Isu Semasa

Tuang Air Dalam Pinggan Adalah Seni Pemberitahuan ‘Perut Sudah Kenyang’

Jutaan anak muda hari ini melihat perbuatan tuang air dalam pinggan dan berkata semoga dimurahkan rezeki adalah satu tindakan yang khurafat.

Dakwa anak-anak muda hari ini, rezeki Allah terlalu luas dan perbuatan tuang air dalam pinggan selepas makan tidak boleh dijadikan sandaran.

Namun demikian setelah beberapa kajian dibuat, Unit Penyelidikan Demi Malaiu mendapati perbuatan itu adalah simbol mewakili adab tetamu kepada tuan rumah.

Dalam erti kata lain, keakraban orang Melayu suatu ketika dahulu cukup rapat sehinggakan kita sendiri pun boleh naik segan kerana menghormati layanan tuan rumah.

Maka ketika sesi makan, jika langkah kanan, kebetulan tuan rumah termasak lebih, bukan tuan rumah terpaksa masak gara-gara kita yang datang ke rumah mereka, bagi orang yang bertauhid, mereka akan nampak ia rezeki.

Kena pula makanan sedap dan tuan rumah asyik pelawa tambah nasi sampai kita pun naik kenyang, maka seni orang-orang Melayu terdahulu adalah menuangkan sedikit air ke dalam pinggan.

Tujuan atau isyaratnya, apabila tuan rumah sudah melihat ketika itu, tahulah sang tuan rumah itu bahawa salah seorang tetamu yang bertandang sudah kenyang.

Bukannya macam orang-orang muda Melayu sekarang yang semakin terhakis nilai dan adabnya, jika tidak mahu, terus menolak dan kadang-kala boleh mengguriskan hati tuan rumah.

Dengan cara tadi, kebiasaannya sang tetamu yang bertauhid, kenal Allah, ringan mulut untuk berdoa, “Moga-moga murah rezeki”.

Murah rezeki kepada siapa? Jika ada berkatnya, mungkin diterima sang tuan rumah atau sang tetamu yang berdoa tadi.

Bukan macam budaya ikut-ikutan hari ini, dituangnya air dalam pinggan hampir separuh pinggan, mana orang yang nak angkat pinggan tak naik bengang?

Namun disebabkan perkara ini sudah tiada dalam generasi ibu ayah kelahiran 70-an, 80-an, 90-an dan generasi 2000, memanglah keturunan mereka, yang berkampung di TikTok misalnya jadi ‘cetek budaya’ dan semua nampak asing.

Mereka jadi bangsa manusia yang cuma lihat pada perbuatan tuang air dalam pinggan dengan harapan moga-moga murah rezeki, selepas itu, tiada apa-apa dan terus jatuh khurafat.

Samalah seperti dalam budaya silat ketika mahu mandi tapak sebagai contoh, ahli baharu perlu bawa jarum sebagai syarat dan adat.

Generasi hari ini tahu kenapa jarum? Kenapa bukan keris? Maka sampaikanlah kepada mereka kerana ilmu ini tiada dalam buku teks di sekolah untuk mereka jawab dan lulus peperiksaan lalu bekerja dan berhenti cari ilmu.

Jarum itu sebagai pengganti kepada keris dan jarum guna bersifat sebagai senjata. Maka apabila syarat itu diubah ikut kesesuaian, senanglah tok guru nak simpan jarum banyak-banyak hatta dalam bekas yang kecil.

Bayangkan kalau pada zaman ini ada tok guru nak mahu bakal muridnya tetap bawa keris sebagai penyempurna adat dan syarat, nak suruh ahli keluarga buat sendiri? Ibu dan ayah pun sibuk kerja memanjang.

Nak beli di kedai-kedai tertentu? Lihat harga paling murah RM250 untuk sebilah keris biasa pun dianggap mahal.

Dan bayangkan kalau semua murid pakat bagi keris seorang satu, dekat manalah tok guru itu nak simpan semua keris tersebut dalam ruang rumah moden pada zaman ini.

Maka apabila diganti dengan jarum, kaedahnya lebih aman, molek serta praktikal mengikut zaman dan langsung tiada kena-mengena dengan unsur khurafat.

Berdasarkan petikan soal jawab daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuanhukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]

Bayangkan entah berapa ramai sudah anak-anak muda hari ini taburkan ucapan berbaur fitnah? Adakah kita selama ini salah seorang daripada mereka?

Atau salah seorang yang mahu terus mengorek rahsia adab, adat, budaya, falsafah dan seni kehidupan orang-orang Melayu yang bebas daripada doktrin semasa, luar, sekularisme atau liberalisme?

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button