Penyusutan tanah rizab Melayu, pendidikan dan hal ehwal ekonomi menjadi tiga isu utama yang perlu diberi perhatian serius oleh orang Melayu di negara ini.
Perkara itu juga akan diangkat sebagai teras perjuangan Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi mengasuh anjakan minda bangsa untuk menghadapi segala tekanan dan cabaran semasa.
Timbalan Pengerusi ADAB, Prof Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, isu tanah rizab Melayu adalah isu besar kerana jumlah tanah berstatus demikian berkurangan dengan mendadak daripada lebih 50 peratus suatu ketika dulu kepada hanya kira-kira 12 peratus ketika ini.
Tanah yang diambil langsung tak diganti
“Ia sudah diambil dan dibangunkan dengan pelbagai projek, projek kerajaan dan projek perumahan. Walaupun ada undang-undang (tanah rizab yang diambil) mesti diganti sertamerta, tetapi tidak digantikan.
“Maka banyaklah tanah rizab yang diambil oleh kerajaan negeri, tetapi tidak diganti sebaik-baiknya dengan tanah yang sama tara, sama taraf dan sama nilai.
“Jadi hasilnya sekarang, di Kuala Lumpur misalnya, hanya tinggal tiga peratus tanah rizab Melayu merangkumi kawasan di Gombak dan perkampungan Melayu,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ADAB pada Jun 2022.
Beliau menggesa pihak yang berkenan mencari jalan menebus tanah rizab yang sudah diambil dan tergadai kepada bangsa lain atau menggantikannya dengan tanah lain yang sama nilai, malah tindakan pendakwaan di mahkamah harus diambil jika perlu untuk menegakkan keadilan.
“Jika boleh, ambil semula dan dakwa orang salah guna kuasa yang meminda status tanah berkenaan. Jika perlu tuduh di mahkamah demi memperoleh keadilan, maka langkah itu perlu dilakukan segera jika pengambilan tanah rizab Melayu yang dibuat itu salah dari sudut undang-undang.
“Kita juga minta tidak ada lagi orang gunakan kuasa politik dan kuasa undang-undang untuk ambil alih tanah rizab Melayu yang kemudian dipinda serta diubah statusnya tanpa diganti.
“Jika tidak boleh (tebus) dan ada banyak masalah, maka kita minta supaya diganti dengan tanah lain yang ada. Ini kita timbulkan kerana (penyusutan tanah rizab Melayu) sudah menjadi masalah kepada bangsa Melayu,” katanya.
Rakyat perlu diberitahu realiti sebenar
Sementara itu, Pengerusi ADAB, Datuk Ghazali Yusof, berkata tiga isu yang diberi tumpuan itu akan dibincangkan dengan serius dalam beberapa program yang bakal dilaksanakan NGO berkenaan kelak.
Katanya, perbincangan holistik dan mendalam mengenai perkara itu akan turut digerakkan oleh NGO Melayu lain demi kebaikan sejagat.
“Kita angkat isu ini supaya orang Melayu sedar dan fikirkan langkah untuk bertindak secara wajar. Kita akan bekerjasama dengan banyak NGO Melayu lain supaya kita ada pendekatan yang kolektif demi membangkitkan kesedaran orang Melayu.
“Kesedaran orang Melayu dalam isu-isu seperti ini dilihat semakin berkurangan, terutama membabitkan tanah rizab,” katanya.
Pemimpin dalam parti politik sedang selamatkan kedudukan
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan tidak lama lagi, banyak perkara penting tidak dibicarakan sebagai topik utama dalam perhimpunan parti politik yang sudah berlangsung.
Yang klise dibicarakan adalah mengenai survival parti politik dan bagaimana kaedah untuk menjatuhkan pihak lawan agar undi rakyat boleh tertumpu kepada kumpulan yang kononnya nampak kuat.
Padahal di lapangan, rakyat tidak pedulikan semua itu kerana yang beratur panjang-panjang di pusat pengundian adalah rakyat namun yang dapat elaun tinggi serta besar bukan rakyat.
Majoriti rakyat sanggup jadi miskin dan kekal berstatus ‘pengharap’ dengan harapan yang diundi dan menang undi itu dapat laksanakan tugas namun baik BN, PH dan PN, masing-masing ada pengalaman.
Maka, retorik untuk mengatakan parti ini baik dan parti itu tidak elok adalah sebuah madah yang tersangatlah jelek kedengaran kerana rakyat lebih bimbang perihal tanah rizab Melayu yang berkurangan.
Berpuluh-puluh tahun selepas British berhenti campur tangan dalam urusan pentadbiran dan menyerahkan semua urusan kepada orang-orang Melayu, bukannya tanah rizab Melayu semakin bertambah.
Malah semakin banyak terjual kepada orang-orang yang bukan perjuangkan fardhu kifayah untuk mewakafkan tanah rizab Melayu yang dibeli sebagai aset sosial yang memberi manfaat kepada orang awam.
Sebaliknya di atas rizab tanah Melayu itu, ada yang terdirinya bangunan-bangunan komersil yang memastikan jika orang Melayu mahu duduk di situ, slip gaji dan penyata bank mampu untuk membayar riba selama 35 tahun.
Sekiranya tidak mampu dan pandai mengeluh sahaja tanpa terlibat dalam bidang kesedaran atau tindakan, tidak mustahil 2030, tanah rizab Melayu tinggal 10 peratus.
2040, tinggal 5 peratus dan 2050, kesemua tanah rizab Melayu dijual orang Melayu yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk turunkan tanda tangan bagi meluluskan semua permohonan.
Akhir kalam, mungkin 2050 boleh dijadikan titik permulaan Melayu moden merempat di bumi sendiri dan dilayan bagaikan pendatang kerana yang kekal berkuasa, cuma orang yang kaya harta dunia.
Apa pendapat anda? Ingin tahu lebih lanjut mengenai kisah-kisah menarik tentang agama, sejarah dan fitnah ke atas bangsa Melayu? Klik pada poster di bawah:
DAFTAR SINI> Sertai Seminar Eksklusif Agama | Sejarah | Fitnah Ke Atas Bangsa Melayu
MISI CAPAI 100,000 LIKE SEBELUM 31 DISEMBER 2022
[wpdevart_like_box profile_id=”100109992115173″ stream=”hide” connections=”show” width=”320″ height=”130″ header=”medium” cover_photo=”show” locale=”en_US”]Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!