Agama

Ulama Besar Alam Melayu, Pak Su Mid Kuala Nerang Meninggal Dunia!

Jika generasi muda bertanya apakah ada ulama besar alam Melayu yang menyaksikan pelbagai sejarah di Tanah Melayu, nama Pak Su Mid Kuala Nerang pasti akan terbit dari bibir orang yang berilmu.

Pak Su Mid atau secara rasminya dipanggil sebagai Tuan Guru Haji Abdul Hamid dilahirkan di Air Hitam, Jerlun, Kedah dan dikatakan semasa hayatnya pernah menuntut ilmu daripada beberapa wali Allah.

Berdasarkan catatan yang ada, antara guru Pak Su Mid adalah seperti:

  1. Syeikh Abu Bakar – Palestin
  2. Wali Allah Syeikh Abdullah Harun – Stesen Kereta Api Lama Alor Star, Sg. Korok
  3. Pak Da Eil – Mekah
  4. Tuan Guru Haji Abdullah Kecik – Pondok Langgar

Nasab & Kisah Semasa Muda

Menurut sumber lisan, Pak Su Mid antara waris hidup Laksamana Cheng Ho yang cukup popular pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Orang-orang tua Pak Su Mid pula berasal dari Banjar, Indonesia (ketika dahulu tiada perpecahan geo-politik dan persempadanan negara dalam alam Melayu seperti hari ini).

Pak Su Mid Kuala Nerang meninggal dunia pada 11 November 2022

Melewati beberapa tahun, Pak Su Mid akhirnya mula tinggal di Bukit Tembaga bermula tahun 1965 dan berkahwin pada tahun 1973.

Semasa muda, Pak Su Mid kebanyakannya bekerja dan berniaga di Pekan Rabu, Alor Setar demi mencari rezeki yang diberkati Allah pada sebelah siang harinya.

Namun pada sebelah malam, Pak Su Mid akan menadah ilmu bersama guru-guru beliau selain bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pendang.

Kitab Rujukan Pak Su Mid

Antara kitab yang sering menjadi rujukan Pak Su Mid adalah:

  1. Hilyatul Auliyak
  2. Futuhat Makkiyyah Ibn Arabi
  3. Khozinatul Asror

Beliau pernah berkata bahawa beliau cuma membaca kitab-kitab yang pengarangnya adalah dalam kalangan individu yang dikenal pasti Wali Allah sahaja.

Selain berpuasa, Pak Su Mid gemarkan menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan sehingga apabila orang awam bertemu memohon nasihat, Pak Su Mid menggalakkan perkara yang sama.

Pak Su Mid Capai Maqam Wali Abdal?

Menurut Syeikh Wan Izzudin Bin Syeikh Wan Ibrahim yang juga dikenali sebagai Pak Chu Him Pondok Gajah Mati, Pak Su Mid telah mencapai maqam wali abdal.

Dalam empat rukum untuk mencapai maqam wali abdal, salah satu sifatnya adalah rajin berpuasa dan Pak Su Mid telah berpuasa sunat lebih daripada 30 tahun.

Gaya Bahasa Tinggi & Suka Berkias

Kalam Pak Su Mid dikatakan mempunyai laras dan gaya bahasa yang tinggi serta unsur kiasan yang sangat mendalam untuk difahami dan Pak Su Mid juga suka berkias ketika bercakap.

Di antara nasihat atau kata-kata hikmah Pak Su Mid ialah :

  1. Pastikan diri sentiasa berwuduk
  2. Bergelut sungguh-sunguh dengan al-Quran. Pegang al-Quran dan kata: Ya Allah, ini kitab Engkau yang aku beramal. Barang siapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memberikannya hidayah
  3. Malam malam bangun buat tahajud. Menangis atas segala dosa. Ambil air mata tu sapukan satu tubuh badan niat sebagai benteng dari api neraka
  4. Bila ada istiqomah, baru malaikat turun. Jangan takut jangan sedih. Depa bawa berita gembira kita jadi ahli syurga
  5. Nak cekap dalam agama ni kena kuasai ilmu alat
  6. Sapa tak baca al-Quran, dia benci kepada Allah
  7. Semua ilmu ada dalam Al Quran. Semua penyelesaian hidup ada dalam Al -Quran.

Sebelum ini, orang ramai boleh menziarahi Pak Su Mid di Kampung Kuala Pai, Bukit Tembaga, Kuala Nerang, Kedah seperti ketetapan berikut:

● Waktu Pertama : 9.00 pagi – 12.00 tengah Hari
● Waktu Kedua : 3.00 petang – 5.00 petang

Namun hari ini pada tarikh 11 November 2022 (11/11/22), ulama besar alam Melayu, Pak Su Mid yang mempunyai salasilah keturunan dengan Laksamana Cheng Ho (Cina Muslim) telah pergi ke negeri abadi.

Sesungguhnya perjalanan ke negeri abadi adalah sesuatu yang cukup indah buat masa ini kerana dunia sementara yang Allah pinjamkan sedang dirosakkan oleh hamba-hambaNya yang sedang lupa diri. MasyaAllah!

Pak Su Mid Kuala Nerang meninggal dunia pada 11 November 2022

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button