Sudah sampai waktunya kita ubah pengetahuan rakyat Malaysia tentang siapa pengasas sebenar Kuala Lumpur. Seperti yang kita tahu, nama Yap Ah Loy sering disebut sebagai pengasas ibu kota Malaysia. Jika benar pengasas Kuala Lumpur merupakan tokoh Cina, kenapa ia bernama Kuala Lumpur dan bukannya nama berunsur Cina?
Tahukah anda yang Yap Ah Loy merupakan Kapitan Cina Ketiga yang dilantik bagi Kuala Lumpur. Fakta ini dikemukan oleh mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Khoo Kay Kim. Adakah logik Yap Ah Loy menjadi pengasas Kuala Lumpur sedangkan beliau Kapitan Cina Ketiga? Berikut adalah senarai Kapitan Cina yang dilantik untuk Kuala Lumpur:
- Hiu Siew (1858 – 1861)
- Liu Ngim Kong (1862 – 1868)
- Yap Ah Loy (1868 – 1885)
- Yap Ah Shak (1885 – 1889)
- Yap Kuan Seng (1889 – 1902)
Menurut mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Khoo Kay Kim lagi, Yap Ah Loy dilantik British untuk membina semula bangunan di sekitar Kuala Lumpur yang musnah akibat kebakaran. Ini bermakna bukanlah kaum Cina yang pertama membuka kawasan ini. Jadi siapakah yang membuka Kuala Lumpur?
Sutan Puasa merupakan seorang ketua kaum Mandailing dan beliaulah merupakan pengasas Kuala Lumpur. Sutan Puasa jugalah yang menjemput kaum Cina untuk melombong bijih timah di kawasan Kuala Lumpur.
Jadi siapakah beliau ini? Turut dikenali sebagai Sutan Naposo, beliau merupakan bangsawan Mandailing dari marga Lubis yang berasal dari Sumatera. Sutan Puasa Rajo Iro Koling juga diberi gelaran ‘Waris Negeri’ atau ‘Ketua Dagang’ oleh Sultan Selangor kerana beliau merupakan ketua bagi kaum Mandailing yang pertama membuka dan mentadbir penempatan di Kuala Lumpur. Dikatakan juga nama asal Kuala Lumpur adalah ‘Muara Bustak’ yang bermaksud muara berlumpur dalam bahasa Mandailing.
Dipercayai juga kaum Kerinchi juga terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur melalui Haji Abdullah Hukum, pemimpin bagi kaum tersebut. Beliau mengambil upah daripada Sutan Puasa dan menerima tanggungjawab membuka tanah serta membina pengairan untuk pertanian. Haji Abdullah Hukum juga telah membuka perkampungan di Sungai Puteh yang sekarang dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum di Kuala Lumpur.
Alah bisa tegal biasa. Justeru itu, sudah sampai masanya kita kenalkan nama tokoh-tokoh sebenarnya yang terlibat dalam mengasaskan ibu kota negara kita supaya tiada lagi salah faham timbul di masa hadapan.
Baca juga:
>> Sejarah Abdullah Hukum Bangunkan Kuala Lumpur Hilang Dari Radar Masyarakat!