Ramai umat Islam hari ini berlumba-lumba mahu menjual makanan sunnah Rasulullah SAW, baik dari sekecil-kecil kurma sehinggalah kepada sebesar-besar kambing.
Ada juga segelintir umat Islam berlumba-lumba membeli makan makanan sunnah yang dijual dalam pasaran lalu dimuat naik dalam media sosial sebagai trend.
Pada pendapat mereka, dengan membeli atau memakan makanan sunnah dan mengikut trend semata-mata, ia sudah cukup untuk menzahirkan rasa cinta.
Tidak salah namun tak semestinya harus ada inspirasi begitu pada makanan sunnnah kerana yang penting adalah makan ikut sunnah Rasulullah SAW.
Apalah guna kalau ada makanan sunnah di atas meja namun :
- Makan makanan sunnah tetapi mulut rancak mencarut atau bergaduh
- Makan makanan sunnah tetapi tak didik hati untuk ingat nasib orang lain
- Makan makanan sunnah tetapi doa atau Bismillah pun tidak dibacanya
- Makan makanan sunnah tetapi melantak berlebih-lebihan walaupun sudah kenyang
Perkara dan pemikiran inilah yang harus diperbetulkan dalam kalangan umat Islam hari ini baik diri sendiri, pasangan suami isteri, ahli keluarga serta orang sekeliling.
Sebab Itu Penting Wujudnya Rasa Cinta & Rindu Kepada Rasulullah SAW!
Jika wujud rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW, buatlah apa-apa sekali pun termasuk adab ketika berada di meja makan, diri akan mencontohi sunnah Rasulullah SAW.
Selain cinta, umat Islam disarankan untuk menzahirkan juga rasa rindu kepada Rasulullah SAW dalam semua perkara termasuklah ketika makan.
Mungkin kita pernah atau selalu dengar cikgu-cikgu di sekolah atau mak ayah sendiri suatu masa dahulu bercakap tentang sunnah Rasulullah SAW? Antaranya:
- Sebelum makan baca Bismillah
- Makan dengan tangan kanan
- Kunyah makanan sehingga 40 kali sebelum ditelan
- Berhenti sebelum kenyang
- Jangan makan bersulamkan air
- Elakkan bergaduh di hadapan rezeki
serta banyak lagi sunnah Rasulullah SAW yang mungkin tak semua orang tahu namun jika kita yakin ia adalah satu perbuatan yang baik, InsyaAllah ada keberkatan di situ.
Makanlah Apa-Apa Pun, Yang Penting Ikut Sunnah
Maka buat seluruh umat Islam, tak kisahlah menu apa yang mahu dinikmati sekali pun, makanlah dengan penuh selera, mulakan dengan Bismillah sebelum makan.
Makanlah kambing golek ke, nasi goreng kampung ke, pizza ke.. makanlah dengan niat agar dikuatkan diri untuk menunaikan ibadah serta makan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Makanlah nasi campur dengan lauk ikan selar masak asam pedas sekali pun, yang penting apabila makan ikut sunnah (cara) nabi Muhammad SAW.
Makanlah mee goreng mamak dengan telur dadar sekali pun, yang penting apabila makan ikut sunnah (cara) nabi Muhammad SAW.
Makanlah burger, daging wagyu atau pizza sekali pun, yang penting apabila makan ikut sunnah (cara) nabi Muhammad SAW.
Baca Juga: Rukun Agama Adalah Rumah Bagi Rukun Islam, Rukun Iman Dan Rukun Ehsan