Sejarah menceritakan banyak raja-raja Melayu dipaksa untuk tanda tangan satu perjanjian bagi membolehkan British campur tangan dalam urusan pentadbiran dengan lebih rakus.
Ada raja-raja Melayu yang menentang sampai diugut dan ada juga yang menandatangi perjanjian Malayan Union kerana menerima nasihat yang salah daripada orang yang dipercayai.
Namun disebabkan orang-orang Melayu tidak mahu raja-rajanya terus menerima nasihat yang salah dan hanya menguntungkan British, satu langkah berani telah disusun.
Ada yang menggelarkan ia sebagai langkah Jebat, bukan mahu menderhaka tetapi mahu raja-raja Melayu selamatkan bangsa dan tanah air ini daripada terus dicabul.
Langkah Jebat ini dianggotai oleh tujuh orang Muar dan nama-nama orang Muar yang terlibat dalam langkah Jebat itu adalah seperti berikut:
- Dato Abdul Rahman bin Mohammad Yasin
- Dr. Hamzah bin Hj Taib
- Cikgu Kosai
- Cikgu Ahmad Suleiman
- Cikgu Safiah Suleiman
- Hj. Hassan Yunos
- Dr. Awang bin Hassan
Nama-nama di atas adalah pejuang nasionalis yang berjaya meyakinkan Sultan Johor supaya membatalkan dan menarik balik surat perjanjian dengan pihak British untuk menubuhkan Malayan Union.
Langkah Jebat ini diketuai Dato Abdul Rahman dibantu enam rakan-rakannya yang lain dan biar pun berdepan dengan kegerunan atas sikap tegas Sultan Johor, satu kejayaan besar telah terlakar.
Antara inisiatif yang dilakukan oleh tujuh orang Muar ini adalah dengan mengumpul sokongan orang awam dan mengedarkan risalah yang menerangkan betapa bahayanya Malayan Union.
Sekiranya Malayan Union benar-benar terbentuk, bukan sahaja kedaulatan sultan di Johor serta negeri-negeri yang lain diragut malah hak kesamarataan akan diberikan kepada orang-orang bukan melayu.
Melalui petisyen itu, tujuh orang Muar berjaya kumpulkan suara orang ramai dan akhirnya mendapat perhatian daripada Sultan Ibrahim, lalu baginda minta wakil daripada tujuh orang Muar ini untuk menghadap.
Setelah sebulat suara, tujuh orang Muar ini bersetuju untuk menghantar Hj. Hassan Yunos menghadap baginda dan tidak dinafikan, perasaan yang cukup gementar menyelubungi dirinya.
Namun demi hajat mahu melakukan apa yang terbaik dengan masa depan bangsa Melayu, Hj. Hassan Yunos ‘meredah’ perasaan itu dan menceritakan kebenaran yang akan berlaku.
Setelah Hj. Hassan Yunos berbicara dengan baginda, beliau akhirnya berjaya mempengaruhi dan memujuk Sultan Ibrahim supaya menarik balik surat perjanjian Malayan Union itu.
Disebabkan sikap berani mereka itu, kesemua sultan yang telah menandatangani surat perjanjian Malayan Union turut mengikut jejak langkah Sultan Johor itu dan menarik balik surat yang telah ditandatangani.
Memang dalam buku teks sejarah di sekolah kita cuma baca, belajar dan hafal rancangan Malayan Union dibatalkan setelah menerima tentangan daripada raja-raja Melayu.
Maka menjadi fardhu kifayah buat Demi Malaiu berkongsi cerita-cerita yang tiada dalam buku teks untuk perkukuhkan jati diri bangsa yang hidup pada zaman moden ini.
Bayangkan jika Sultan Johor tidak memberi ruang kepada tujuh orang Muar ini untuk menerangkan bahaya Malayan Union dan tidak menegur baginda, mungkin nama Malaysia tidak wujud.
Tanpa tujuh orang Muar ini juga, kalau semua orang terutamanya rakyat cuma serahkan nasib bangsanya kepada orang yang ada kuasa sahaja, entah apa lagi yang akan terjadi sehingga hari ini.
Tidak mustahil nasib orang-orang Melayu akan terpinggir seperti yang terjadi di Singapura hari ini, nyanyi lagu kebangsaan dan bahasa rasmi memang bahasa Melayu, tetapi budaya Melayu itu pupus.
Sebab itulah generasi hari ini wajib mengkaji dan mengorek semula sejarah bangsanya untuk kepentingan diri dan masyarakat sekeliling, bukan untuk lulus peperiksaan semata-mata.
Tegurlah anak-anak yang masih bersekolah dan jadilah orang dewasa, orang Melayu yang ada ilmu pengetahuan agar nasib Melayu berbaki 35 tahun lagi terus terbela.
➡️ Sertai Group Telegram Demi Malaiu
AYUH SERTAI SERTAI PROGRAM KAMI. DAPATKAN SIJIL PENYERTAAN & T-SHIRT EKSKLUSIF. DAFTAR SEBELUM 15 MAC 2022. KLIK UNTUK MENDAFTAR!