Isu Semasa

Tidak Mahu Contohi Singapura dan Indonesia, Dong Zong Gesa UEC Diiktiraf!

Seperti yang dijangka, apabila Pakatan Harapan (PH) menguasai Kerajaan, pasti akan ada individu yang berani bersuara dan menegakkan agenda mereka yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun bagi orang-orang Melayu yang bersama PH, tidak salah untuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Seorang pekerja swasta, Muhaimin Zakaria, 47, berpendapat, Dong Zong hanya menuntut hak mereka dan orang-orang Melayu tak perlu risau kerana UEC mampu membuatkan universiti tempatan lebih majmuk.

“Bukankah kita mahu bina Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni? Maka gesaan Dong Zong perlu diberi perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kaca mata PH.

Tiada Pengiktirafan Seperti UEC Di Indonesia Mahu Pun Singapura

“Jangan pandang pada Indonesia mahu pun Singapura. Sistem pendidikan negara mereka kejam. Sanggup naturalisasikan kaum di luar warganegara asal untuk jadi warga Indonesia dan Singapura sepenuhnya,” ujarnya.

Bagi Muhaimin, suka atau tidak, gesaan UEC itu pertimbangkanlah kerana lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) menjadi Kerajaan sekali pun, sekolah jenis kebangsaan (SJK) boleh beroperasi tanpa masalah.

“Gesaan ini bukan perkara baharu dan penentangan daripada orang-orang Melayu juga bukan baharu. Saya cuma harap dengan Kerajaan baharu, apa-apa yang tertunggak selama ini mampu dilaksanakan,” katanya.

Muhaimin berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai hasrat Dong Zong yang mahu bertemu Menteri Pendidikan untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC Sekolah Menengah Cina bebas.

Dong Zong Rakus Dan Pandai Ambil Peluang

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang, Aminuddin Yahaya mengakui dalam hal ini, Dong Zong memang pandai dan rakus mengambil peluang.

“Ini kerana mereka tahu antara kesemua janji manifesto PH, inilah yang paling susah untuk ditunaikan dan mereka inginkan jaminan itu secepat mungkin.

“Lebih-lebih lagi momentum penerimaan rakyat terhadap pembentukan kerajaan baharu ini adalah bersangka baik iaitu “kita berilah peluang dulu”.

“Dong Zong mungkin sangka rakyat tidak akan bangkit menentang agenda UEC dan peruntukan sekolah persendirian mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan media, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan.

Antaranya, ia termasuk menggesa kepimpinan Anwar selaku pengerusi PH mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina Persendirian secepat mungkin.

Kerana Malaysia Tercinta, Pemimpin BN Sedia Terima Manifesto Dong Zong?

Dalam pada itu, Aminuddin mendakwa kepimpinan BN menerima tuntutan Dong Zong itu seperti mana yang termaktub dalam manifesto mereka sejak zaman Datuk Seri Najib Razak lagi.

“Lebih parah lagi, ada ahli Majlis Tertinggi UMNO mendedahkan wujud suara-suara pimpinan tertinggi sudah berani berkata tidak mahu ‘jaga orang Melayu lagi’ selepas kecewa dengan penolakan orang Melayu terhadap UMNO.

“Setakat setuju terima UEC ini, apalah sangat, malah parti-parti komponen lain terutamanya MCA dalam BN memang penyokong tegar UEC,” dakwanya.

Tambahan pula, pendokong tegar UEC dalam PH, iaitu DAP adalah parti yang mempunyai kerusi parlimen terbanyak dan pastinya Anwar akan tunduk jika mereka bersuara.

King maker dari Sarawak iaitu GPS juga pendokong UEC. Sarawak pimpinan GPS juga telah mengiktiraf UEC di peringkat negeri.

“Maka, kerajaan campuran ‘PH plus’ zaman Anwar (PRU15) jauh lebih ‘totok’ menyokong UEC berbanding dahulu (PRU14). Saya merasakan memang janji dan agenda mengiktiraf UEC kali ini jauh lebih serius.

“Jadi, arus menolak UEC kali ini mesti lebih besar dan lebih keras,” katanya lagi dalam kenyataan yang disebarkan luas kepada semua media tempatan.

Baca Juga > 11 Cadangan Yang Diluluskan Dan Diterima Dong Zong Di Luar Akal Orang Melayu

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker