Mengapa umat Islam hari ini kita merasakan seperti lemah dan sering merungut hidupnya susah serta banyak perkara serba tak kena?
Jawapannya adalah berpunca daripada solat yang bermasalah. Kenapa jadi bermasalah? Kerana ada rukun yang tidak lengkap.
Rukun apakah itu?
Umat Islam harus tahu, tanam dalam hati dan ingat sepanjang hayat sebelum menghembuskan nafas akhir bahawa untuk solat, ada 13 rukun yang wajib dihadam.
Dalam 13 rukun solat tersebut pula, ia terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu fi’li, qauli dan qalbi.
Apakah maksud fi’li, qauli dan qalbi?
Fi’li membawa maksud pergerakan atau perbuatan. Yang kita belajar dekat sekolah, diajar ibu atau bapa atau penjaga atau yang ditiru daripada YouTube dan sebagainya.
Qauli pula bermaksud bacaan atau perkataan yang kita sebut. Biasanya surah-surah yang dipetik daripada al-Quran yang tidak pernah berubah.
Tetapi janganlah semata-mata lancar baca doa iftitah, surah al-Fatihah dan lain-lain surah namun maksudnya langsung tak dimengerti atau sudah dilupakan.
Jadi apa erti baca lancar, terkumat-kamit, sedap bunyinya namun ia ibarat irama yang kosong tanpa pengisian, kerana kita yang memilih untuk begitu.
Qalbi pula adalah hati dan kaedahnya adalah terletak kepada individu kerana hanya individu yang mampu zahirkan rasa hatinya semasa bersolat.
Maka jika memahami apa yang dilafazkan semasa solat, tahu apa yang diucapkan, InsyaAllah.. kita kenal diri kita sedang melakukan apa pada ketika itu.
Mengapa solat jadi adat?
Segelintir umat Islam hari ini solat kerana masa solat telah sampai namun semasa solat, fikirannya terawang memikirkan perkara-perkara lain.
Ada yang solat tunggang-tunggeng sampai kematu kaki, bacaannya sedap tetapi hatinya kalut berbicara pasal soal yang tak berkaitan.
Akhirnya.. orang nampak kita solat tetapi kita cuma bawa dua rukun sahaja iaitu fi’li dan qauli. Senang cerita, kalau tiada rukun qalbi itu, sempurna tak solat kita?
Sedangkan solat yang dianggap mudah itu pun ramai yang abaikan rukun qalbi, takkan Allah SWT pula nak beri kesempurnaan berganda-ganda?
Solat lengkap dengan hadirnya qalbi
Maka selepas ini, cakaplah pada diri, hari ini aku akan bersolat dengan hadirnya rasa hati, tunaikan solat sebagai satu ibadah, menyerah diri tanda syukur kepada Allah SWT.
Kalau berat sangat nak buka semula al-Quran (umat Islam rugi kalau tinggalkan al-Quran), paling tidak pun Google maksud bacaan surah-surah kita.
Pastikan setiap ayat yang diucap dalam solat, kita tahu maksudnya dan pasangkan niat agar solat itu diterima Allah SWT walaupun sedang berdepan dengan kesulitan.
InsyaAllah jika budaya ini ditanam dalam diri untuk memautkan rasa cinta kepada Allah SWT, InsyaAllah semua akan dipermudahkan.
P/s: Mungkin kita pernah belajar dan terlupa, maka hari ini biarlah ada yang mengingatkan walaupun kita tak pernah bersua!