya dan perkara ini satu kejahatan yang dihalalkan untuk kuasa politik.

Jelas beliau, amalan kebiasaan politik sebegini banyak diserap oleh kebanyakan ahli politik yang mana perkara tersebut boleh dilihat bukan sahaja ketika melakukan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi juga dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan itu sendiri.

“Betapa isu seperti kos sara hidup, pencerobohan tanah, kenaikan harga barang, keruntuhan akhlak dan seumpamanya tidak ditangani dengan “bijak” sebaliknya hanya sekadar menggunakan kaedah retorik politik,”ujarnya.

Beliau berpandangan, ajaran yang dibawa dalam fahaman Niccolo Machiavelli ini hanya perhambaan terhadap rakyat demi mencapai matlamat kuasa politik. Kalau adapun usaha ke arah tindakan membantu ia tidak lebih dari sekadar sandiwara semasa dengan tujuan mengalih perhatian.

Jelas sekali, amalan politik “Machiavellianisme” wajar dihentikan segera oleh setiap ahli politik terutamanya mereka yang beragama Islam di negara ini kerana selain memakan diri sendiri ia dilihat hanya berupaya memburukkan lagi masalah negara.

Politik Moral Legasi Al-Ghazali Dalam Khazanah Intelektual Islam

Solusinya, boleh diambil dari salah satu pemikiran Al-Ghazali yang sewajarnya dirunuti ialah tuntutan politik etis atau politik moral sebagai asas penting yang mesti dipegang oleh para politisi atau pembuat dasar kerajaan.

Walaupun acuan utama Al Ghazali tertumpu kepada dunia tasawuf, etika sosial dan psikologi pendidikan, namun perspektif pemikiran politik yang digagaskan Al-Ghazali juga mempunyai pemikiran yang sentiasa relevan dengan situasi dalam negara terutama berkenaan dengan praktik politik moral dan kenegaraan yang sesungguhnya telah menjadi legasi Al-Ghazali dalam khazanah intelektual Islam.

Cuba dipraktikkan pula bentuk politik moral gagasan Al Ghazali ini, iaitu kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara seperti saranan “Machiavéllianisme” yang memesongkan pegangan ramai pemain politik moden ketika ini.

Gesaan mengamalkan politik moral ini tercatat melalui peranan Al-Ghazali menasihati Sultan menerusi karyanya Al Tibr Al-Masbuk Fii Nashihat Al-Muluk yang turut menjadi buku rujukan penting dalam memberi pandangan kepada pihak penguasa sesebuah negara.

Tak hairan jika, seluruh dunia Islam lebih sinonim dan cenderung mengenali beliau sebagai peletak dasar’ (founding fathers) dunia tasawuf yang lurus dan bersih, tidak tercampur dengan anasir khurafat dan bai’ah yang keterlaluan.

Seruan Al-Ghazali untuk mengamalkan politik moral amat munasabah terutama jika dikaitkan dengan situasi politik di tanah air hari ini yang semakin mengalami defisit moral dalam kehidupan masyarakat dan negara seperti kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, tidak telus, amalan nepotisme, kronisme, kleptokrasi, kartelisme yang ke semuanya hanya menjurus kepada kemudharatan dan memangsakan rakyat.

 Menurut pandangan Al-Ghazali, krisis politik yang berlaku di kalangan pemerintah yang berkuasa berpunca daripada terhakisnya nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi struktur asas kekuasaan di dalam sesebuah negara.

 Bagi membaiki sistem politik dan perilaku penguasa yang mengalami kerendahan moral ini Al-Ghazali menyarankan agar dilakukan reformasi moral secara menyeluruh kerana itu juga merupakan tuntutan syariat.

Baca juga>> Dakwah Syeikh Yusuf Al-Makassar Hingga ke Afrika Selatan

 

 Cendekiawan Dan Ulama Wajar Berani Menegur Dan Menasihati Penguasa

Dalam hal ini, Al-Ghazali turut mencadangkan para cendekiawan dan ulama memainkan peranan sebagai penyampai nasihat atau sebagai pihak yang berani menegur kepada penguasa.

Mengambil kira, peranan intelektual dan ulama dalam kitab Ihya Ulumuddin,”Seorang ulama ialah orang yang menguasai aturan politik Islam dan mengetahui cara sebagai penghubung di antara penguasa jika berselisih dengan hukum yang tidak benar. Maka, peranan seorang ulama sebagai agen perubahan hendaknya menjadi guru yang membimbing dan menasihati penguasa.

Dalam situasi ini, Malaysia telahpun menginstitusikan kedudukan ulama dan setiap keputusan yang dibuat oleh ulama secara musyawarah dijadikan sebagai panduan, iaitu melalui Majlis Fatwa Kebangsaan. Namun persoalannya, sejauh mana pula para penguasa benar-benar mendekatkan diri dengan Majlis ini?

Bukanlah sesuatu yang baru tentang apa yang terjadi di Malaysia hari ini. Hakikatnya, isu seumpama ini pun sudah wujud pada zaman Al-Ghazali sendiri yang menyaksikan berlakunya ‘kesenjangan politik’ mahupun penyelewengan akidah oleh serangan pemikiran kelompok Syiah Batiniyah pada era pemerintahan Seljuk lagi.

Kini, Malaysia turut mendepani situasi yang hampir sama di mana pelbagai aliran pemikiran menyeleweng cuba untuk menghuru-hara keharmonian Manhaj Ahlussunnah Wal Jamaah yang diiktiraf sebagai mazhab rasmi negara.

Cuma situasi yang dihadapi Malaysia hari ini lebih beragam dengan kemunculan pelbagai aliran seperti Syiah, Wahabi, Salafi Jihadi (neo-khawarij), Deobandi dan bermacam-macam lagi ajaran sesat lain.

Itu belum lagi dibangkitkan kes cubaan memesongkan akidah umat Islam secara halus mahupun terang-terangan dari barat dijuarai dan ditunggangi oleh golongan bukan Islam negara ini termasuk fahaman liberalisme, sekularisme, pluralisme, komunisme, kapitalisme, sosialisme dan berbagai lagi agenda negatif termasuk mempersoalkan dan menghina kalimah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Semua ini, demi mengancam dan menggugat fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah yang telah menjadi manhaj yang menekankan kepada keharmonian, kebijaksanaan dakwah dan ketulenan ajaran Islam yang sebenar.

Dalam usaha menguruskan negara, Al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral dipertingkatkan.

Dasar Integrasi Menjadi Punca Perpaduan Yang Dibina Tidak Pernah Kukuh?

Hari ini, apakah kita terpaksa akur bertapa kesilapan pemimpin terdahulu kerana memilih dasar integrasi berbanding asimilasi yang menjadi punca utama perpaduan yang dibina tidak pernah menjadi kukuh sehingga ke hari ini?

Perkara itu turut dinyatakan, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa, Malaysia satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dibentuk berasaskan integrasi dan bukannya asimilasi, sekali gus menyebabkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa masih tidak kukuh dan tidak berkembang sejak mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu.

Menurut beliau, walaupun negara kelihatan bersatu kerana tiada huru-hara, jika ditinjau hubungan etnik di Semenanjung, tidak ada kerukunan antara kaum dan saling tidak menyokong antara satu sama lain berbanding negara serantau seperti Indonesia dan Thailand yang dibentuk berasaskan asimilasi.

Justeru, siapa pun pemimpin kerajaan di Malaysia dan daripada parti manapun perlu secara sungguh-sungguh menerapkan pemikiran yang telah digariskan oleh Al-Ghazali dalam mengurus negara.

Maka, sewajarnya pemain politik segera merunuti politik moral gagasan Al-Ghazali yang jauh melangkaui politik kepartian dan ideologi politik berfahaman Machiavellianisme yang jelas hanya menyebabkan keruntuhan nilai moral dan perpecahan.

Mudah-mudahan politik moral gagasan Al-Ghazali dapat menjadi asbab pengukuhan kepada bersatunya dasar samada integrasi ataupun asimilasi sekaligus dapat menyatukan semula dan mengeratkan kembali perpaduan yang semakin rapuh di negara ini.

Menarik: “Saya Buat Buku Ini Untuk Anak Muda Faham Hebatnya La Ilaha Illallah!” – Dr. Rohaidah

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker