Sejarah

Tiga Jenis Ilmu Besi Yang Dikuasai Melayu, Hasilnya Sangat Luar Biasa!

“Hei, kersani mengalirlah dikau.. Menjadi raksa mengisi belikat punggungku.. Agar aku bisa berdiri, tegap dan segak bagaikan Laksamana Melayu.. Hak..!!”

Inilah antara bait-bait kata yang dijalin indah menjadi lirik bagi lagu Mentera Semerah Padi, nyanyian Datuk M. Nasir dan sehingga ke hari ini, ia tetap malar segar.

Namun di sebalik lirik itu terdapat satu perkataan yang cukup unik untuk diberi perhatian iaitu pada perkataan ‘kersani’ yang diseru ‘menjadi raksa’ bagi ‘mengisi belikat punggung’.

Menurut Dewan Bahasa & Pustaka, kersani merujuk kepada besi yang baik mutunya, merupakan besi asli yang paling kuat serta berasal dari Khurasan di Parsi.

Besi ini pula sifatnya boleh mencair semasa berkeadaan sangat panas dan boleh mengeras apabila berada dalam kondisi yang dingin dan tenang.

Maka tidak hairanlah mengapa besi kersani diseru menjadi raksa untuk mengisi belikat punggung untuk tujuan mengkukuhkan diri dalam pelbagai keadaan.

Selain itu, berikut adalah jenis-jenis besi yang ada di dunia dan orang-orang Melayu cukup arif memanfaatkannya dalam kehidupan seharian.

BESI KURSANI

Selain penerangan di atas, besi kersani dikatakan bukan sahaja ditarik dari kerak bumi malah turut dikenali dengan nama kursani, qursani, kharsani, khurasani dan khursani.

Mengikut cerita lisan, terdapat segelintir orang-orang terdahulu tersebut sering memohon kepada Allah SWT untuk meminjamkan kekuatan besi kersani kepada diri mereka.

Bagi individu lain pula, besi kersani dianggap sedia hadir dalam tubuh manusia dan bagi yang menyedari, ada kaedah tertentu yang boleh digunakan untuk membangkitkan semangat besi kersani.

Kononnya, ia menjadi sumber kekuatan batin dalam tubuh pengamal ilmu besi kersani dan berharap semangat besi tersebut diharapkan dapat mengalir dalam jiwa pendekar bagi memberikannya kesaktian yang luar biasa.

Proses mewujudkan besi dalam dirinya bermula dengan pengamal membayangkan kekuatan yang mengalir dalam urat-urat saraf.

Lazimnya berpusat dari bahagian tapak tangan, besi kersani tersebut akan bertindak semacam cecair dan menjalar ke seluruh tubuh.

Kononnya, pendekar yang berkemahiran tinggi dalam ilmu tersebut dan mempunyai keupayaan membuat diri mereka kebal dan kelis senjata.

Guru-guru terdahulu dikatakan teramat memilih dalam menurunkan ilmu besi tersebut dan tidak menghairanlah, ilmu tersebut menjadi idaman sebahagian orang Melayu.

Dalam rangka kepercayaan para pengamal, kebangkitan besi kersani dalam tubuh ditandai dengan bunyi yang berdesing di telinga.

BESI KUNING

Besi kuning dipercayai berasal dari sarang lebah yang biasanya berada di atas gunung dan berbentuk seperti kepompong kecil yang memiliki lubang sebesar jarum.

Ada juga yang mengatakan besi kuning berasal daripada campuran tujuh jenis sumber alam yang ‘beraura’ seperti emas, perak, tembaga, timah, nikel dan lain-lain.

Berdasarkan cerita turun-temurun, dalam pembuatan keris Taming Sari juga telah dimasukkan besi kuning ini selain daripada campuran besi-besi lain.

Terdapat juga mitos popular yang bersangkut-paut dengan alam mistik kononnya pemilik besi kuning dikatakan kebal daripada sebarang serangan.

BESI KERIS

Keris merupakan senjata pendek yang digunakan oleh orang Melayu terutamanya pendekar, pahlawan serta kalangan pembesar istana sejak zaman keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu, lebih daripada 800 tahun yang lampau.

Keris merupakan satu alat kebesaran bagi raja-raja atau lambang kekuasaan atau kedaulatan. Keris mempunyai dua belah mata, melebar dipangkal dan tirus dihujungnya serta tajam.

Terdapat mata keris yang lurus dan berlok-lok dengan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya.

Sang Guna adalah orang pertama di zaman Sultan Muhammad Syah Melaka telah membuat keris tempa panjang, berukuran tiga jengkal.

Unsur logam campuran besi dan tahi bintang adalah bahan utama membuat keris tersebut.Raja Islam pertama di Brunei, iaitu Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Syah, dikatakan pernah ke gunung Kinabalu untuk menumbangkan seekor seladang bertanduk emas yang selama ini merosakkan tanaman halianya.

Semasa memburu seladang itu, tanpa disedari pemburuan tersebut membawa baginda ke gunung Kinabalu. Baginda telah menemui besi tahi bintang.

Besi itu ditempa menjadi dua bilah pedang yang panjang dan berwarna hitam. Menurut cerita, semasa Awang Alak Betatar menguasai kerajaan Barunah, bersama-sama baginda tersisip sebilah pedang di pinggang baginda sebagai senjata dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah Azza wa jalla.

Sebilah pedang lagi baginda titipkan kepada anakanda baginda Sultan Awang Koyoh.

Kredit : Ustaz Md Rosdi Hasan

➡️ KLIK SINI: Sertai Group Whatsapp Demi Malaiu

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Sertai Komuniti Demi Malaiu
Kongsi cerita anda dengan kami dan dapatkan kemaskini semua kandungan dari semua platform media sosial Demi Malaiu