Sejarah

Tidak Perlu Bertubuh Sasa Untuk Ceburi Sukan Berkuda, Sesiapa Pun Asalkan Yakin!

KUALA TERENGGANU: Sukan memanah berkuda tidak menekankan aspek ketahanan fizikal, sebaliknya ia menuntut tumpuan fikiran yang tinggi dan keupayaan mengekalkan keseimbangan badan ketika menunggang kuda.

Bekas juara Kejohanan Memanah Berkuda Sedunia di Korea, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin, 50, berkata kedua-dua elemen itu perlu disatukan sebelum menceburi sukan berkenaan.

“Selalunya kuda dikawal oleh kaki atau pergerakan badan sahaja kerana kita perlu melepaskan tali pegangan kuda itu untuk memanah. Justeru, adalah sangat penting untuk memastikan keseimbangan badan. Kita kena ada kawalan penuh pergerakan kita.

“Sukan ini memerlukan ketenangan dan kawalan fikiran yang kuat. Apabila kita tenang, mudah untuk kita mengagak pergerakan kuda dan menetapkan detik yang tepat sebelum melepaskan anak panah,” katanya.

Mengulas pengalamannya sepanjang terbabit dalam sukan memanah berkuda, Zaharudin berkata, beliau pernah terjatuh daripada kuda ditunggangnya selepas haiwan itu terkejut sebaik beliau tertendang haiwan itu berikutan asyik memberi tumpuan sebelum melepaskan anak panah.

Selepas menyertai kejohanan memanah berkuda sedunia pada tahun 2009, Zaharudin aktif dalam sukan memanah berkuda dan mula menyertai beberapa kejohanan dunia. Pada 2010, beliau memperoleh pingat perak dan gangsa, manakala pada tahun 2011 memenangi tempat ketiga kejohanan sama di Korea.

Pencapaian paling tinggi beliau setakat ini ialah pada Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa Yabusame, yang julung kali diadakan di luar Jepun iaitu di Australia. Pada kejohanan itu, Zaharudin menduduki tempat pertama dan dua lagi rakan sepasukan, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

“Itu pencapaian paling manis buat saya selepas kemenangan pertama pada 2009 kerana walaupun masih baru dalam sukan memanah berkuda, Malaysia mempamer persembahan terbaik sekali gus menyapu bersih semua kedudukan,” katanya yang berada di Terengganu Equestrian Resort (TER) setiap Sabtu hingga Rabu untuk melatih anak negeri itu yang meminati sukan berkenaan.

Berbekalkan pengalaman dan kemahiran dimiliki, Zaharudin kini menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih sukan memanah berkuda di Terengganu Equestrian Resort.

Mengakui peluang dan amanah yang diberikan kepadanya untuk melatih dan melahirkan atlet memanah berkuda di negeri ini, Zaharudin yang lebih dikenali sebagai Pak Din tahu tugas itu bukan mudah.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker