Apabila menyebut wanita, pasti terbayang sosok berjiwa keibuan dan jasad penuh emosi. Apatah lagi Wanita Melayu, yang terkenal dengan sifat keperibadiannya yang lemah lembut dan bersopan santun. Sejak dahulu, stereotaip yang dibawa dari generasi ke generasi bahawa wanita Melayu tidak perlu terlalu menonjol apatah lagi menjadi pemimpin masih terbawa-bawa hingga kini. Hal ini mungkin dikaitkan wanita lebih layak dalam peranan tradisional yang lebih bersifat domestik dan menjaga keluarga. Atau anda pasti pernah mendengar kata-kata ini; “perempuan belajar tinggi-tinggi, akhirnya masuk ke dapur juga”.
Namun begitu, menyingkap kembali ke sejarah Melayu lama, Melayu yang terdiri daripada golongan wanita. Mereka dikenali sebagai Raja Perempuan atau Ratu. Sebagai contoh Cik Siti Wan Kembang menjadi Ratu yang mengemudi Kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1610. Semasa ditabalkan menjadi Raja, baginda bersemayam di gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan dengan panggilan Paduka Cik Siti.
Baca juga>> Kehebatan Tamadun Melayu Suatu Ketika Dahulu
Di bawah pimpinan Cik Siti Wan Kembang, negeri Kelantan menjadi masyhur dan di lawati oleh para pedagang termasuk orang-orang Arab. Malah, pada zaman pemerintahan baginda juga dikatakan negeri Kelantan telah maju dalam bidang pertanian dan perdagangan. Selepas pemerintahan baginda, legasi itu terus diperintah oleh seorang lagi wanita yang bernama Puteri Saadong yang juga merupakan anak angkat Che Siti Wan Kembang. Pemerintahan beliau bermula pada 1667 sehingga 1671 dan merupakan pemerintahan wanita terakhir memerintah negeri tersebut.
Selain daripada dua pemerintah bersejarah ini, terdapat juga figura lain yang terdiri dari kaum wanita yang menjadi sebahagian daripada tampuk kepimpinan Kerajaan Melayu. Antaranya penglibatan Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah dalam memastikan kestabilan politik Kerajaan Melaka. Selain daripada itu, penglibatan Tengku Tengah dan Tengku Kamariah juga memberi impak besar kepada ketenteraman pentadbiran Kerajaan Johor-Riau.
Setelah kedatangan Islam di Tanah Melayu, kepemimpinan wanita Melayu mula perlahan-lahan hilang namun ianya tidak menghalang semangat kepimpinan wanita-wanita Melayu untuk terus menyumbang kepada negara hingga kini. Islam juga tidak menghalang wanita untuk menjadi pemimpin malah kepakaran mereka juga diperlukan mengikut kemahiran bidang masing-masing selagi mana ianya tidak melanggar hukum dan syarie.