Amerika Syarikat (AS) mendedahkan hipokrasinya apabila ia membantah keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.
Perkara ini jelas, apabila Israel ditubuhkan pada 15 Mei 1948, AS adalah negara pertama yang mengiktirafnya dengan serta-merta, dan pada 11 Mei 1949, Israel telah diberi keahlian penuh dalam PBB.
Semua ini berlaku dengan mengorbankan rakyat Palestin, mereka diusir, dibunuh dan tanah mereka dirampas!
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menjelaskan, walaupun pihaknya kritis dan ragu-ragu terhadap cadangan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel – Palestin, namun kami terkejut dengan pendirian AS menolak Palestin sebagai ahli penuh PBB.
Soalnya, Bukankah telah jelas bahawa Palestin diterima oleh majoriti besar anggota PBB (143 menyokong) dalam undian Perhimpunan Umum PBB baru-baru ini, persoalannya mengapa AS membantahnya, sedangkan AS telah mencadangkan penyelesaian dua negara?
“Kami mengulangi bahawa punca konflik adalah jelas dan mudah. Ia adalah pendudukan dan penjajahan. Palestin mempunyai hak untuk menuntut semula wilayah mereka yang diambil secara paksa sejak Nakbah 1948.”
Menurut Azmi, walaupun dua negara itu akan jauh dari penyelesaian, pihaknya menegaskan kecaman terhadap hipokrasi AS. Mengapa AS mengundi menentang keanggotaan penuh Palestin dalam PBB dan pada masa yang sama memihak kepada dua negara?
Jelas beliau, realiti sebenar ialah AS tidak akan pernah menerima negara Palestin sepenuhnya. Mengundi menentang keanggotaan Palestin melalui UNGA dan UNSC adalah percanggahan dengan pendiriannya untuk penyelesaian dua negara. Israel telah menentukan pilihannya sendiri, iaitu hanya satu negara. Israel, malah berhasrat memperluaskan wilayah itu ke dalam projek Grand Greater Israel (Israel Raya).
Baca juga>> Herba Melayu Bukan Biasa-Biasa, Sekali Kena Mesti Teringat!
Tidak dinafikan, terdapat rancangan untuk mendapatkan negara-negara menghalang kemasukan Palestin. AS dan Israel sebagai konspirator utama untuk mengatasi majoriti suara negara anggota PBB melalui kuasa veto penentu oleh sekutu Barat iaitu AS, UK, dan Perancis.
“Malaysia secara konsisten menyokong hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan. Ia sangat memihak kepada kenegaraan Palestin,”ujarnya.
Azmi berkata, Kemasukan sesebuah negara ke dalam PBB diundi di UNGA tetapi hanya boleh diiktiraf melalui UNSC. Walaupun UNGA telah mengundi secara besar-besaran agar Palestin diterima, AS boleh memveto terhadapnya dalam UNSC.
Justeru, Kami menuntut PBB untuk mengadakan pembaharuan segera. Kuasa veto adalah kontroversial. Ia tidak pernah menjadi penggalak kestabilan antarabangsa. Fungi kuasa veto untuk menentang dominasi Amerika Syarikat tidak berkesan.
Hakikatnya, veto adalah elemen PBB yang paling tidak demokratik, serta punca utama PBB tidak bertindak terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel kerana AS sering mengguna kuasa veto untuk menghalang tindakan PBB bila menyentuh kepentingan Israel. Pengiktirafan Palestin sebagai negara sah dalam PBB menggugat Israel.