Tarekat adalah suatu perkataan yang memberi konotasi jalan, laluan, manhaj, metodologi dan apa-apa perkara yang berkaitan selagi mempunyai pengertian serupa.
Apabila bercakap tentang tarekat dan alam Melayu, jelas ia suatu perkara yang sudah biasa dibicarakan orang-orang terdahulu selain para ulama juga sentiasa memberi penerangan mengenainya.
Cuma pada zaman ini, Pensyarah Pengajian Umum Dan Pengajian Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Abdul Manam Mohamad berkata, tarekat kedengaran asing bagi segelintir individu.
Namun jika difahami, tarekat adalah satu kaedah yang cukup penting buat umat manusia dalam mentarbiah diri, membersihkan hati dan mencari Allah SWT di dalam rohani.
Tarekat atau jalan untuk mendapatkan perkara-perkara yang dinyatakan terbahagi kepada dua iaitu pengamalan untuk mendapatkan nikmat secara zahir dan juga batin.
“Bagi aspek zahir, ia merangkumi kaedah untuk memahami hukum agama, adab, amalan khusus dan sebagainya yang diamalkan secara berfokus.
“Ia juga membawa maksud untuk menguasai ilmu tarekat secara zahir, pengamalan kita akan turut merangkumi sistem, pedoman, pembimbing dan kaedah tertentu,” katanya.
Dalam erti kata lain untuk mencapai tarekat secara zahir, terdapat beberapa perkara yang telah dikhususkan secara terpandu dan seseorang yang ingin mempelajarinya akan menerima bimbingan.
Dari sudut batin pula, tarekat akan mampu menyentuh aspek perubahan jiwa manusia yang boleh dilihat daripada pelbagai perkara termasuklah tahap keimanan seseorang.
“Dalam jiwa manusia, kita mungkin akan menemui beberapa istilah seperti nafsu amarah, mu’mainnah, radiyah dan sebagainya dan perkara ini adalah sesuatu yang perlu dikawal.
“Dengan pengamalan tarekat dan kesannya secara batin, seseorang itu mampu tingkatkan tahap keimanannya daripada ilmul yakin, ainul yakin, haqqul yakin dan istilah-istilah lain lagi,” jelas Abdul Mamam.
Abdul Manam berkata demikian dalam Perbincangan Rakyat Demi Malaiu dengan tajuk Tarekat: Rahsia Pemimpin Yang Kuat, yang disiarkan secara langsung menerusi FB Page Demi Malaiu.
Mengulas lanjut tentang keberkesanan tarekat, perubahan jiwa seseorang itu kepada yang lebih baik akan mempengaruhi perubahan tindak-tanduk pengamalnya.
“Lihat sahaja daripada amalan zikir. Amalan zikir secara tidak langsung akan membuat lisan serta qalbi berzikir sekali gus mempengaruhi peningkatan kejiwaan manusia.
“Apabila perkara ini berlaku, jelaslah amalan tarekat secara zahir berjaya memberi kesan kepada batin. Batin yang mengenal Allah SWT akan membuatkan keyakinan kita terhadapNya terus kukuh,” kongsi Abdul Manam.