Agama

Ulama Silam Teguh Dengan Jati Diri Lengkap Dengan Ilmu Tauhid, Feqah & Tasawwuf!

Kebanyakan ulama Melayu silam mempunyai jati diri sebagai seorang Melayu dan tidak mudah terpengaruh dengan Arabisasi meskipun dakwah-dakwah Islam dikhabarkan datang dari sana.

Hal ini demikian kerana sebelum Islam datang menyempurnakan syariat nabi-nabi terdahulu, orang-orang Melayu di sini sudah pun menyerahkan diri sebagai hamba kepada Allah yang Esa.

Keadaan ini bukan sekadar melibatkan ‘kebanyakan’ sebaliknya ‘semua’ memiliki pendirian serupa dan ia diperkukuhkan dengan ketegasan ulama dalam menasihati cara hidup Melayu.

Bukan Hanya Kuasai Ilmu Feqah

Para ulama silam tidak hanya mendalami ilmu feqah semata-mata sebaliknya turut menguasai ilmu tauhid dan ilmu tasawwuf

Mereka tidak hanya mengaji `ilmu Fiqh semata, malah mendalami serta menguasai `ilmu Tauhid dan `ilmu Tasawuf lalu diterapkan di dalam berbagai aspek kehidupan.

Bagi orang yang mengkaji sejarah mereka akan tahu `Ilmu Tauhid dan `Ilmu Tasawuf adalah `ilmu yang kebanyakan Ulama terdahulu kuasai, amalkan dan sebarkan.

Para Ulama Melayu dahulu juga mengaji `Ilmu Perubatan, `Ilmu Keris, `Ilmu Hulubalang, `Ilmu Tempor Perang, `Ilmu Firasat, `Ilmu Falak dan berbagai lagi cabang `ilmu yang berkait rapat dengan `Alam Melayu yang kini `ilmu itu sudah kurang dikuasai oleh para Ulama hari ini.

Individu yang kami ingin bicarakan dan fokus pada pos ini adalah seorang Ulama Sohor yang bernama al-Marhum “Abdus Shamad Bin Haji Abdullah Bin Haji Hasyim” ataupun lebih dikenali sebagai “Tok Pulai Chondong” yang lahir pada tahun 1792 Masihi.

Kenal Sheikh Daud Al-Fathoni Ulama Sohor `Alam Melayu dulu ?

Beliau adalah sepupu dua kepada Tok Pulai Chondong. Tok Pulai Chondong diberikan didikan agama dan akhlak semenjak kecil oleh Ayahnya dan Datuknya yang keduanya adalah Ulama yang terkenal.

Ketika berusia 10 tahun beliau menyambung pengajiannya di “Pondok Pauh Bok Patani” dan berguru kepada “Sheikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fathoni”.

Selesai pengajiannya di Pondok Patani beliau membawa diri ke Makkah pada tahun 1808 Masihi untuk mendalami lagi `ilmu agama terutamanya dalam ke`ilmuan Fiqh, Tasawuf dan Usuluddin.

Di sana beliau berguru kepada “Sheikh Daud Al-Fathoni” dan “Tuan Guru Haji Adam”. Setelah beberapa tahun mendalami `ilmu Agama di Makkah beliau kembali ke Kelantan, tak pasti pada tahun berapa.

Pada tahun 1820 Masihi beliau membuka Perkampungan Bilal Talib di Kelantan yang tidak jauh dari Kampung Bukit yang dibuka oleh Datuknya Sheikh Hasyim sebelum beliau lahir lagi.

Untuk membuka penempatan baru, sudah tentu surau perlu dibina. Beliau membina sebuah surau yang berhampiran dengan Pokok Pulai yang condong (Dari sinilah gelaran nama yang beliau perolehi dari orang ramai ketika itu).

Akhirnya surau yang dibinanya itu menjadi tempat kunjungan para penuntut `ilmu dan menjadi pondok tempat pengajian `ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawuf.

Walau bagaimanapun, surau yang dibina tersebut telah terbakar sekitar tahun 1820 Masihi dan ia kemudian dipindahkan ke Kampung Surau iaitu tempat terletaknya masjid itu hingga sekarang.

Pada tahun 1856 Masihi masjid tersebut pula terbakar dan dengan kerjasama anak-anak mukim tempatan, Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah masjid lain di tepi Sungai Pulai Chondong yang terletak tidak jauh dari tempat terbakarnya masjid tersebut.

Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong masih lagi merupakan objek kemegahan tempatan yang dibina oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1856 Masihi.

Tok Pulai Chondong juga dilantik oleh Sultan Muhammad II sebagai guru di Istana untuk mengajar Raja Perempuan tentang agama Islam. Sumbangan Tok Pulai Chondong yang dapat dilihat selain mengasaskan institusi pendidikan dan pengembangan Syi`ar Islam ialah beliau juga berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil sehingga menjadi masyarakat yang ber`ilmu dan patuh terhadap perintah ALLAH dan Rasul-NYA.

Tok Pulai Chondong pergi ke Makkah untuk menuntut `ilmu seawal tahun 1808 Masihi. Dan sebelum tahun 1820 Masihi beliau kembali ke Kelantan mengajarkan `ilmu agama kepada masyarakat.

Ketika itu beliau sudah bergelar `alim ulama. Tetapi sekali lagi beliau pergi ke Makkah pada tahun 1840 Masihi untuk menuntut `ilmu, kerana beliau masih merasa dirinya jahil sedangkan ketika itu beliau sudah diiktiraf oleh para Ulama sebagai seorang yang `Alim (ber`ilmu).

Beliau juga bersahabat dengan beberapa orang Ulama Melayu yang terkenal antaranya ialah “Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani” (yang kemudian dikenali dengan nama “Tuan Hasan Besut”).

Juga saudaranya “Sheikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani” dan “Sheikh Abdul Malik bin Isa Terengganu”, “Syeikh Wan Musa” dan ramai lagi.

Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang tasawuf makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal.

Sebenarnya memang sejak kecil Tok Pulai Chondong ialah seorang yang memang mempunyai ciri-ciri khusus tentang amalan itu.

Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam.

Doa yang paling sering di`amalkannya ialah “Hizb al-Bahri” yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali ALLAH “Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili”. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Makkah.

Antaranya ialah orang `Arab bernama “Syeikh Ahmad bin As`ad ad-Dihan”. Syeikh Ahmad ad-Dihan mengijazahkan pula kepada “Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani”.

Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul “Lum`ah al-Aurad”. Daripada sini ia tersebar dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker