Beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.
Tema kali ini dipilih kerana ia selari dengan konsep keharmonian #KeluargaMalaysia.
Tema ini juga dipadankan dengan logo yang berkonsep jalur liputan internet yang antara lainnya melambangkan kebersamaan.
Kerajaan yang menerajui Malaysia pada hari ini memahami betapa perlunya elemen harmoni dan kebersamaan diterapkan ke dalam masyarakat dan Kerajaan dilihat bersungguh-sungguh dalam usaha ini.
Namun, tidak dapat dinafikan, walau semua rakyat seiring menyambut tema ini, masih ada segelintir yang tidak jemu-jemu cuba melawan arus dengan naratif-naratif lapuk semenjak sebelum merdeka.
Antara naratif lapuk tersebut adalah Malaysia adalah negara sekular sepertimana yang diniatkan semasa awal penubuhannya.
Apa Kata Pakar Perlembagaan Negara
Menurut Datuk Prof Madya Dr Wan Ahamad Fauzi Wan Hussain, Pengasas Jurisprudens Watan yang berkhidmat di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Malaysia bukanlah sebuah negara sekular dan ia tidak pernah diniatkan sedemikian.
Dalam memberi satu contoh rujukan, Datuk Wan berkata matlamat yang dinyatakan dalam cadangan Suruhanjaya Reid dalam pembentukan negara Malaysia adalah untuk membentuk sebuah kerajaan pusat yang kuat berlandaskan prinsip yang terkandung dalam perlembagaan bertulis dalam bentuk moden yang kita kenali pada hari ini sebagai Perlembagaan Persekutuan.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa penggubalan undang-undang termasuklah Perlembagaan Persekutuan bertujuan untuk membentuk sebuah Persekutuan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong di samping mengekalkan kedaulatan raja-raja Melayu yang akan memerintah mengikut perlembagaan bertulis tanpa menjejaskan kewajipan mereka untuk mendaulatkan ajaran Islam.
Setiap Negeri Melayu pada tahun 1948 sudah memiliki perlembagaan bertulis dalam bentuk moden yang dikenali sebagai undang-undang tubuh kerajaan.
Ada Duri Dalam Daging
Apabila Datuk Wan menyentuh semula isu lapuk tersebut, dalam nada kesal beliau menyatakan isu ini timbul kerana terdapat dalam kalangan kita sendiri yang menghidupkan naratif negara sekular tersebut.
Ramai yang menyebut Islam sebagai agama Persekutuan tetapi apa yang mereka perjuangkan seolah-seolah Islam itu hanya di Mahkamah Syariah.
Malah ada pula yang berfikiran Malaysia mengamalkan “dual-legal system”, iaitu Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.
Pada hakikatnya semua Mahkamah di Malaysia sama ada Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah kehakiman Persekutuan perlu menegakkan keadilan berlandaskan prinsip patuh syariah.
Itulah maksud Islam agama Persekutuan dan Islam agama Negeri.
Pada masa yang sama beliau melontarkan pendapat bahawa Mahkamah Sivil sebenarnya merupakan pembahagian dengan Mahkamah Jenayah.
Justeru, mengikut perlembagaan kita, tiada pembahagian antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.
Menurut beliau lagi, ini merupakan antara contoh yang menyuburkan ancaman pemikiran kepada kedudukan Islam di Malaysia.
Banyakkan Membaca
Bagi menyimpulkan pendapat tersebut, Datuk Wan menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum agar rajin membaca buku sejarah yang berwibawa dan memperbanyak diskusi untuk mengenali sistem perlembagaan dan jati diri watan Tanah Air kita.
Dan sama-sama mencari kebenaran serta melihat ke hadapan untuk pengukuhan negara bangsa berlandaskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan yang memelihara kedudukan raja-raja di atas amalan syura demi keadilan yang disyariatkan oleh ajaran Islam.
Baca juga Orang Melayu, Orang Asal Dan Pendatang Yang Diterima, Semuanya Rakyat Raja Melayu
Tonton juga Punca Melayu dan Cina Tidak Sekampung