Sejarah

Pulau Penyengat: Jejak Warisan Orang Melayu di Tengah Laut

Pulau Penyengat atau dikenali juga dengan nama Pulau Penyengat Inderasakti yang terletak di pusat pemerintahan Riau ini kaya dengan sejarah warisan orang Melayu. Pulau kecil ini berjarak 6 km dari Tanjung Pinang, Kepulauan Riau, Indonesia. Pulau ini juga berhampiran dengan Pulau Batam yang berjarak lebih kurang 35 km di antaranya dan mereka berhubung menggunakan perahu bermotor atau juga dikenali dengan nama bot pompong.

Pada awalnya, pulau ini menjadi tempat persinggahan kapal-kapal pelayaran yang melalui perairan Pulau Bintan, Selat Melaka. Mereka ingin mendapatkan keperluan asas terutamanya bekalan air tawar. Dahulu kala, nama pulau ini pernah dikenali dengan Pulau Air Tawar sebelum dikenali Pulau Penyengat kerana sumber bekalan air bawah tanah yang sehingga kini masih wujud. 

Asal usul nama ditukar ke Pulau Penyengat mengikut cerita rakyat setempat kerana dipercayai ada pelaut yang melanggar pantang larang ketika mengambil air mengakibatkan ratusan ekor penyengat datang menyerang mereka. Oleh kerana kejadian itu, pulau kecil ini dinamakan Pulau Penyengat manakala Inderasakti ditambah ketika pulau ini di bawah pemerintahan Riau-Lingga.

Terdapat pelbagai bangunan serta tapak warisan Melayu bertaburan di dalam Pulau ini. Antaranya Masjid Raya Sultan Riau, Makam Raja Haji Ali serta makam-makam diraja dan tokoh penting dalam sejarah Melayu. Terdapat juga kompleks Istana Sultan dan benteng pertahanan di Bukit Kursi. Warisan seni budaya lain yang turut terdapat di pulau ini adalah Tarian Zapin, Mak Yong, Boria dan Kompang. Malahan Pulau Penyengat serta kompleks istana telah dicalonkan sebagai salah satu tapak warisan dunia ke UNESCO.

Masjid Raya Sultan Riau di Jalan Ahmadi merupakan salah satu binaan yang unik kerana dibina dengan menggunakan putih telur, kapur, pasir dan tanah liat. Tiada besi digunakan untuk membinanya melainkan batu-bata. Masjid ini mempunyai 13 kubah dengan keseluruhan seni bina masjid ini dipengaruhi unsur Melayu, India, Arab dan Turki. Terdapat beduk yang diperbuat dari kulit lembu berusia lebih kurang 187 tahun masih digunakan untuk menandakan waktu solat sudah masuk. Masjid bersejarah ini dibangunkan oleh Raja Abdul Rahman, Yang Dipertuan Muda ke-7 pada 1832.

Tidak jauh dari masjid itu terdapat makam Raja Haji Ali, nama yang tidak asing lagi kerana baginda serta keturunannya merupakan pejuang Melayu yang tersohor. Datuk baginda, Raja Haji Fisabilillah yang syahid di Teluk Ketapang telah dikebumikan di Pulau Penyengat. Anak Raja Haji Fisabilillah, Engku Puteri Raja Hamidah telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah III Riau dan baginda memberi Pulau Penyengat ini kepada isterinya sebagai mahar. Jadi tidak hairanlah ada juga yang menggelarkan pulau ini dengan nama Pulau Mas Kahwin. Raja Haji Ali, anak kepada Raja Hamidah juga adalah seorang pejuang kemerdekaan Melayu yang terkenal serta seorang sasterawan dihormati yang menulis pelbagai buku dan kitab.

Baca juga>> Hiburan Daripada Konteks Islam

Salah satu kitab yang ditulis adalah Tuhfat al-Nafis dan juga ensiklopedia Bahasa Melayu bertajuk ‘Kitab Pengetahuan Bangsa’. Bahasa Indonesia yang digunakan sekarang ini diasaskan dari Bahasa Melayu yang Raja Haji Ali banyak menyumbang dalam mengembangkannya. Walaupun keturunan Raja Haji Fisabilillah adalah orang Bugis namun mereka tetap menganggap mereka adalah orang Melayu Nusantara.

Sentimen ini juga masih dibawa oleh penduduk Pulau Penyengat sehingga sekarang. Jika ditanya mereka orang apa, pastinya mereka menjawab mereka adalah orang Melayu. Pendapat yang sama juga mereka berikan kepada Bahasa Melayu. Jika orang itu bercakap bahasa Jawa, hanya orang Jawa yang faham. Cakap bahasa Bugis, hanya orang Bugis faham. Namun jika bertutur dalam Bahasa Melayu, semua boleh faham. Rasa bangga sebagai orang Melayu tetap mekar di hati mereka. 

Di makam Engku Puteri Raja Hamidah, terukir Gurindam Dua Belas karya Raja Haji Ali. Antara bait-baitnya berbunyi:

“Barang siapa tiada memegang agama,

sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empat,

maka ia itulah orang yang ma’rifat

Barang siapa mengenal Allah,

suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri,

maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.

Barang siapa mengenal dunia,

tahulah ia barang yang teperdaya.

Barang siapa mengenal akhirat,

tahulah Ia dunia mudarat.”

Terdapat 12 rangkap atau perihal di dalam karya ini. Gurindam ini banyak memberi pesanan dan peringatan buat orang Melayu dan Islam. Ada pendapat yang mengatakan Raja Haji Ali menulis gurindam itu berdasarkan kitab suci Al-Quran. Nescaya siapa yang menghafal dan mengamalkannya akan selamat dunia dan akhirat, jika diizinkan-Nya kerana gurindam ini berpandukan Al-Quran. 

Pulau Penyengat sememangnya tempat bersejarah ikonik untuk Melayu serta adat budaya Nusantara. Pulau yang kaya dengan sejarah, adat dan tradisi perlu dipelihara supaya dapat ditunjukkan kepada generasi anak Melayu akan datang.

Menarik: SEJARAH KEBOLEHAN EKONOMI BANGSA MELAYU

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker