Isu Semasa

Wahai Dunia.. Apa Yang Sedang Terjadi? Apakah 2023 Ada Khabar Baik?

Edisi Rumusan minggu ini menyentuh beberapa isu semasa dalam dan luar negara khususnya isu politik, ekonomi, undang-undang, rasuah, kesihatan, sosial, perubahan suhu cuaca, keselamatan luar dan dalam negara serta politik luar negara bermula 1 Januari hingga 8 Januari 2023.

Marilah kita berdoa dengan sesungguhnya agar pembukaan tahun baru 2023 memberikan gambaran dan harapan baru buat seluruh rakyat Malaysia.

Berakhirnya 2022 yang penuh suka duka dan tragis dengan kejadian bencana alam, banjir besar di sebahagian Malaysia dan antara yang terburuk pernah dilaporkan termasuklah di bahagian pantai timur termasuk, Kelantan, Terengganu, Pahang dan tak kurangnya di Kuala Lumpur. Manakala di Selangor pula menyaksikan tragedi sedih dan memilukan, tanah runtuh yang mengakibatkan banyak korban jiwa termasuk kanak-kanak yang telah berjaya dijumpai ke semua mangsa beberapa hari selepas kejadian oleh unit anggota keselamatan yang bertugas.

Krisis Ekonomi Dunia pula menyaksikan ekoran Perang Ukraine dan Rusia yang belum menemui penyelesaian sehingga menjadikan antara asbab pencatuan dan krisis makanan global selain melonjaknya bekalan harga makanan export dan bekalan api di pasaran antarabangsa sehingga memaksa subsidi daripada kerajaan juga terpaksa dikurangkan.

Ini semua jika diperhalusi secara lebih mendalam sudah tentu kita akan menemui jawapan ianya adalah sebuah karma dan hukuman tuhan kepada masyarakat dunia keseluruhannya dan tidak terlepas amnya kita di Malaysia kerana pelanggaran hukum alam yang telah tersia jauh dari tatacara kehidupan sebenar yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW bagi memudahkan kehidupan manusia menjalani hidup dengan sempurna.

KESIHATAN

VIRUS – ‘Varian Super’ XBB 15

Setelah lama menyepi cerita Covic-19, Kita dikejutkan semula dengan kehadiran virus baru Omicron. Belum sempat kita berlapang dada dengan memungkinkan kerajaan membuat perintah berkurung dengan pelaksanaan PKP seperti 3 tahun sebelum ini. Muncul pula mutasi baru virus ‘varian super’ XBB 15 yang boleh mentransmisi virus sepantas 120%. Ini didedahkan oleh Eric Feigl-Ding, pakar epidemiologi Amerika yang turut mendedahkan bahawa Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) telah menyembunyikan laporan mengenai kemunculan dan penemuan itu. Pelbagai model menunjukkan bahawa XBB15 jauh lebih teruk dalam nilai transmisi R dan kadar jangkitan berbanding varian sebelumnya – lebih pantas dengan LEAPS and BOUNDS. JP Weiland telah melakukan beberapa model terawal dalam pengumpulan data XBB 15 di New York. “Ia hanya bertambah buruk di seluruh negara,” demikian amaran dari Ketua Pakar Ekonomi Kesihatan itu.

VAKSIN

Rata-rata rakyat sudah alergi dan fobia jika terus menerus di vaksin dengan ubat-ubat yang formulasinya tidak diberikan secara detail dan khusus apatah lagi kajian mengenai keberkesanannya hanya seminggu dua berbanding ubat-ubat lain yang mengalami transformasi bertahun-tahun lamanya dan melalui ujian klinikal yang ketat sebelum diberikan kepada pesakit yang memerlukan. Terbaru, lebih 6 juta vaksin dilupuskan KKM sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya. Pendedahan itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa enam juta dos COVID-19 terpaksa dilupuskan dan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan. Kerana rakyat rata-ratanya sudah menolak penerimaan vaksin kerana banyak berita buruk mengenainya tersebar secara meluas di media sosial. Pada sidang media ketika itu, Perdana Menteri berkata, negara ini mempunyai vaksin COVID-19 yang mencukupi tetapi banyak yang terpaksa dilupuskan kerana kurang sambutan daripada rakyat untuk mengambil dos penggalak.

MYSEJAHTERA

Bukan itu sahaja data-data berkaitan mysejahtera yang dikatakan telah dijual oleh pihak tertentu dan dipakai sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang memungkinkah rakyat berfikir adakah scammer terlahir dan menipu rakyat dengan menggunakan data-data yang diperolehi melalui rangkaian kerajaan yang menjadi dalang utama mengambil kesempatan buat duit tepi dengan cara mudah . Cukuplah drama bersiri dan bidang lakonan dipelopori oleh artis dan para pelakon tempatan jangan YB-YB pun nak ikut serta dan menjadi peserta Maharaja Lawak Mega di pentas politik. Namun lebih ngeri jika ‘pelawak’ ini bermutasi menjadi Jokers dalam siri Batman. Ini adalah sesuatu yang patut ditakuti rakyat jelata.

UBAT PREP

Di Malaysia, kita tak hanya bergelut dengan isu Covid-19 sebalik perbalahan mengenai penggunaan ubat PReP di mana hasil Kajian Australia mendedahkan PrEP Tingkatkan STD bagi mencegah HIV yang dikritik hebat oleh sebahagian doktor kerana kekhuatiran yang ia hanya akan menjadi penggalak berlakunya perlakuan seks bebas dengan lebih berleluasa. Kita masih merasakan bahawa abstinen ataupun effort untuk memotivasikan seseorang untuk meninggalkan amalan berisiko tinggi itu yang paling penting untuk kita go all out berbanding jika menerima penggunaannya yang hanya bersifat mengawal sementara. Bagaimanapun, penolakan penggunaan ubat itu dikecam oleh sebahagian besar penyokong dan mungkin juga pengamal seks bebas itu sendiri. Mana tidaknya, jika ubat PReP disekat maka aktiviti “bebas” mereka juga mungkin akan turut terbatas.

DADAH

Antara isu genetik chemical yang masih kebal adalah dadah yang sehingga kini belum juga dapat diatasi sepenuhnya. Bukan sahaja rakyat kebanyakkan atau remaja yang bermasalah terlibat dadah mungkin itu sudah menjadi biasa buat kita. Lebih malang, kita menyaksikan penangkapan penjawat awam dan anggota polis sendiri yang menjadi antara penagih dan pengedar. Walaupun bukan semua yang terlibat namun ia sedikit sebanyak mencalarkan imej penjawat awam dan PDRM yang mesti ditebus semula agar pasukan PDRM tetap relevan sebagai benteng keselamatan negara dan penjawat awam sebagai badan pentadbiran terus diberi kepercayaan sepenuhnya. Jika kita lihat, baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan data yang dikeluarkan oleh PDRM iaitu seramai 687 orang penjawat awam ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang tahun 2022. Jumlah itu termasuk lima pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan di Pahang yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Data ini dikeluarkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Persekutuan, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menegaskan jabatannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran penyalahgunaan dadah. Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan pihaknya berjaya menumpaskan 229 sindiket pengedaran dadah, termasuk sebuah kumpulan besar di Sabah, membabitkan penahanan 709 suspek. Selain itu, polis membongkar 15 makmal dadah dan menahan lima pengedar dadah tahun lepas. Bukan itu saja, malah Pihak Polis turut berjaya merampas RM124 juta aset daripada sindiket dadah dan merampas RM24.61 juta aset tahun lepas, daripada RM19.15 juta aset yang dirampas pada 2021. Rampasan dadah bernilai RM461 juta tahun lalu membabitkan 18.4 tan pelbagai dadah, 3,437 liter dadah, 106.4 tan daun ketum dan 52,886 liter air ketum. Setakat ini PDRM telah melupuskan dadah bernilai RM103 juta tahun lepas, membabitkan 101 tan dadah, 352,260 liter dadah cecair dan 9,571 pil. Sepanjang tahun 2022 juga, sejumlah 71,763 kertas siasatan dibuka dan 66,443 kertas siasatan daripadanya berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.59 peratus. Terbaru, termasuk kes di Kuching, Sarawak, di mana seorang anggota polis ditangkap bersama seorang rakannya, pembantu kedai, kerana disyaki mengedar dadah. Kenyataan itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin. Tangkapan pada Selasa lepas membabitkan nilai dadah dirampas RM139,270.00 – merangkumi syabu 3.08 kilogram dan serbuk campuran ekstasi 531 gram. Bagaimanapun, PDRM dengan tegasnya berjanji akan terus komited mengekang aktiviti pengedaran dadah.

RASUAH

Kes rasuah, rakyat sudah dapat meneka jika penjawat awam berpangkat rendah atau rakyat biasa yang melakunya ‘comfirm’ sudah diangkut dan disumbat ke dalam dengan sepantas kilat. Tetapi sebaliknya jika yang melakukannya adalah “bos” besar atau orang politik khususnya maka akta rasuah ini seolah-olah terimune, dengan sendirinya hilang kekebalan peruntukan undang-undangnya. Apa susuk yang dipakai oleh mereka ini, sehingga menjadikan kes rasuah yang dilakukan menjadi halal secara otomatiknya, jika pertuduhan dan kertas siasat dibuka ke atas mereka sekalipun. Namun tidak sampai beberapa detik ianya akan ditutup semula. Mereka memperlakukan negara ini seolah-olah bapa mereka yang punya dan dosa melakukan rasuah itu seolah-olah mata perlembagaan dibutakan kerana mereka mempunyai kartu tingkat kuasa yang tinggi melebih perlembagaan itu sendiri bagi menghalang hukuman yang serupa diterima oleh rakyat bawahan amnya. Biasanya kuasa itu dimonopoli oleh pemain politik. Maka tidak keterlaluan jika nantinya pentas politik itu mampu berevolusi menjadi MEDAN DELUSI terhadap rakyat sehingga merasa “paranoid” terhadap konspirator politik yang hanya akan dianggap sebagai satu entiti yang bersifat “mencelakainya”.

POLITIK

Perkembangan dari segi politik sebenarnya jika kita hendak merumuskan inilah satu bidang yang terpaling menghancurkan perpaduan negara. Bukan sahaja pemain-pemain politik ini bersenjatakan retorika malah fitnah memfitnah semacam zikir wajib mereka. Jadi tidak perlu lagi diperdebatkan mengenai perkembangan politik biarlah semua yb-yb cermin diri masing-masing adakah mereka benar-benar ikhlas berjuang untuk agama bangsa dan negara, barulah kita fikirkan semula apakah mereka ini benar-benar berperanan dan penting dalam pembentukan negara atau hanya watak tempelan yang menjadi antagonis untuk kemajuan negara. Boleh saja digantikan dengan ahli akademik di bidang masing-masing menggantikan posisi mereka dan itu adalah lebih baik. Semoga Janji-janji palsu yang dibuat pemain politik sebelum ini tidak lagi menjadi siulan harian biasa mereka. Rakyat sudah sangat bijak dan tidak berselera lagi untuk termakan kata-kata retorik mereka. Apa yang rakyat mahukan adalah kepimpinan yang sedia ada perlu bekerja keras seperti yang dijanjikan dan tidak perlu bersusah payah untuk berdolak dalih. Sebaliknya jawatan yang disandang adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Mengimbas tahun lalu, parlimen dikejutkan dengan kritikan pedas apabila dilabel sebagai zoo dalam sebuah lukisan poster yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan liar tanpa pedoman. Takkan selepas ini parlimen mahupun kabinet di parlimen bersidang mahu dilabel sebagai kilang melahirkan badut bersama belon dan mainan untuk menghiburkan anak kecil ketika meraikan sambutan hari lahir. Tidakkan itu sangat menjelikkan. Rakyat sudah berusaha membuang undi bagi melihat pemimpin yang dipercayai mereka untuk bekerja buat mereka, jangan pernah khianati amanah rakyat ini. Kelak tak tertanggung dosa itu biar pun hingga tujuh keturunan. Jangan pernah berani membuatkan rakyat yang tertindas bersumpah seranah sehingga mengundang murka Allah SWT. Ini hanya akan mewujudkan mutasi pemimpin dayus, bongkak tanpa adab yang memualkan. Insaflah para-para YB anda adalah bijak pandai yang sepatutnya memimpin ke arah kebaikan bukan sebaliknya hanya bijak memutar belit menipu dan menjarah semata-mata. Berhentilah bermain api, kerana kelak yang terbakar hanyalah diri sendiri. Seharusnya menjadi pemimpin mereka perlulah memikirkan dan mencari tahu cara bagaimana membahagiakan semua rakyat.

PENDIDIKAN

Isu pendidikan memperlihatkan bertapa rakusnya NGO Dong Zong dengan kemaraan membina dan mengembangkan sekolah vernakular yang tak puas-puas walaupun ditentang banyak pihak. Mereka berlagak lebih kerajaan daripada kerajaan sendiri umpama “terlebih sudu dari kuah”. Tujuannya hanya satu iaitu memisahkan perpaduan dikalangan anak bangsa. Namun mereka bijak beralasan dan bersembunyi kononnya berasas dari segi akademik dan kepelbagaian bentuk keilmuan. Walhal dalam tidak sedar keserasian dan perpaduan antara kaum semakin terhakis. Apakah budaya dari luar yang dibanggakan sangat sehingga mengenepikan semangat perpaduan yang sepatutnya lebih diperkukuhkan. Sistem bahasa kebangsaan sudah lama memperjuangkan toleransi dan kesepakatan ilmu bagi membentuk sahsiah pelajar-pelajarnya bersatu dalam semangat perpaduan dan cintakan negara. Namun ia semakin dirosakkan dengan perpecahan demi perpecahan yang diakibatkan oleh pemisahan ideologi yang dibentuk oleh Dong Zong. Mereka bukan sahaja mewah dari segi prasarana bahkan kewangan sangat kukuh hingga membolehkan mereka mewujudkan ruang belajar yang sangat komprehensif dan moden berbanding sekolah kerajaan. Tetapi seperti orang yang tidak tahu bersyukur dan tidak tahu malu masih menagih wang kerajaan yang sepatutnya dibekalkan kepada saku sistem pendidikan kebangsaan yang diterima oleh semua kaum. Inilah sikap sebuah badan yang tidak tahu bertanggungjawab yang dalam masa yang sama menjadi barah kepada perpaduan sehingga boleh dilabel sebagai yang punca utama mengakibatkan perpecahan kaum dan semangat perpaduan. Ada yang menyarankan, lebih baik Dong Zong membuka 100 kandang babi untuk penternakan boleh juga dimakan daripada membuka pusat pengajian tetapi dengan niat penuh kekejian sehingga mencipta kemusnahan dan perpecahan. Di sinilah peranan kerajaan bagi membendung dan menghapuskan entiti ini agar tidak terus mempromosikan ideologi yang merupakan virus utama ketidak stabilan dalam sistem pendidikan.

OPR – OVERNIGHT POLICY RATE

Tohmahan kepada isu Kenaikan OPR yang dikatakan ada kaitannya dengan New World Order (NWO) belum lagi dibahas sepenuhnya dengan hujah berfakta secara jelas. Alasan bahawa Kementerian Kewangan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sesuka hati boleh ditakrifkan sebagai bersifat lepas tangan. Biar pun alasan BNM bahawa ia bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang, rakyat tetap merasakan deritanya. Jadi sebagai PM beliau tidak sepatutnya hanya memberikan punca kuasa kepada BNM atas alasan kuasa dan hak BNM tidak boleh dicampur. Bukankah kuasa PM itu boleh menasihati dan mengeluarkan garis panduan agar BNM meletakkan apa saja nilai yang mereka rasakan sesuai untuk kestabilan harga namun ianya tetap perlu mendapat persetujuan PM. Jika tidak BNM itu hanyalah sebuah entiti yang menumpang di bumi Malaysia. Takkanlah tidak ada kaitan kuasa PM untuk menegur atau menghadkan kerakusan OPR walau dari dunia mana sekalipun asalkan ianya masih di bumi Malaysia itu adalah tanggungjawab PM.Di situlah keberadaan kuasa PM itu diuji. Bukanlah kesejahteraan rakyat menjadi perkara asas pentadbiran kerajaan. Jika kenaikan menjadi beban maka perintahkanlah untuk mengurangkan bebanan tersebut. Takkanlah anak di dalam buaian pula nak menyelesaikan keadaan itu. Alasan dan jawapan siapa pun boleh beri, tetapi yang paling utama adalah penyelesaian. Tidakkah kenaikan OPR itu menjadi satu masalah kepada rakyat, maka selesaikanlah. Bukan berdalih pula.

MASALAH SOSIAL

Jangan terkejut ada wanita Muslimah kita yang bertudung juga yang meminum arak. Bahkan ada juga yang tak ‘cover’ langsung masuk ke kelab malam bertudung untuk bergembira. Sebenarnya perkara ini bukan perkara baru ia susah lama berlaku cuma mungkin pihak berkuasa yang terlepas pandang. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu hantaran di Facebook berkongsi tentang sikap sesetengah individu wanita yang bertindak mengambil minuman beralkohol serta masuk ke kelab malam dengan imej bertudung yang boleh mencemarkan agama Islam.

Sesetengah orang ada yang jenis bertudung di luar, tapi bila masuk ke kelab malam terus tanggalkan tudung tersebut. Bila dah masuk ke kelab malam, mulalah ambil minuman haram. Ramai menyarankan agar pihak berkuasa agama membuat serbuan bersama pihak polis bagi mengekang keruntuhan moral remaja-remaja dalam mengurangkan kes yang berlaku. Antara cadangan mereka adalah dikenakan denda yang tinggi supaya pelaku itu serik. Selain itu, ibu bapa juga harus diberikan amaran bagi memantau kegiatan anak masing-masing yang di bawah umur.

Bagaimanapun, cadangan menutup kelab malam mendapat tentangan dari seorang DJ popular yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Victor Goh, yang menjelaskan industri hiburan merupakan salah satu penyumbang terbesar terhadap hasil pelancongan negara. Katanya, tindakan penutupan kelab malam itu mungkin terdorong daripada politik yang bertujuan untuk memuaskan hati golongan konservatif. Mungkin benar kata-kata itu dan pihak berkuasa boleh sahaja mendengar saranan itu kerana ia dapat menambah pendapatan negara. “Apalah sangat” jika hendak dibandingkan dengan perintah yang tertulis di dalam Al-Quran.

UNDANG –UNDANG

Undang-undang antarabangsa tidak boleh mengatasi kedaulatan undang-undang negara berdaulat sendiri, demikian kenyataan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang menjelaskan bahawa tidak perlu wujud sentimen bahawa kuasa mahkamah itu tidak tertinggi lagi sekiranya ada pemfailan petisyen terhadap Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD).

UNWGAD hanya boleh memberi pendapat kerana pertubuhan tersebut bukanlah mahkamah. Justeru, perkataan ‘keputusan’ tidak sesuai dikaitkan dengan UNWGAD kerana ia hanya memberi pendapat berdasarkan keputusan yang diperoleh dari hasil siasatan yang dibuat oleh UNWGAD sendiri. Malaysia merupakan negara yang dikenali dengan sistem kehakiman yang berdaulat di dunia. Sejak tahun 1957, khususnya 60, 70 an onwards banyak negara luar yang merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah Malaysia sebagai bantuan dalam mereka mentakrifkan undang-undang dalam mengguna pakai fakta-fakta yang tertampil di mahkamah-mahkamah terlibat seperti di India, Sri Lanka, Singapura, Kanada, Australia dan negara-negara Caribbean sebab kita mempunyai sistem perundangan Komanwel yang sama.

SOSMA

Akta SOSMA perlu terus wujud kerana banyak isu-isu jenayah yang masih belum diselesaikan di negara kita. Jadi jelas SOSMA masih relevan kerana buktinya jelas negara masih banyak jenayah. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih diperlukan untuk menjaga keselamatan negara susulan masih wujud jenayah berunsur keganasan di Malaysia. SOSMA masih diperlukan untuk menjaga keselamatan negara serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa jenayah keganasan dan terorisme dan kajian untuk menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu akan disokong sepenuhnya tetapi tidak untuk dimansuhkan supaya keselamatan negara kekal terjamin daripada sebarang ancaman bahaya.

KENAIKAN GAJI TAHUNAN(KGT)

Pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas sebanyak RM100 berkuat kuasa 1 Januari 2023 ini.

Seiring dengan kenaikan kadar pendapatan yang diberikan maka mutu perkhidmatan juga seharusnya ditambah baik. Jangan hanya mahu imbuhan tinggi namun pekerjaan yang menjadi ibadah itu dikesampingkan dan hanya dianggap remeh. Semoga tidak timbul lagi agensi perkhidmatan yang mempunyai 10 kaunter tetapi yang dibuka untuk orang ramai cuma dua.

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)

Kesan CPTPP Terhadap Keterjaminan Makanan negara Merupakan Satu Masalah Yang Besar yang disuarakan NGO Gabungan Kedaulatan Negara

CPTPP tidak dinilai dalam analisis kos dan faedah yang disebutkan dan akan menjadi satu masalah yang besar kepada negara.

Menurut NGO itu, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan dan usahawan dalam sektor pertanian dan sebagainya atau kesannya terhadap pengguna khususnya.

Antara amaran yang dikeluarkan adalah walaupun, lambakan produk import akan menggembirakan pengguna pada jangka masa pendek. Namun, tanpa sedar ini akan menjejas pengeluar dan peniaga tempatan sehingga semua keperluan pengguna akan hanya bergantung kepada negara luar.

Kekhuatiran itu berulang kali disuarakan apabila melihat keinginan kerajaan untuk menyertai CPTPP tetapi keputusan dibuat tanpa merujuk kepada mana-mana kajian. Lebih 50 NGO Gabungan telah menyeru kepada Kerajaan Perpaduan supaya menarik diri dari menyertai ratifikasi CPTPP.

Bagaimanapun, kerajaan tidak mempedulikan amaran dari NGO berkenaan sekaligus mengumumkan telah menandatangani perjanjian CPTPP itu.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut diingatkan bahawa beliau mesti meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan. Itu pun jika dia tak lupa.

ISU PELANCONG CHINA

Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan ujian COVID-19 kepada pelancong dari China kerana bimbang akan membebankan sistem dan kakitangan perubatan Malaysia susulan peningkatan melampau kes di negara tersebut.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai memaklumkan, gesaan itu adalah sebagai langkah dalam mencegah lonjakan kes COVID-19 di negara ini kerana baru-baru ini, varian COVID-19 yang dikatakan dominan di China telah pun dikesan di Malaysia. Mungkin hanya pengembara yang telah mendapat vaksin penuh dengan keputusan ujian RT-PCR negatif sahaja dibenarkan masuk. Dan sebaik saja tiba di pintu masuk negara ini atau dalam tempoh 24 jam, mereka sekali lagi perlu menjalani pemeriksaan antigen RTK profesional COVID-19. Kebimbangan itu disuarakan adalah disebabkan dengan kekurangan tenaga kerja di fasiliti penjagaan kesihatan awam termasuk sistem penjagaan kesihatan boleh tertekan jika kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan kemasukan Unit Rawatan Rapi (ICU) mula meningkat. Walaupun langkah berjaga-jaga sedang diambil oleh KKM untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan, tetapi banyak lagi perlu dilakukan untuk mencegah kes import COVID-19. Sebagai cadangannya dan langkah tambahan, Kerajaan boleh melihat pembukaan secara beransur-ansur kepada pengunjung dari China dan melonggarkan sekatan apabila situasi COVID-19 di sana bertambah baik dengan ketara. Tidak dinafikan bahawa kemasukan pelancongan itu akan memberi manfaat dan kesan positif kepada sektor ekonomi dan pelancongan Malaysia, namun kita harus lebih percaya, kesihatan dan keselamatan orang awam juga amatlah penting dan perlu dititik beratkan. Adalah lebih baik berjaga-jaga daripada membiarkan saja. Jangan pula nanti sudah terhantuk baru nak tergadah!

DUNIA

Yahudi Golongan Fanatik & Pelampau

Masjidil Aqsa menyaksikan rekod pencerobohan tertinggi iaitu seramai hampir 50,000 pelampau Yahudi pada tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Wakaf Islam, Azzam Khatib, seramai 48,238 penjajah Yahudi telah menyerbu perkarangan Masjidil Aqsa pada 2022.

Beliau yang juga bertanggungjawab menjaga Masjidil Aqsa berkata, golongan fanatik itu melakukan perbuatan provokasi yang menyentuh sentimen dan perasaan umat Islam dengan melakukan ritual Yahudi dan menaikkan bendera rejim haram apartheid Israel dalam kawasan masjid semasa perayaan Yahudi. Pelampau-pelampau berkenaan berbuat sedemikian tanpa menghiraukan makna tempat suci tersebut bagi dua billion umat Islam seluruh dunia. Azzam juga memperingatkan bahawa kerajaan baharu sayap kanan rejim haram Israel mungkin melakukan tindakan yang boleh membangkitkan perang agama di rantau itu malah juga di peringkat antarabangsa. Masjidil Aqsa adalah tempat suci umat Islam dengan keluasan 144 dunum dan semua ciri dan kemudahan di atas dan bawah tanahnya, dan ia adalah masjid suci hanya untuk umat Islam di seluruh dunia yang tidak menerima perpecahan atau perkongsian walaupun semua percubaan dibuat untuk mengubah status quo agama, sejarah dan undang-undang lama Masjidil Aqsa. Sebelum ini, kenyataan tegas para ulama daripada 70 institusi Islam dalam Persidangan Antarabangsa Ulama-Ulama Islam untuk Palestin Kali Ke-2 di Istanbul, Turkiye mengatakan “Setiap Muslim mempunyai kewajipan agama untuk berusaha membebaskan Palestin, Baitulmuqaddis dan Masjidil Aqsa,mempertahankan mereka dan berhadapan dengan konspirasi yang dibuat terhadap mereka. Terdahulu, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour dengan tegas mengkritik puak pelampau itu susulan pencerobohan Masjidil Aqsa baru-baru ini. Jelasnya, “Kami tidak akan berpuas hati dengan kenyataan ‘indah’, kami mahu ia dilaksanakan dengan tindakan tegas. Kita mahu perbuatan ini tidak berulang di Masjidil Aqsa dan Al-Haram As-Syarif.” Beliau berkata, “Negara dan rakyat Palestin sangat berterima kasih atas sokongan padu yang ditunjukkan oleh saudara-saudara kita di negara Arab, negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), negara yang membantu membela hak rakyat Palestin dan hampir semua negara di seluruh pelusuk dunia.”

SOLIDARITI

Malaysia bagaimanapun terus berdiri menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin sekali gus menekankan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam. Demikian intipati kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra susulan pencerobohan Menteri Keselamatan rejim haram apartheid Israel ke kawasan Masjidil Aqsa baru-baru ini. Sehubungan itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan berkenaan yang mendapat perlindungan tentera rejim haram Israel dan merupakan provokasi serta pencerobohan jelas terhadap status quo politik Baitulmuqaddis dan Al-Haram Al-Sharif. Negara turut menyeru komuniti antarabangsa meminta rejim haram Israel bertanggungjawab atas tindakan haram itu dan menuntut mereka menghentikan serta-merta sebarang provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan. Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan daripada penjajahan rejim haram serta merealisasikan harapan mereka untuk sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

PERANG

Presiden Rusia Vladimir Putin memaklumkan bersedia untuk berdialog dengan Ukraine untuk tujuan menamatkan perang jika Kyiv menerima “realiti wilayah baharu”, namun hasrat tersebut telah ditolak oleh Ukraine.

Beliau juga telah mengarahkan gencatan senjata ketika perayaan Krismas Ortodoks, tetapi cadangan gencatan senjata selama 36 jam itu dibantah oleh seorang pegawai kanan Ukraine dengan mendakwa ianya kemunafikan dan propaganda, dan berkata “gencatan senjata sementara” hanya boleh dilakukan apabila Rusia meninggalkan wilayah yang telah dirampasnya di Ukraine.

Senada dengannya adalah sekutu Barat Ukraine yang turut menolak cadangan itu, di mana Presiden AS Joe Biden menuduh bahawa Putin “cuba mencari oksigen” dengan mengapungkan gencatan senjata.

Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, pula berkata jika Putin benar-benar mahukan keamanan “dia akan membawa pulang tenteranya. Gencatan senjata tidak membawa kebebasan mahupun keselamatan kepada orang yang hidup dalam ketakutan setiap hari di bawah penjajahan Rusia”. Dalam pada itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron memberitahu Volodymyr Zelenskyy bahawa Paris akan menghantar kenderaan tempur berperisai AMX-10 RC ringan kepada Kyiv, yang dikeluarkan oleh Nexter Systems untuk menjadi perisai dan membantu tentera Ukraine dalam peperangan. Untuk rekod, Presiden Rusia Vladimir Putin telah melancarkan perang terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022 meskipun mendapat tentangan hebat daripada masyarakat dunia. Berikutan serangan ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy telah memperkenalkan undang-undang tentera.

PEMIMPIN DUNIA

Keamanan Sejagat – Rundingan Damai Diteruskan

Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan kemungkinan akan bertemu dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad bagi memupuk keamanan serantau.

Erdogan menjangka sedemikian selepas ketua pertahanan Rusia, Turki dan Syria mengadakan perbincangan pada minggu lalu, sekali gus mengatakan bahawa menteri luar tiga negara itu juga dijangka berkumpul tidak lama lagi.

“Selepas itu kita mungkin bertemu sebagai pemimpin Rusia, Turki dan Syria, bergantung kepada perkembangan. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” ujar Erdogan.

Sehubungan itu, Mensur Akgun, seorang profesor hubungan antarabangsa pula turut menjelaskan, pendekatan Ankara terhadap al-Assad ini adalah disebabkan perubahan besar dalam dinamik rantau berkenaan berbanding 11 tahun lalu apabila hubungan rasmi kedua-dua negara terputus.

Seperti yang dilaporkan, Mensur juga percaya bahawa Rusia memainkan peranan penting dalam memulakan perbincangan antara dua negara ini.

Hasil hubungan istimewa Turki dengan Rusia, Moscow telah mendahulukan kepentingan Ankara berbanding hubungannya dengan Syria, menekan kerajaan Assad ke arah ini. Konflik di Syria telah berlangsung selama lebih 11 tahun, di mana ratusan ribu orang terkorban, jutaan kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan kuasa serantau serta kuasa dunia.

Turkiye telah menjadi tuan rumah kepada pembangkang Syria, manakala Rusia pula menyokong kerajaan Syria dari segi politik dan ketenteraan.

Dalam ulasan lanjut, Mensur juga percaya kebimbangan keselamatan Ankara di Syria memainkan peranan besar dalam penyatuan negara-negara berkenaan. Apa yang jelas, Ankara tidak akan meninggalkan pembangkang Syria tetapi akan cuba menyelesaikan konflik melalui perbincangan.

Kata Mensur, “Jika Turki mahu berbuat sedemikian (meninggalkan pembangkang), isu itu sudah lama diselesaikan.” Ankara dijangka mencari keseimbangan antara kedua-dua pihak untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut melalui perbincangan.

SUHU GLOBAL – Pemanasan Global

Ada beranggapan, Dunia patut lebih cemas mendengar berita ini daripada isu peperangan. Hal ini apabila satu kajian mengenai glasier dan kepingan-kepingan ais di dunia mendedahkan bahawa separuh daripadanya akan lenyap mencair menjelang akhir abad ini. Menurut kajian yang diketuai oleh David Rounce, penyelidik di Universiti Carnegie Mellon dan Universiti Alaska di Fairbanks itu, walaupun dengan hanya 1.5 darjah Celsius pemanasan di atas paras pra industri, kira-kira 104,000 daripada lebih 215,000 glasier gunung dan penutup ais di dunia akan mencair sekali gus meningkatkan paras laut global kepada hampir 4 inci. Kenaikan 1.5 darjah Celsius melebihi suhu pra industri kini amat sukar untuk dielakkan, menunjukkan bahawa perubahan magnitud ini mungkin hampir tidak dapat dihalang. Dengan setiap kenaikan tambahan kenaikan suhu, kajian mendapati, ia menjadi lebih teruk,” dedah kajian. Tambah kajian itu lagi, proses pencairan itu terutamanya akan menjejaskan banyak glasier yang lebih kecil di dunia. Ini disebabkan Glasier gunung, jisim ais berkekalan tidak termasuk kepingan ais Greenland dan Antartika, merupakan sumber air kritikal untuk hampir dua bilion orang dan diancam oleh pemanasan global. “Kehilangan jisim glasier menjejaskan kenaikan paras laut, sumber air dan bahaya semula jadi,” kata David Rounce. Walau bagaimanapun, beliau turut menyatakan bahawa pengurangan dalam peningkatan suhu akan memberi kesan yang besar. Sebarang pengurangan dalam peningkatan suhu akan memberi kesan yang besar terhadap kenaikan paras laut dan kehilangan glasier di seluruh dunia.

AMARAN AWAL – KEMARAU DAN KEBAKARAN

Selepas penutup tahun lalu kita disajikan dengan isu bencana alam yang dibawa angin monsun barat seperti hujan, ribut petir sehingga mengakibatkan banjir di serata pelusuk dunia kini isu Kebakaran hutan secara besar-besaran di Indonesia pula dijangka bakal berlaku pada Ogos hingga September tahun ini. Kemarau dahsyat, kebakaran hutan besar-besaran dijangka berlaku di Indonesia ini adalah sebagai amaran awal musim kemarau yang akan dibawa oleh angin monsun timur. Ketua Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG), Dwikorita Karnawati berkata jangkaan itu dibuat susulan musim kemarau tahun ini diramal lebih kering dan panas berbanding dua tahun lalu. Musim kemarau yang lebih teruk juga diramalkan pada 2023 kerana taburan hujan yang sedikit berbanding tahun sebelumnya. Antara kawasan yang perlu diberi perhatian yang berisiko menyebabkan kebakaran hutan besar-besaran adalah Sumatera Utara, Riau dan Acheh. Semua pihak perlu peka dengan keadaan semasa dalam usaha membendung kebakaran hutan berlaku. Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan, jangan lakukan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, termasuk sengaja membakar kawasan pertanian bagi membolehkan tanaman baru dihasilkan.

Sebelum ini, disebabkan Covid-19 kita terpaksa memakai pelitup muka tetapi selepas ini akan berlaku kebakaran pada skala yang besar yang mewujudkan suasana jerebu dengan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara sehingga menyesakkan nafas dan memedihkan mata serta ketidak selesaan yang agak lama. Maka kita harus bersiap sedia dan sentiasa berwaspada.

KESIMPULANNYA

Kini kita tidak dapat menolak bahawa usia dunia telahpun menghampiri fasa pengakhiran dan berada pada zaman yang keempat di mana banyak tanda-tanda sudah terzahir menghampiri kepada zaman kelima. Ini seharusnya secara langsung dapat memberikan kesedaran kepada manusia akhir zaman supaya tidak leka dengan kecintaan dunia dan mewujudkan rasa takutkan kematian agar segala bentuk kebaikkan dapat dilakukan dengan kadar segera supaya kita tidak menjadi manusia yang rugi selama-lamanya selain menjadi asbab perubahan dan pedoman bersama.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker