Kes bunuh diri seperti yang dilaporkan berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Tidak dinafikan perintah kawalan pergerakan dan penutupan sektor-sektor yang ‘dilihat’ tidak essential atas alasan menjaga nyawa memang ada wajarannya.
Tetapi penjagaan nyawa (hifz al-nafs) bukan semata-mata dikekang dalam rumah dan mengetatkan peluang cari rezeki bagi golongan M-40 ke bawah dan mereka yang bekerja sendiri.
Penjanaan pendapatan dalam PKP bagi golongan ini juga termasuk dalam pemeliharaan nyawa.
Apa makna nyawa ada tetapi menjadi murah sia-sia apabila tiada unsur-unsur yang menjaga kesejahteraannya seperti makanan yang mencukupi untuk seisi keluarga.
Pada waktu ini, penilaian terhadap sesebuah elemen daruriyyat al-khams maqasid seperti nyawa contohnya, tidak boleh lagi dilihat dalam konteks individu, atau melalui wacana klasik malah wajar dilihat dalam konteks masyarakat dan hubungannya dengan elemen lain seperti akal dan harta.
Keadaan zaman telah berubah.
Penjagaan nyawa yang sebenar ialah bukan lagi efektif dengan mengarahkan orang ramai kekal di rumah semata-mata, malah lebih tepat menutup atau mengawal ketat sektor industri yang menjadi punca kes jangkitan yang tidak menunjukkan penurunan positif.
Maqasid nyawa apa ke bendanya jika punca wabak dibiarkan atas alasan “essential work”.
Saya melihat bagi keperluan rakyat marhaen yg bergantung pada pendapatan sendiri, maqasid harta (raih rezeki) merupakan sebahagian pemeliharaan maqasid nyawa bagi mereka.
Atas kertas, memang nampak “banyak bantuan” yang disediakan kerajaan tetapi semuanya berbentuk one off.
Tidak logik, dengan sekali bantuan RM1500 dapat menampung seisi keluarga marhaen untuk keperluan makan, minum, utiliti, peralatan Pdpr dan seumpamanya bagi tempoh 2-3 bulan.
Dalam tempoh ini, rasanya para pakar syariah tempatan yang terlibat dalam kerajaan, perlu memperbetulkan semula wajaran pemakaian maqasid syariah bagi menjustifikasikan tindakan-tindakan “tidak releven” yang pihak kerajaan cuba laksanakan nanti, khususnya berkaitan nasib golongan berpendapatan sendiri.
Dalam hirearki maqasid yang bermula dengan daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat itu, perlu dilihat tentukan semula bentuk daruriyyat yang perlu diturunkan kepada hajiyyat atau bentuk hajiyyat yang perlu diangkat kepada daruriyyat.
Neraca pengukuran hirearki itu juga sudah berubah dalam konteks hari ini dengan keadaan zaman Imam al-Syatibi pada kurun 8 Hijrah atau sebelum itu zaman Imam al-Ghazali kurun ke 6 Hijrah.
Pada tahun 2021 ini keadaan sosio politik dan ekonomi telah berubah.
Kita bukan lagi berada dalam sistem ekonomi sara diri berasaskan pertanian semata-mata, sebaliknya zaman kapitalis yang mengamalkan ekonomi liberal dan terbuka.
Kerajaan pula tidak mampu menyara setiap rakyat dalam serba-serbi.
Setiap dasar kerajaan pada rakyat pasti akan melibatkan implikasi kewangan ditanggung oleh rakyat.
Baca juga Akibat Menubuhkan Malay National Bank Maarof Zakaria Akhirnya Ditamatkan Riwayat!
Seperti implementasi Pdpr, setiap keluarga terpaksa menyediakan prasarana dan fasiliti P&P yang bukannya murah.
Sekalipun tidak boleh menyara semua rakyat, kepentingan rakyat yang majoritinya marhaen wajib diutamakan berbanding puak-puak kapitalis yang bukannya ada di Malaysia, walaupun kilang-kilang mereka di sini
Maka sebab itu, saya melihat ada kalanya maqasid harta bagi golongan marhaen ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan pada waktu PKP (yang kemungkinan akan bersambung lagi) dengan memberikan kelonggaran lebih luas mereka berniaga kerana itu adalah sebagai pemeliharaan nyawa mereka.
Sehubungan itu juga, dalam tempoh ini saya berat hati untuk menerima jemputan ceramah mengenai pelaksanaan korban sama ada di dalam atau luar negara.
Saya juga tidak merespon permintaan keluarga dan sahabat untuk turut serta menyembelih korban.
Mereka nak buat, silakan. Saya mempunyai pertimbangan lain.
Memandangkan keadaan ekonomi golongan marhaen, elok kiranya ditangguhkan seketika semua ibadat sunat (kecuali nazar dan wajib) dan amat baik jika lebihan untuk infaq korban itu disalurkan pada keluarga atau jiran marhaen yang berkesempitan pada waktu itu.
Memang betul, ibadat korban itu sunnah tetapi banyak hadis menekankan lagi tentang sunnah menjaga hak-hak jiran sebelah rumah agar tidak kelaparan dan berduka cita.
Itulah korban yang lebih afdhal waktu ini. Namun bagi yg telah menyumbang, sila teruskan niat anda semua.
Pak-pak menteri dan kakitangan kerajaan bertaraf JUSA sedaplah berbahas maqasid nyawa kerana semua makan minum, kelengkapan komunikasi, penginapan mereka terjamin.
Mereka tidak perlu moratorium kerana pelbagai elaun dan gratia diperolehi.
Melihat kepada punca kes Covid disebabkan kluster industri, menyebabkan saya tidak berminat lagi untuk menjustifikasikan maqasid syariah pada langkah-langkah kerajaan yang flip flop.
Sampai satu tahap, agamauan pun perlu berwaspada agar tidak kerap dipergunakan oleh pihak berkepentingan.
Semoga Allah mengampunkan keterlanjuran mangsa-mangsa beragama Islam yang “terbunuh diri” disebabkan tekanan dahsyat sewaktu PKP.
Saya juga berdukacita atas kejadian tersebut dan turut berkongsi sedih mendengar ramai pengusaha tempatan bakal gulung tikar dan bankrap.
Siapa mahu tanggung kerugian mereka?. Semoga Allah membalasnya dengan lebih baik!