Agama

Tunai Umrah Cuma Dikira Sunat Mu’akkad, Tutup Aurat Wajib Sepanjang Zaman!

Seorang selebriti wanita, Ifa Raziah dengan bangganya menemplak netizen yang menegurnya untuk tampil menutup aurat kerana semakin berusia dan keperluan untuk menjadi contoh yang baik.

Namun demikian, Ifa Raziah tidak bersetuju dengan permintaan itu dan membidas kembali meski pun dia tidak menutup aurat, Allah SWT telah menjemputnya sebanyak tiga kali ke Tanah Suci Kota Mekah.

Hukum Menunaikan Umrah

Biar pun Ifa Raziah dijemput tiga kali pun ke Tanah Suci Kota Mekah, atau 50 kali sekali pun, hanya untuk menunaikan umrah, sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu’akkad pada umrah yang pertama.

(Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315).

Sebagian ulama lain pula berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Inilah pendapat yang  sahih dari mazhab Imam Al-Syafie dan perlu difahami umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/314).

Arahan Menutup Aurat

Apabila Ifa Raziah mengaitkan tindakannya secara bebas untuk tidak menutup aurat, ia jelas bertentangan dengan perintah agama kerana Allah SWT berfirman dalam Al-Qur’an al-Karim:

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ

Maksudnya: Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (yakin Adam dan isterinya) (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga.

(Surah al-A’raf: 22)

Ayat ini menunjukkan bahawa menutup aurat itu merupakan satu fitrah insani yang telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Kerana itulah Nabi Adam dan isteri Baginda menutup aurat masing-masing apabila terbuka, meskipun masih belum ada sebarang syari’at yang diturunkan pada waktu tersebut.

Allah SWT juga berfirman dalam kitab-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.

(Surah Al-A’raf: 26)

Cerita nak tutup aurat ini mudah sahaja, nak tutup pakai canvas pun boleh, pakai asbestos pun boleh, pakai zink pun boleh, pakai kotak pun boleh tetapi bijak pandai orang Islam, tudung dihasilkan.

Dengan tudung, mana-mana wanita Muslim bukan hanya boleh menutup aurat dengan sempurna, bahkan nampak cantik dan tidak sepelik memakai kotak atas alasan juga menutup aurat.

Maka apalagi alasan Ifa Raziah untuk bermegah dan berkongsi pemikiran sekular yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi golongan muda yang masih mencari ilmu agama.

Tak semua orang akan rajin buka laman web seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan atau Jabatan Agama Islam mengikut negeri masing-masing.

Sehubungan itu Ifa Raziah selaku orang yang diberi keistimewaan Allah SWT untuk memiliki daya pengaruh sepatutnya berkongsi perkara yang baik-baik menjelang akhir zaman ini.

Semoga Ifa Raziah terus didoakan orang-orang mukmin agar terbuka hatinya kembali kepada fitrah dan tidak bercakap sesuka hati yang jelas bercanggah dengan perintah agama Islam.

Islam cuba menjaga Ifa Raziah, para wanita serta lelaki dan seluruh umatnya berhati-hati, sentiasa terpelihara dan dicintai Allah SWT, tugas kita cuma patuh dan tidak menimbulkan provokasi!

 

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button