Isu Semasa

TMJ Cadang Tiga Langkah Penting Untuk Pastikan Kes Adik Bella Tidak Berulang!

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan tiga langkah penting yang perlu dilakukan bagi memastikan kes penderaan seperti yang berlaku ke atas adik Bella tidak berulang.

Ia melibatkan pindaan undang-undang, penguatkuasaan serta kajian segera ke atas syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor dan berikut adalah huraian terperinci mengenai:

1. Pindaan Perundangan:

Penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera. Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

2. Penguatkuasaan:

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta. Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha/pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram.

3. Kajian segera

Kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain. Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

Tunku Ismail berkata demikian menerusi Facebook rasminya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex serta Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail di Royal Johor Polo Club.

Baginda juga menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button