Durjakata
Perkataan ‘al Hind’ telah beberapa kali disebut dalam al Hadis, namun pentakwilah kepada hadis-hadis tersebut menimbulkan pelbagai persoalan tentang maksud dari perkataan ‘Al-Hind’ tersebut sebagaimana yang dibicarakan oleh ramai para sahabat iaitu diantaranya adalah seperti Sayyidina Ali bin Abi Thalib ra, Abu Hurairah ra, Abu Sa’id Al Khudri ra, Ibn Abbas ra dan sebagainya.
Ada yang mengatakan sebahagian daripada hadis tersebut sahih dan sebahagiannya daif atau lemah. Hadis yang bertaraf lemah berikutan perawinya yang diragukan atau hadis tersebut dianggap tidak penting lalu tidak diwacanakan.
Namun begitu hadis yang dianggap daif tidaklah serendah martabat hadis yang maudhuk atau palsu kerana hadis yang palsu langsung tidak boleh dijadikan panduan dan beramal dengannya. Diantara hadis tersebut adalah seperti berikut :
Dari Ibn Abbas ra. telah meriwayatkan Ali bin Abi Thalib ra. telah berkata: “Di bumi tanah yang paling wangi adalah tanah AL HIND (kerana) Nabi Adam as. telah diturunkan di AL HIND, maka pohon-pohon di AL HIND telah melekat wangi-wangian dari surga.” (H.R.Hakim)
Dari Abu Hurairah ra. berkata bahawa Nabi SAW. telah menjanjikan kepada kami tentang perang yang akan terjadi di AL HIND. Jika saya menemui peperangan itu maka saya akan korbankan diri dan harta saya. Apabila saya terbunuh, maka saya akan menjadi salah satu syuhada yang paling baik dan jika saya kembali (dengan selamat) maka saya (Abu Hurairah ra.) adalah orang yang terbebas (dari neraka). (H.R. An Nasai)
Sehingga kini al-Hind sering disalah tafsirkan berikutan kurangnya atau ketiadaan kajian yang merungkai permasalahan tersebut.
Akibatnya banyak maklumat yang berkaitan dengannya tidak dicerakinkan dengan baik dan seterusnya menghadapi kesukaran dalam pencernaan.
Kesan dari itu banyak maklumat sejarah yang ditakwilkan dari hadis-hadis berkenaan tidak memberikan jawapan yang tepat dan banyak keputusannya yang tergantung.
Sehingga kini ramai sejarawan yang mengandaikan wilayah al-Hind sebagaimana yang disebutkan dalam al Hadis adalah wilayah India. Berikutan dari itu banyak pentakwilan yang tidak tepat apabila dilakukan rujukan silang terhadap kandungan penceritaan.
Baca juga >> Evolusi Kegemilangan Kedah Tua Bermula Pada 800 Tahun Sebelum Masihi
Menurut ahli sejarah, kata ‘Hindu’ pertama kali dipergunakan oleh orang Parsi ketika pertama datang ke India melalui jalan sebelah barat laut Himalaya.
Menurut Encyclopedia of Religion and Ethics vol. 6 ref 699 : kata ‘Hindu’ tidak ada disebutkan dalam setiap kepustakaan India, termasuklah dalam kitab sucinya sendiri sebelum orang Parsi-Muslim datang ke India sekitar kurun ke 8 Masehi.
Menurut Jawaharlal Nehru dalam bukunya : Discovery of India muka surat : 74 – 75, kata ‘Hindu’ pertama kali digunakan pada abad ke-8 pada masa Parsi, dan tidak pernah digunakan untuk menerangkan pengikut agama tertentu, tapi untuk menunjukkan suatu masyarakat.
Menurut Encyclopedia Britanica vol. 20 Ref. 581 : kata Hindu pertama kali digunakan oleh penulis Inggris pada tahun 1830 untuk menggambarkan keadaan dan kepercayaan orang India. Sebenarnya orang Hindu terpelajar keberatan terhadap penggunaan kata itu, karena menurut mereka itu tidak tepat.
Sepatutnya nama agama Hindu adalah Sanata Dharma (agama yg abadi), Vedic Dharma (agama Weda), atau Vedantist (pengikut Weda). Kata Sanata Dharma, Vedic, ataupun Vedantist memang ada tersebut dalam kitab-kitab suci Hindu.
Apa lagi di ketika ini agama Hindu sudah menyebar ke seluruh dunia, bukan hanya menjadi kepercayaan yg dianut oleh orang India saja. (https://religiku.wordpress.com/2007/09/10/hindu-dan-islam-ternyata-sama/).
Berdasarkan kepada kenyataan tersebut adalah jelas bahawa perkataan ‘Hindu’ bagi masyarakat India diperkenalkan oleh orang Parsi pada kurun ke 8 Masehi.
Ini bermakna semasa Nabi Muhammad SAW serta para Sahabat melafazkan perkataan ‘al-Hind’ sekitar kurun ke-7 Masihi, baginda dan para sahabat tidak merujuk kepada orang di India mahupun agama masyarakat India tersebut melainkan kepada satu masyarakat dan peradaban di tempat lain yang telah dikenali oleh Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda dan mengadakan hubungan erat dengan mereka iaitu orang Melayu yang mendiami Alam Melayu.
Tulisan ini bertujuan untuk mewacanakan satu andaian atau hipotesis iaitu sebenarnya ‘al-Hind’ yang dimaksudkan pada hadis-hadis berkenaan adalah merujuk kepada wilayah Alam Melayu.
Wacana ini akan membahaskan tujuh perkara yang dikenalpasti bagi menyatakan bahawa wilayah al-Hind itu sebenarnya adalah Alam Melayu iaitu pertama dari sudut pengertian perkataan al-Hind, kedua dari sudut tempat Nabi Adam A.S diturunkan, ketiga dari sudut wilayah yang wangi, keempat dari sudut hasil pengeluaran herba, kelima dari sudut raja Melayu, keenam dari sudut pedang Nabi Muhammad SAW, dan ketujuh dilihat dari sudut hadirnya burung gagak.
Dengan terungkainya simpulan perkataan al-Hind pada pengertian yang sebenarnya, banyak maklumat sejarah lebih mudah untuk dikemaskinikan dan seterusnya berupaya untuk merajut erti kemelayuan kepada bangsa Melayu yang selama ini dianggap sebagai suatu bangsa yang baru wujud.
Pengertian Hind
Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (1989), perkataan ‘hind’ atau ‘Hindu’ adalah juga dari bahasa orang Melayu iaitu dari bahasa Minangkabau yang bermaksud ‘bangsa induk’ atau ‘nenek-moyang’.
Perkara ini sangat menarik untuk di wacanakan kerana ia terdapat dalam al Hadis. Jika benarlah orang Melayu Itu adalah ‘ibu segala bangsa’ atau bangsa induk yang dilihat dari sudut haplogroup DNA dan mtDNA, maka perkataan ‘hind’ sangat seerti dengan orang Melayu.
Menurut pengkaji genetik dan pemetaan mtDNA seperti Zafarin Zainuddin (2012), Stephen Oppenheimer (2012) dan lain-lain, orang Melayu adalah antara pemegang salasilah genetik atau pemetaan mtDNA paling lama iaitu sehingga 200,000 tahun (Mastor Surat, 2015).
Namun begitu sebahagian besar masyarakat di dunia menganggap orang Melayu sebagai suatu bangsa yang baru muncul walaupun kajian mengenai bangsa Melayu ini telah dilakukan sejak sekian lama di beberapa buah negara besar seperti China, Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, United Kingdom dan sebagainya.
Mastor Surat,
14 April, 2020