Diberi gelaran ‘Penakluk Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh (Sultan Mehmed II) bukanlah satu nama asing ketika zaman Empayar Uthmaniyyah. Kejayaannya menakluk Konstantinopel menjadi satu sejarah yang signifikan buat umat Islam.
Nama sebenar baginda ialah Muhammad bin Murad Bin Muhammad bin Bayazid. Lahir pada 29 Mac 1432 (833H) di Adrianapolis, sebuah kawasan sempadan Turki dan Bulgaria. Baginda menjadi Sultan seawal umur 19 bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Murad II.
Mengapakah ramai di antara para pemimpin Islam mahu menakluki kota Konstantinopel ini?
Nabi Muhammad SAW bersabda; “Sesungguhnya Konstantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut.” (H.R Ahmad Hadith no 18957)
Oleh sebab itu, para sahabat dan pemimpin umat Islam seterusnya berusaha bermati-matian untuk membebaskan Konstantinopel demi mendapat penghormatan yang utama seperti dalam sabda Rasulullah SAW.
Dikatakan lebih kurang 29 kempen dilakukan untuk menakluk kota tersebut namun gagal; 8 daripadanya adalah kempen yang besar. Antaranya adalah kempen ketika zaman Kerajaan Abbasiyah dan Kerajaan Umayyah.
Impian itu juga dipegang oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Sejak kecil lagi, baginda sudah meninjau dan mengkaji cara untuk menawan kota tersebut. Setelah menaiki takhta, baginda menyelidiki dengan terperinci tentang sudut kelemahan Konstantinopel serta tentang kegagalan kempen-kempen pemimpin Islam sebelumnya.
Persiapan besar telah dibuat. Seramai 256,000 orang mujahidin dikerahkan, sebanyak 400 buah kapal laut, serta peralatan perang moden seperti meriam gergasi digunakan bagi kempen ini.
Baginda mengetuai angkatan tenteranya dan juga membawa para ulama untuk membakar semangat jihad pada para tentera. Apabila mereka tiba berhampiran dinding kubu Kota Konstantinopel, azan dilaungkan dan mereka semua solat berjemaah mengikut arahan baginda.
Baca juga>> Generasi Masa Hadapan Bakal Hancur Kerana Pemimpin Kini Gagal
Melihat keadaan itu, tentera Byzantine ketakutan mendengar laungan takbir seramai 256,000 orang manusia. Pada April 1453, terjadilah peristiwa bersejarah yang masih disebut hingga ke hari ini. Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel berjaya ditawan.
Penglibatan orang Melayu dalam kempen penaklukan Kota Konstantinopel
Bagaimanakah orang Melayu boleh mempunyai hubungan erat dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah?
Kedatangan awal Islam di Tanah Melayu dikatakan pada abad ke-7 Masihi dan perkembangan Islam di sini berkait rapat dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Tanah Melayu waktu itu di bawah pemerintahan khalifah atau empayar Islam yang menguasai sebahagian besar dunia dahulu.
Hubungan tersebut berlangsung sehingga ke zaman Islam Turki Uthmaniyah. Kedatangan pedagang Islam di utara Tanah Melayu dan ketika Raja Pasai masuk Islam pada 1282 Masihi membuktikan lagi Tanah Melayu dan Kerajaan Turki Uthmaniyah berhubung rapat.
Pelbagai teori yang timbul yang mengatakan orang-orang Melayu juga turut sama berjihad dalam kempen Sultan Muhammad Al-Fateh untuk menawan Konstantinopel. Telah dikatakan baginda mengeluarkan seruan jihad kepada orang-orang Islam di serata dunia termasuk di Alam Melayu. Juga dikatakan baginda telah menghantar surat kepada Kesultanan Melaka pada waktu itu untuk meminta bantuan terutama dari Laksamana Hang Tuah kerana banyak mendengar kisah tentangnya.
Menyambut seruan jihad tersebut, Kesultanan Melaka dan Kesultanan Acheh telah menghantar ribuan para mujahidin dari kalangan orang Melayu untuk membantu tentera Sultan Muhammad Al-Fateh.
Kenyataan ini dikuatkan dengan bukti melalui sebuah gambar lukisan tentera-tentera Sultan Muhammad Al-Fateh dalam peperangan menawan Konstantinopel.
Seorang tentera yang seperti memakai tanjak turut sama di dalam angkatan tentera bantuan dari seluruh pelusuk dunia Islam. Malah, ada yang mengatakan orang-orang Turki sendiri mengaku kesahihannya.
Namun terdapat juga tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan menyatakan itu bukanlah tanjak tapi sebaliknya adalah ‘bork’, sebuah topi khas yang dipakai oleh tentera elit Janissari ketika Kesultanan Uthamniyyah.
Walaupun masih belum ada bukti kukuh tentang orang Melayu turut serta bersama berjihad namun itu bukanlah suatu perkara yang mustahil kerana di dalam Hikayat Hang Tuah, Kesultanan Melaka juga pernah berhubung dengan Turki (Rum) untuk membeli meriam. Tentunya hubungan dua empayar ini erat ditambah lagi Melaka merupakan pelabuhan yang sibuk dan penuh dengan pedagang serta para pendakwah Islam termasuk dari Turki. Tidak mustahil orang Melayu turut menyahut seruan jihad yang melakar sejarah buat umat Islam hingga hari ini.