Dalam segmen Magnificient 8 di TV3, salah satu filem yang ditayangkan baru-baru ini adalah The Unity Of Heroes.
Mengisarkan perihal pengamal seni bela diri kung fu, Wong Fei-hung melawan kejahatan pada zaman kolonial British.
Jalan cerita dan pengucapan dialog dalam The Unity Of Heroes menunjukkan orang-orang Cina takkan mengalah.
Apabila berdepan dengan musuh dalam selimut sekali pun, keadilan harus diterapkan demi kebaikan bersama.
Fei-hung adalah penting bagi kerajaan namun ada segelintir pegawai kerajaan jalinkan kerjasama dengan pihak luar.
Kesannya, ada orang-orang Cina diculik dan dijadikan bahan uji kaji untuk mencuba dadah yang telah dicipta.
Apabila Fei-hung mengetahui siapakah dalangnya, dia menerima pelbagai ancaman termasuklah harus dibunuh.
Namun demikian, nasib menyebelahi Fei-hung kerana kecepatan orang sekeliling merawatnya untuk pulih semula.
Secara keseluruhan, penonton dapat merasai dan melihat sendiri bagaimana jati diri bangsa dipupuk dalam filem ini.
Bagi orang-orang Cina, sudah tentu walaupun hidup pada zaman moden, Fei-hung meninggalkan kesannya tersendiri.
Kerana falsafah yang dipamerkan oleh Fei-hung itulah ayat orang-orang Cina bukan bangsa mengalah terpahat di hati.
Alangkah cantik aturan kaum Cina untuk terus menyuburkan jati diri bangsa menerusi filem sebagai wadah istimewa.
Sehinggakan orang-orang Melayu juga tidak asing dengan nama Wong Fei-hung, Fong Sai-yuk dan sebagainya.
Barisan Nama Hebat Di Tanah Melayu
Di Tanah Melayu, kita ada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu, Dato Bahaman, Rentap, Mat Kilau, Tok Janggut serta ramai lagi.
Namun agak menyedihkan orang-orang Melayu moden tidak dapat dipupuk jati diri kita dengan jelmaan nama-nama di atas pada layar skrin atau tontonan digital.
Nak harapkan drama bergenre persilatan? Ia sudah lama pupus dan tiada seorang pun mengarah Melayu berminat untuk mengemukakan proposal.
Salah satu sebabnya, pasti akan ditolak oleh stesen TV kononnya jalan cerita yang tidak boleh pergi jauh dan tiada hero atau heroin yang kacak dan jelita.
Keangkuhan stesen TV inilah membuatkan wada istimewa menerusi seni untuk meningkatkan jati diri bangsa gagal dipupuk dan disemaikan.
Hujung-hujung.. salahkan penonton dan rakyat kenapa tidak menyokong karya yang ditayangkan dalam kaca TV dan sebagainya kerana jalan ceritanya langsung tidak membina.
Syukur pada era 80-an dan 90-an dahulu sempatlah generasinya menonton beberapa drama persilatan seperti Keris Hitam Bersepuh Hitam misalnya, ada jugalah jati diri bangsa yang dipupuk bersama.
Jika tiada jati diri, masakan penulis berani menegur perkara ini dan bercakap penting untuk bangsa Melayu dikembalikan jati diri bangsa untuk terus membangun.
Perjuangan nenek moyang Melayu sangat panjang di alam ini, bermula dari pentas benua Sunda sampailah terpecah kepada beberapa kepulauan sehingga ke hari ini.
Tanah Melayu misalnya, cuma dijajah sekitar 400 tahun lebih sahaja. Maka tidak mustahil untuk bangsa Melayu kembali mencipta tamadun sehingga ke akhir zaman dalam memperjuangkan Islam!