Sejarah

Tujuh Wali Tanah Melayu: Siapakah Mereka?

Mungkin tak ramai yang tahu sebenarnya di Tanah Melayu, kita juga mempunyai wali-wali yang teguh dengan pendirian dan menegakkan syariat Islam. Mereka dikenali sebagai 7 Wali Melayu. Tokoh-tokoh ini semua berperanan berdakwah, menyebarkan agama Islam dan berani menentang penjajah di Tanah Melayu sekitar abad ke-19 dan ke-20. 

 

As-Saiyyid Habib Nuh Al-Habsyi

Nama penuhnya ialah As-Sayyid Habib Noh bin Muhammad Al-Habsyi. Habib Nuh berasal dari Kedah dan berketurunan Arab dari Yaman. Malah beliau juga berketurunan Rasulullah SAW melalui nasab Zainal Abidin bin Sayyidina Hussein. Habib Nuh dipercayai tiba di bumi Singapura tak lama selepas Stamford Raffles mendarat di Singapura. Selain itu beliau juga berjalan kaki berdakwah ke Johor dan juga negeri-negeri lain. Beliau seorang yang warak dan waktu malamnya dihabiskan bersolat sehingga waktu fajar terbit. Beliau juga dikatakan sering ke makam serta tanah perkuburan dan mendoakan roh-roh orang yang telah meninggal dunia. 

 

Al-Habib Abdurrahman bin Muhammad Al-Idrus (Tokku Paloh)

Nama penuh beliau ialah Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin Al-Idrus. Tokku Paloh merupakan ulama yang berurusan tentang pentadbiran serta politik di Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu yang ke-11. Tokku Paloh merupakan ulama yang diberikan karamah dan bantuan Allah dengan izin-Nya ketika beliau mentadbir. Kita juga tidak asing lagi dengan cerita-cerita ‘kehebatan’ beliau yang tegas tidak mahu tunduk pada penjajah British. Terdapat peristiwa di mana British mahu mengertak Tokku Paloh di atas kapal namun cukup wali Allah ini sengetkan serbannya, kapal dinaiki mereka bergoyang. British juga mula goyah dan takut dengan ‘kuasa karamah’ yang ditunjukkan Tokku Paloh.

 

Haji Ismail bin Husin (Tuan Tulis)

Haji Ismail bin Husin ataupun lebih dikenali sebagai Tuan Tulis merupakan wali Allah yang dekat dengan masyarakat Negeri Sembilan, khususnya di Kuala Talang, Kuala Pilah. Nama Tuan Tulis juga begitu dekat dengan kerabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kerana beliau mengubati Yang Dipertuan Besar Pertama sewaktu baginda gering di London pada tahun 1925. Yang ajaibnya, dikatakan sewaktu itu, Tuan Tulis sebenarnya sudah meninggal dunia! Tuan Tulis juga sering menjadi tempat rujukan penduduk tempatan tentang hal ehwal agama dan lain-lain. Beliau juga lebih suka duduk bersama dengan orang jahil dan bertanya khabar serta tentang masalah mereka. Tujuannya supaya beliau dapat berdakwah kepada mereka. 

 

Asy-Syaikh Muhammad Said Al-Linggi

Wali Allah kelahiran Negeri Sembilan ini yang juga dikenali sebagai Syeikh Said Al-Linggi merupakan alim empat mazhab feqah Ahli Sunnah Waljamaah yang muktabar. Beliau pernah pergi menuntut ilmu di Mekkah, Mesir, Patani dan Palestin. Beliau juga terkenal kerana mengembangkan tarekat Ahmadiah yang diasaskan oleh Asy-Syeikh Ahmad Idris Dandrawi r.m. Dalam mengembangkan ilmu tarekatnya, Syeikh Said Al-Linggi menjelajah ke merata-rata tempat antaranya di Kampuchea, Singapura, Thailand dan juga negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu terutama di negeri kelahirannya, Negeri Sembilan. Beliau merupakan ulama pertama yang membuka pondok pengajian di Ampangan. Walaupun Negeri Sembilan dikenali dengan Tanah Adat namun Syeikh Said Al-Linggi tegas menentang jikalau adat itu bertentangan dengan syarak. 

Baca juga>>Rangkuman Sejarah Kerajaan Siak

 

Syaikh Muhammad Nor An-Naqsyabandi Al-Kholidi

Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi yang berasal dari Sumatera Utara merupakan seorang sufi dan wali Allah yang dikurniakan karamah. Beliau juga merupakan khalifah ke-35 Tareqat Naqsyabandiah. Beliau juga terkenal sebagai pemimpin yang berwibawa kerana beliau memimpin jemaahnya di Sungai Gombak di sekitar tahun 1894-1919. Di dalam kampung ini terdapat satu undang-undang serta pentadbiran tersendiri. Tidak hairan jika Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi mendapat julukan nama ‘Pengasas Kampung Islam Contoh’. Beliau juga menubuhkan pusat pengajian yang bukan saja menekankan ilmu malah juga tarbiah rohaniah.

 

Tuan Husin Kedah Al-Banjari

Nama beliau tidak asing lagi buat masyarakat di Utara terutamanya di Kedah. Tuan Husin merupakan pengasas kepada 6 buah pondok pengajian di sekitar Kedah dan juga di Pokok Sena, Seberang Perai. Tuan Husin juga gigih dalam membangunkan semula pondok pengajian milik datuknya di Gajah Mati, Jitra, Kedah. Beliau juga merupakan ulama yang mengarang kitab pelbagai persoalan agama yang terbanyak di dalam bidangnya, tidak kurang dari 18 buah kitab. Dek kerana kelantangannya berdakwah dan mempertahankan pendiriannya, Tuan Husin telah dibuang negeri. Namun beliau masih giat aktif berdakwah di Seberang Perai serta meneruskan mengarang kitab. 

 

Tok Kenali

Tok Kenali merupakan figura penting dalam kebangkitan Islam di tanah Kelantan sehingga tanah itu mendapat gelaran ‘Serambi Mekah’. Pengaruh Tok Kenali cukup kuat hingga ke Patani. Tok Kenali juga aktif dalam menulis, juga dalam urusan kemasyarakatan serta pemerintahan. Beliau juga merupakan orang penting di sebalik tabir majalah ‘Pengasuh’. Tok Kenali juga pernah Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Ahli Majlis (Dewan) Ulama. Antara pesanan Tok Kenali kepada murid-muridnya yang sehingga kini menjadi sebutan adalah “mengaji sungguh-sungguh” dan “buka pondok”. Kesan daripada itu, pondok pengajian semakin banyak dibuka di Kelantan ketika awal abad ke-20 hasil sumbangan pelapis yang mendapat didikan dari Tok Kenali sendiri. 

Jejak Tujuh Wali di Tanah Melayu tidak hanya meninggalkan warisan sejarah, tetapi juga menjadi inspirasi bagi generasi berikutnya dalam menjaga dan mengembangkan nilai-nilai Islam negara ini. Dengan kegigihan dan ketekunan mereka, Islam dapat berkembang dengan baik. Mudah-mudahan usaha mereka semua dapat diteruskan sampai bila-bila.

Menarik: DIAMBANG KIAMAT, BILA LAGI MELAYU NAK BANGKIT?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button
Dapatkan Kandungan Demi Malaiu Sekarang!
Terima Notifikasi Setiap Kali Kami Siarakan Kandungan Baru