Agama

Tokoh Ulama Melayu Johor, Karya Agung Kitab”Mustika Ajaib”

Siri Tokoh Ulama Melayu Nusantara

Biografi Ulama Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari 

Nama penuh beliau ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Dato’ Sijo Bukit Moh (Shaghir 2004).

Menurut catatan daripada Abd Latif Juffri & Masnorindah (2010) menyatakan nama penuh sebagai Haji Abu Bakar bin Haji Hassan bin Haji Ahmad bin Anggak bin Dato’ Hijau Bukit Mor.

Terdapat beberapa perbezaan di antara dua sumber di atas iaitu pada moyang beliau iaitu Dato’ Sijo Bukit Moh menurut catatan Shaghir (2004) dan Dato’ Hijau Bukit Mor menurut catatan Abd Latif Juffri & Masnorindah (2010).

Beliau telah dilahirkan di Muar Bandar Maharani, Johor Darul Ta’zim pada tahun 1875M bersamaan tahun 1292H (Shaghir 2004).

Adapun menurut catatan Abd Latif Juffri & Masnorindah (2010), Tuan Guru Haji Abu Bakar dilahirkan pada tahun 1877M bersamaan 1294H manakala bapa beliau iaitu Haji Hassan bin Haji Ahmad pula merupakan ahli keluarga dan waris terdekat kepada penghulu-penghulu Padang terutamanya di Parit Bakar.

Dalam membicarakan soal riwayat hidup beliau, seperti yang telah dinyatakan di atas, terdapat dua sumber utama yang dijadikan rujukan iaitu sebuah artikel yang berjudul Abu Bakar Muar – Benteng Pertahanan Kaum Tua oleh Shaghir (2004) dan yang terbaru sebuah buku yang berjudul 40 Tokoh Ulama Johor oleh Abd Latif Juffri & Masnorindah (2010).

Sungguhpun begitu, apabila diteliti terdapat dua versi tentang garis masa kehidupan tokoh yang dikaji ini.

Guru Beliau

Semua ulama yang disebut dalam kisah Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Latif Melaka juga merupakan guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Bagi ulama dari Lingga, Riau, beliau mempelajari Hadis Bukhari. Pada masa itu juga, beliau belajarImlu Qiraat dan mendapat ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua Qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu.

Beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama, gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya,

iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

Karya Agung Kitab “Mustika ‘Ajaib”

Judul penuh kitab ini ialah “Mustika Ajaib Pada Menyatakan Hukum dan Kelebihan Membawa Mawlidin Nabi Kita S.A.W.” Kitab ini membicarakan tentang jawapan-jawapan terhadap persoalan berkenaan menyambut mawlid Nabi Muhammad S.A.W

Pada bulan Rabi’ul Awwal dengan pembacaan kisah-kisah mawlid. Kitab ini telah siap dikarang pada 9 Safar tahun 1350H bersamaan 28 Jun 1931M.

Sungguhpun kitab ini ringkas, namun kandungannya padat dan tepat untuk menjelaskan hukum dan kelebihan amalan tersebut yang bersumberkan kitab-kitab muktabar seperti Husnul Maqsid fi Amalil Mawlid karangan Imam as-Suyuthi, I’anatuth Thalibin karangan Syeikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dan as-Sirah an-Nabawiyyah karangan Syeikh Ahmad Zaini Dahlan.

Antara penerangan beliau tentang isu mawlid ini sebagaimana yang ditulis dalam halaman kedua kitab tersebut:

“Bid’ah hasanah (yang kebajikan) yang diberi pahala akan orang yang memperbuat yang demikian kerana membesar dan menghormatkan Nabi kita SAW  dan menzahirkan kesukaan dengan diperanak akan dia SAW.” (Abu Bakar 2004)

Sumbangan

Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja.

Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan.

Mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan’ (Bandar Maharani Muar, Mac 1925, dicetak oleh Mathba’ah al-Khairiyah Muar 1925).

Abu Bakar al-Muari adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.

Para Penuntut Ilmu

Beliau dikenali sebagai ‘Haji Abu Bakar Alim’ kerana murid-muridnya ramai, bukan sahaja murid madrasah, tetapi juga murid-murid belajar kitab di masjid, surau, dan rumahnya.

Antara tokoh yang berpendidikan Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah ialah sepupunya yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Selepas Mohammed Nuh dididik di madrasah, Abu Bakar menghantarnya belajar di Timur Tengah.

Mohamed Noah ialah bapa mertua kepada Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia ke-2).

Seorang lagi murid Abu Bakar ialah Ustaz Muhammad Yassin. Dialah yang meneruskan perjuangan pendidikan madrasah yang dimulakan oleh gurunya.

Muhammad Yassin ialah bapa kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia Terdahulu).

Seorang lagi murid Abu Bakar ialah Datuk Haji Noor.Di antara anak beliau ialah Datuk Haji Juma’at, bekas Setiausaha Agung Majlis Bahasa dan Pustaka (kini Bendahari Persatuan Sejarah Malaysia).

Menurut keterangan Muhammad, anak kepada Abu Bakar Muar, dua individu di atas menghargai dan mengenang jasa ibu bapa mereka (Abu Bakar).

Sebagai seorang ulama tradisional yang mendapat pendidikan di Mekah pada akhir abad ke-19 dan wafat pada awal abad ke-20, Tuan Guru Haji Abu Bakar al-Muari sememangnya merupakan “benteng pertahanan Kaum Tua” sebagaimana yang diungkapkan oleh Shaghir (2004).

Peranan beliau, memperjuangkan pendekatan konservatif dan tradisional terhadap dakwah, merasa terdorong untuk menghadapi gelombang pendekatan baru untuk dakwah yang melanda golongan muda.

Dalam perjalanan hidupnya, kita dapati beliau seorang yang tegas dan teliti, memaklumkan masyarakat melalui karyanya menjawab pelbagai persoalan yang timbul ketika itu.Ini sesuai dengan gelaran “Haji Abu Bakar Alim”.

Mohamed Noah pernah berkata, “Jika saya tidak dibesarkan oleh sepupu saya Abu Bakar, saya tidak akan dapat pergi ke Timur Tengah. Mungkin saya hidup dalam kejahilan dan tidak tahu hukum Islam..”

Ikuti Kami Di Facebook Ini

[wpdevart_like_box profile_id=”100089655426148″ stream=”hide” connections=”show” width=”330″ height=”100″ header=”small” cover_photo=”show” locale=”en_US”]

Juga Sertai Whatsapp Sejarah Nusantara

MISI CAPAI 100,000 LIKE 

Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!

untuk lebih banyak bacaan sila lawati lamanweb demimalaiu.com

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker