Tahun 2023 menyaksikan genaplah usia 100 tahun kejatuhan Empayar Uthmaniyah (1299 – 1923) selepas Mustafa Kemal Atatürk menghapuskan nama kerajaan Uthmaniyah dan diganti dengan Republik Turki.
Sekiranya mahu mendapatkan semula kekuatan Islam itu di pelbagai aspek merangkumi kemanusiaan, pentadbiran, ekonomi dan sebagainya, penghayatan ilmu tasawwuf perlu dikembalikan.
Apa Itu Tasawwuf?
Dari sudut bahasa, para ulama mempunyai pelbagai pandangan tentang definisi tasawwuf dari sudut istilah kerana Syeikh Ahmad Zarruq berkata, istilah tasawwuf telah dihuraikan dengan dua ribu definisi.
Ini kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah SWT dapat dicapai dengan pelbagai kaedah. (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, m. 2).
Walaupun begitu, semua definisi menjurus kepada pengertian yang sama iaitu ilmu penyucian jiwa.
Ibn ‘Ajibah menyatakan: “Ia adalah ilmu yang diketahui dengannya jalan untuk mencapai kesempurnaan batin ke hadrat Raja bagi segala Raja, menyucikan batin dari segala kekejian, mengisikannya dengan pelbagai kelebihan. Awalnya adalah ilmu, pertengahannya adalah amal, akhirnya adalah kurniaan Allah SWT” (Lihat Ma’arij al-Tashawwuf ila Haqa’iq al-Tasawwuf, m. 4)
Syeikh Ahmad Zarruq mendefinisikan tasawwuf sebagai: “Ilmu yang bertujuan untuk membaiki hati dan memfokuskannya hanya untuk Allah semata-mata. Fiqh adalah ilmu yang bertujuan memperbaiki amal, memelihara aturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum. Sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu perubatan untuk memelihara adan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, m. 6)
Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mendefinisikan tasawuf adalah: “Suatu yang dengannya diketahui hal ehwal kebaikan dan keburukan jiwa, cara membersihkannya daripada yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat terpuji, cara melaksanakan suluk dan perjalanan menuju keredhaan Allah dan meninggalkan larangannya.” (Lihat Tanwir al-Qulub fi Mu’amalah ‘Alam al-Ghuyub, m. 406)
Apa Kaitan Tauhid Dan Sufi?
Tauhid merupakan konsep monoteisme Islam yang mempercayai bahawa Tuhan itu hanya satu manakala sufi merujuk kepada orang yang tulus terhadap Tuhan dan mendapat rahmat tulus dari Tuhan.
Maka apabila bercakap tentang tauhid sufi, ia adalah tentang ‘rasa’ bagaimana orang-orang sufi mengenal Allah menerusi ilmu tasawwuf setelah mencapai maqam ihsan.
Bagi Syeikh Walid Ibrahim Al Malik, tauhid sufi atau tasawwuf adalah roh pada syariat. Ia boleh diibarat tubuh dan anggota yang sempurna adalah syariat, manakala tauhid sufi atau wasawwuf adalah roh.
Serangan Berpanjangan Hapuskan Tasawwuf
Namun demikian, tasawwuf hari ini diserang segenap penjuru, bukan sahaja dalam kalangan orientalis Barat tetapi disambung fitnah tersebut oleh mereka yang bergelar ulama.
Tasawwuf juga diserang secara dalam dari golongan yang menyarung pakaian sufi atau tasawwuf tetapi hakikatnya membawa ajaran batiniah, sufi falsafah @ akal, sufi wahdatul wujud yang batil, sufi pertapaan, sufi melampau dalam kezuhudan, sufi yang tertipu alam rohani.
“Tauhid Sufi @ Tasawwuf adalah ajaran mempertajamkan Tauhid pada Qalbu hingga bergerak dalam setiap saraf dan sendi, beradab syariat serta beradab dalam bermasyarakat dan bernegara.
“Tauhid Sufi bukan sekadar berkalam pada akal yang pintar dan fasih berfalsafah, tetapi Tauhid yang menggentarkan hati, menghancurkan mazmumah dan keakuan diri.
“Tauhid Sufi adalah Tauhid yang bukan hanya dibahas dengan pelbagai perbahasan tetapi tauhid yang menggentarkan musuh, Tauhid yang terbangun kekuatan dan tersebar wilayah Islam ke seluruh alam,” tegasnya.
Jelas Syeikh Walid Ibrahim Al Malik, bangsa Melayu senusantara adalah bangsa yang hebat, jiwa penuh kasih sayang, pemaaf dan toleransi namun miliki keberanian yang tinggi ,bila mengamuk bagaikan tsunami.
Bangsa terpasak tasawwuf nan murni, bagaikan berada dalam sarung yang sejati, memancar budi dan sakti, pedang terhunus rapi, adat dan budaya terpelihara murni, lantaran makrifat yang kembali bersaksi.
“Apabila setiap jiwa bangsa diperkasa dengan Makrifat, maka menggeletar jiwa Sang Raja, Pemimpin, Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, para Hakim, para tentera, Polis dan para Pendidik agar benar menggenggam amanah yang diamanahkan.
“Golongan kaya akan penuh cinta dan pemurah, si miskin pula tenang, penuh keredhaan dan kesabaran.
Para pemuda pemudi tiada mudah digoyah walaupun di landa ombak pelbagai budaya kedurjanaan, yang baik dijadikan tauladan, yang buruk tetap jadi sempadan,” katanya.
Baca Juga > “Jangan Ajar Tasawwuf, Biar Mereka Belajar Agama Hanya Untuk Peperiksaan,” – Tangan Hitam
Tasawwuf bukan menjadikan umat ini kaku dengan tasbih dan makrifat, tenggelam dalam dunia keasyikan sendiri, menjadikan dunia musuh yang dijauhi.
Tasawwuf sejati menjadikan tasbih dan makrifatnya menguasai dunia, menerajui perubahan yang batil kepada yang haq, menukar kebencian dan permusuhan menjadi cinta dan perdamaian.
“Bangsa, masyarakat pelbagai kaum dan negara pasti akan menikmati keharuman, kekuatan dan keindahan sebuah peradaban yang berpasak tasawwuf.
“2023, kita genggam bersama, bergerak dalam langkah yang tersusun dalam posisi dan wajah pelbagai, membina Peradaban Bangsa dan Negara berpasak Tauhid Sufi @ Tasawwuf, berpayung Syariah, bersulam adat dan budaya,” katanya.
Syeikh Walid Ibrahim Al Malik turut berdoa semoga segala perancangan musuh akan terhenti dan lunyai dalam gunung makrifat yang dipasak.
“Semoga segala bencana dan musibah yang mendatangi dunia dan negara, disambut dengan penuh ketenangan, kesabaran dan kebersamaan, saling menjaga bagaikan satu anggota, setiap kesakitan dan kebahagiaan akan dirasai bersama,” ujarnya dalam sebuah perutusan.
Firman الله :
“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”. (Ali-Imran : 159)
Kredit: Walid Ibrahim Al Malik (01.01.2023)
Like FB Page Demi Malaiu!
Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu.
Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!