Setelah kecoh satu Malaysia tentang keadaan semasa Hutan Simpan Chini yang agak menyedihkan, nasib dua lombong yang masih beroperasi akhirnya terjawab.
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan semua aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan selepas baginda mengadakan lawatan mengejut.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan baharu sejak 2019.
“Baginda selanjutnya menitahkan kerajaan negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam bidang kuasa masing-masing dapat mengambil beberapa langkah.
“Tasik Chini merupakan permata alam sekitar di bumi negeri Pahang Darul Makmur dan merupakan Tanah Rizab Bisfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.
“Justeru pengiktirafan bertaraf dunia itu hendaklah dipertahankan.
Baca juga Anak Muda Liberal Tanya Dalil Wajib Pakai Tudung, Ini Jawapan Padu Azam Azhary!
Tambahnya lagi, baginda juga meneliti laporan dipersembahkan oleh Menteri Besar YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan di kawasan terbabit serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.
Susulan itu, baginda menyeru semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus takbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Malah, baginda juga akan sentiasa memantau usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri untuk memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga.
“Oleh itu, kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.”
“Selain itu meluaskan lagi kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4,600 hektar kepada kira-kira 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitarnya.”