#Kitajagakita
Sehingga hari ini angka kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan masih gagal untuk turun di bawah paras 4,000 kes sehari dan rakyat jadi semakin penat.
Walaupun PKP, PKPD dan lockdown sudah diperkenalkan, angka kes yang meningkat itu kebanyakannya berpunca daripada kluster kilang dan kluster tempat kerja.
Timbul satu persoalan yang cukup besar mengapa rakyat yang patuh SOP terpaksa menanggung derita angkara PKP yang entah bila akan berakhir.
Bercakap lebih atau bertindak menunjukkan rasa kurang puas hati, terus diburu pihak berkuasa seperti penjenayah, terus dikecam ahli politik yang tiada jiwa Islam.
Apa Lagi Rakyat Mampu Lakukan?
Mengibarkan bendera putih berfungsi sebagai isyarat rakyat yang terjejas memerlukan bantuan bekalan makanan. Ia adalah usaha dan selebihnya diizinkan Allah SWT.
Bagaimana ia berlaku? Selepas rakyat yang terjejas kibarkan bendera putih pada kediaman mereka, sudah pasti mereka akan berserah dan Allah SWT hadirkan hambaNya yang lain untuk membantu.
HambaNya seperti kita yang masih ada kelebihan diberi izin untuk melihat atau bertemu di mana lokasi bendera putih dikibarkan seterusnya membantu sesama umat manusia.
Ini juga memberikan gambaran yang jelas bahawa tidak salah rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ahli politik dalam Malaysia sebaliknya Allah SWT jadi keutamaan.
Dari situ Allah SWT hadirkan bantuan dengan segera tanpa perlu pun ahli politik yang langsung tidak berfungsi ini bersidang semata-mata untuk tujuan memberi bantuan.
Misi #KitaJagaAllah Perlu Diterapkan
Ujian ini datangnya daripada Allah SWT dan ia bertujuan untuk melihat sejauh mana hambaNya menguruskan ujian ini sama ada di peringkat kepimpinan tertinggi dan juga rakyat jelata.
Dari segi kepimpinan tertinggi, walaupun Covid-19 adalah penyakit yang nyata namun tidak semestinya Malaysia harus akur pada WHO dan aspek saintifik semata-mata.
Pemimpin Malaysia harus mempergiatkan usaha pemantapan rohani menerusi cara hidup Islam agar semua rakyat mendapat berkat.
Sering tampil dengan mesej umat manusia perlu berserah kepada Allah SWT dan sentiasa berzikir untuk mendapatkan keredaannya.
Buka semula al-Quran yang sudah lama ditinggalkan dan kembali jaga solat dengan iringan doa dan percayalah jika #KitaJagaAllah, #AllahJagaKita
Solat Tanpa Hadir Rasa Hati Cuma Adat, Bukan Ibadah Walaupun Sampai Lenguh Kaki