Raja Haji Fisabilillah ibni Daeng Chelak adalah seorang pahlawan agung Melayu-Bugis yang hidup ketika tahun 1727-1784. Baginda juga adalah Yang Dipertuan Muda (Putera Raja) Kesultanan Johor pada tahun 1777-1784. Baginda syahid di Teluk Ketapang, Teluk Mas, Melaka. Peristiwa berlaku tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan 17 Jun 1784. Raja Haji terkorban ketika pertempuran dengan Jacob Peter Van Braam bersama lebih kurang 500 orang pejuang lain.
Sebelum Almarhum baginda syahid dalam perjuangan terakhirnya, baginda sempat meninggalkan warkah terakhir buat anak cucunya serta orang Melayu. Di dalam nukilannya, Almarhum baginda sangat kesal terhadap sekumpulan orang Melayu yang sanggup menjadi tali barut kepada Belanda, mengkhianati agama dan bangsa demi ketamakan kuasa dan harta. Gelaran munafik dan wajah Melayu hati Belanda diberikan pada mereka ini.
Antara kejadian dilakukan pengkhianat ini adalah ketika Raja Haji serta pejuang setia lain sedang solat berjemaah. Ketika sujud, para pengkhianat ini bangkit sementara Imam dan jemaah lain masih dalam sujud yang panjang. Dengan bacul, mereka menikam pisau di belakang yang lain hingga ada yang syahid.
Namun, baginda juga yakin dengan pertolongan Allah SWT yang masih ada banyak lagi orang Melayu yang setia dan sanggup berjuang demi mempertahankan agama dan tanah air.
Baginda juga berpesan yang kelak akan ada jatuh fitnah pada orang Melayu akibat perbuatan khianat sebahagian dari mereka ini. Ada juga dari antara mereka akan menyambung lidah Belanda, menuduh baginda sebagai seorang yang tamakkan kuasa dan harta. Tapi apa yang baginda mahukan adalah bangsanya umat Melayu hidup bermaruah dan punya kehormatan diri.
Baca juga>>Kenapa Melayu Puja Hang Tuah? Ini Sebabnya
Akan tiba nanti di suatu zaman orang-orang Melayu akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Umat Melayu takkan hilang di dunia dan raja yang adil serta pemerintah yang mukminin mukminat akan memerintah. Ulama dan cendekiawan akan menjadi penasihat serta ahli sufi bebas dari tuduhan ajaran sesat. Zaman makmur akan tiba buat kita bila hak-hak Allah dipenuhi serta hak-hak rakyat dilaksanakan.
Kejatuhan umat Melayu dulu kerana kerakusan raja dan pemerintah yang tamak keduniaan. Rakyat jelata pula terikut, melakukan perkara tak berfaedah. Musuh nyata si penjajah tapi dibuat kawan pula dek termakan kata-kata manis. Apabila kita mula alpa dan lalai dengan melakukan perkara larangan Allah, tunggulah bala yang akan diturunkan pada umat Melayu.
Dalam akhir warkahnya itu, Raja Haji sempat menulis,
“Sekiranya perjuangannya itu benar, semoga Allah mengekalkan tulisannya itu dan membutakan mata orang Belanda daripada menjumpai warkah ini, supaya warkahnya itu sampai kepada seluruh Umat Melayu pada generasi mendatang”.