Agama

Tarekat dan Jati Diri Pahlawan Melayu

Mat Kilau merupakan antara pahlawan Melayu yang sangat berkesan dalam perjuangannya membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British.

Perancangan, gerak kerja dan keyakinan beliau terhadap pegangan ilmu tasawufnya dapat dilihat jelas sepertimana dipamerkan dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Ramai yang masih belum menyedari bahawa filem Mat Kilau sebenarnya banyak mengandungi mesej perkaitan rapat antara ilmu tasawuf, tarekat dan perjuangan bangsa Melayu.

Hakikatnya, untuk mendalami ilmu tasawuf perlulah mendalami ilmu tarekat terlebih dahulu.

Catatan sejarah mempamerkan pejuang-pejuang pembebasan Tanah Melayu antaranya Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kelubi diketahui mengamalkan ilmu tarekat sebagai asas beragama dan bagi menguatkan perjuangan mereka.

Apabila merasakan kehidupan beragama tercabar, ilmu tarekatlah yang menjadi pengikat membentuk kesatuan ummah dan jihad dan menyuntik semangat keberanian dan semangat rela berkorban demi agama, bangsa dan tanah air.

Apa itu tarekat?

Tarekat boleh difahami sebagai “jalan” dan lazimnya membawa erti suatu perjalanan menuju Allah SWT dengan matlamat mendapatkan keredhaan-Nya dengan cara mentaati semua ajaran-Nya sepertimana yang diamal dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi’in.

Dengan erti kata lain, tarekat merupakan perjalanan rohani seseorang hamba untuk sampai kepada reda Allah SWT, manakala tasawuf itu merupakan natijah atau hasil daripada pengamalan tarekat.

Jati Diri Pejuang Dahulu

Tarekat banyak memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri pahlawan Melayu.

Mereka mengawal nafsu keduniaan mereka, membuang cita-cita yang sia-sia malah mendedikasi seluruh hidup mereka demi perjuangan merealisasi pembebasan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan anasir luar.

Perjuangan mereka adalah perjuangan demi mendapatkan keamanan, kebebasan dan meraih keredhaan Allah, mardhatillah.

Jati Diri Pejuang Sekarang

Bagaimana pula dengan jati diri pejuang dan pemimpin bangsa Melayu sekarang?

Realitinya, sukar untuk kita melihat ciri-ciri yang ada pada pejuang Melayu terdahulu dalam karakter pejuang masakini.

Mereka lebih dilihat berjuang untuk pangkat, harta dan kedudukan melebihi perjuangan hakiki yang diwarisi oleh para pejuang terdahulu.

Sedangkan perjuangan terdahulu adalah bermatlamat membebaskan Tanah Melayu daripada sebarang penindasan dan penjajahan ke atas bangsa Melayu dan agama Islam sendiri supaya keamanan wujud di Tanah Melayu.

Ini selari dengan perjuangan Nabi Muhammmad SAW.

yang diutus ke dunia sebagai rahmat bagi sekelian alam (rahmatun lil alamin).

Islam Adalah Rahmatun Lil Alamin

Perjuangan Baginda SAW sesuai dengan perintah Allah SWT agar Islam menjadi agama anutan sekelian makhluk dan keamanan tercapai di muka bumi.

Legasi yang ditinggalkan Baginda SAW telah diteruskan oleh para pejuang Melayu sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, orang Melayu memerintah negaranya sendiri dan Islam menjadi agama anutan negara.

Keamanan yang tercapai pada hari ini adalah berkat jihad yang diusahakan oleh para pejuang terdahulu sesuai dengan sunnah Baginda SAW.

Oleh yang demikian, generasi sekarang perlu menghargai sumbangan mereka yang terdahulu terhadap agama, bangsa dan tanahair kita.

Generasi sekarang perlu menyambung legasi tinggalan para pejuang tanahair terdahulu.

Janganlah kerana sudah mengecapi nikmat kemerdekaan dan keamanan maka generasi sekarang terutamanya pemimpin terus alpa sehingga lupa dengan perjuangan pemimpin terdahulu.

Carilah satu jalan (tarekat) yang benar dengan guru yang mursyid demi menyemai jatidiri sebagai pejuang Melayu Islam yang mahu berjuang demi negara dan mencapai keredhaan Allah.

Baca juga: Tarekat Adalah Jalan Tarbiah Diri, Bersihkan Jiwa & Didik Rohani Dekati Allah SWT

Tonton: Benarkah tarekat rahsia terkuat pemimpin Melayu silam?

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker